Khamis, 21 Oktober 2010

Universiti Adalah Pusat Latihan Manusia ( Human Training Centre)


salah sebuah aktiviti mahasiswa

Tajuk yang penulis kemukakan sudah cukup untuk memberi pengenalan kepada artikel ini keseluruhannya, barangkali! Namun begitu, pra-syarat kepada kepentingan Universiti dalam melahirkan sumber manusia yang berkualiti bukanlah terletak kepada kualiti kursus mahupun jumlah kursus semata-mata (iaitu bersifat formal akademik). Akan tetapi faktor yang lebih kritikal ialah bagaimana pengisian dilakukan terhadap mahasiswa di dalam dan luar bilik kuliah. Dalam maksud yang lebih tepat, bagaimanakah keterlibatan mahasiswa dalam mana-mana aktiviti kelab persatuan di kampus Universiti.

Bagi sesetengah pihak, penglibatan dalam kelab persatuan adalah bertujuan untuk mengisi masa lapang atau mendapat merit dalam kokurikulum. Namun bagi penulis, matlamat tersebut adalah telah menyimpang dari landasan yang sebenar kerana matlamat mahasiswa ketika di universiti adalah untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, skil dan juga pengalaman yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan pada masa depan.

Hal ini kerana tempoh berpersatuan di universiti adalah masa yang terbaik untuk mahasiswa membentuk diri mereka sendiri. Apa yang mereka ingin jadi pada masa akan datang, usahanya bermula dari bangku kelab persatuan di universiti. Ketika berada di universiti, kebebasan untuk melahirkan idea-idea bernas adalah terbuka dan peluang untuk bebas melakukan sebarang aktiviti yang bermanfaat juga ada berbanding ketika berada di alam pekerjaan kelak. Penulis sendiri sudah mula merasai hakikat ini walaupun pernah melalui proses beraktiviti dalam kelab persatuan, namun sehingga kini masih merasa tidak puas walaupun sudah berada di alam pekerjaan.

Tambahan pula, hasrat kerajaan Malaysia untuk menuju ke arah Negara berpendapatan tinggi tidak akan terlaksana selagi tahap kualiti sumber manusia masih di takuk lama khususnya golongan mahasiswa. Jika graduan yang lahir daripada IPTA dan IPTS bersifat ‘statik’,puncanya adalah kerana ketika mereka bergelar mahasiswa mereka tidak terlibat secara aktif dalam sebarang aktiviti yang mampu menyemarakkan lagi aktivisme mahasiswa.

Kita tidak mahu bakal jurutera yang dilahirkan kelak hanya mampu bekerja dengan mesin di kilang-kilang dan tapak projek, ataupun bakal doktor yang dilahirkan kelak hanya boleh bertugas di bilik bedah hospital dan hospital sahaja. Tetapi apa yang kita mahu adalah jurutera yang mampu memimpin masyarakat ke arah kebaikan, doktor yang boleh menyumbang kepakaran kepada masyarakat yang memerlukan di luar waktu kerja. Bila mana keadaan ini wujud, kita boleh katakan mereka adalah jurutera, doktor atau manusia yang bersifat ‘dinamik’. Bukan lagi ‘statik’.

Manusia yang ‘dinamik’ ini adalah aset sebenar kepada negara, bukannya petroleum atau lain-lain hasil bumi yang bersifat sementara!

Tiada ulasan: