Isnin, 20 September 2010

Ramadan sudah pergi...syawal pula tiba kembali...


Salam eid al-fitri buat semua muslimin dan muslimat!
Rasanya masih belum terlewat lagi untuk penulis ucapkan salam lebaran walaupun bulan syawal sudah menginjak masuk hari ke-12. Dalam pada kita merayakan bulan raya ini, hendaklah kita sentiasa berpada-pada agar tidak melampaui batas-batas syarak. Hari raya puasa atau Eid al-fitri merupakan satu ibadah yang disyariatkan dalam Islam,bukan perayaan kebudayaan bangsa atau masyarakat. Atas alasan inilah maka umat Islam dituntut untuk besederhana dalam menyambut raya.

Mungkin penulis ingin berkongsi sedikit perkara positif yang telah kita lakukan semasa bulan ramadan dan wajar diteruskan pada bulan-bulan akan datang:

1. Puasa
-jika dalam bulan ramadan kita diwajibkan berpuasa selama sebulan, maka selepas tempoh tersebut umat Islam digalakkan untuk menyambung berpuasa sunat pada bulan syawal atau lebih dikenali dalam masyarakat kita dengan istilah 'puasa enam'. Pengalaman penulis sewaktu berada dibulan ramadan dapat merasakan perbezaan ketara dari sudut kesihatan. Pada bulan ramadan penulis jarang-jarang mengalami demam atau selsema. Puasa enam juga dapat mengurangkan rasa terkejut sistem pencernaan makanan manusia dalam perut, dalam suasana orang mengalami demam-demam dan selsema sebaik sahaja memasuki bulan syawal.

2. Solat berjemaah 5 waktu
-waktu solat yang mempunyai ramai jemaah pada bulan ramadan ialah maghrib dan isyak. Hal ini disebabkan oleh faktor penyediaan juadah berbuka percuma di surau dan masjid, dan juga faktor solat sunat terawih yang diadakan secara berjemaah di surau/masjid. Adalah molek kalau kita mampu meneruskan momentum untuk istiqamah dalam melakukan solat berjemaah sekurang-kurangnya dengan ahli keluarga di rumah sekiranya tidak mampu ke surau/masjid. Solat berjemaah mampu melahirkan individu muslim yang berkualiti bukan pada diri individu semata-mat tetapi ianya juga mampu melahirkan kesatuan umat Islam yang utuh dari masa ke masa. Pra-syaratnya, jadikanlah solat berjemaah sebagai keutamaan kita tidak kira bila waktunya dan di mana tempat kita berada.

3. Sedekah jariah
-banyak pihak telah bermurah hati untuk menyalurkan bantuan berupa sedekah kepada rumah anak yatim dan kebajikan pada bulan ramadan. Bahkan dalam kalangan mereka seakan-akan berlumba-lumba untuk memberi sedekah paling banyak kepada golongan sasar, alhamdulillah usaha ini wajar dipuji sekiranya ianya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah. Tetapi adalah lebih baik sekiranya usaha ini tidak berhenti pada bulan ramadan sahaja, kerana sesuatu usaha baik yang sedikit yang dilakukan secara berterusan adalah lebih baik daripada usaha baik yang banyak cuma dilakukan secara terputus-putus. Secara tidak langsung, sedekah yang dikeluarkan dapat membersihkan harta kita dan mendidik hati kita bersifat mahmudah.

Semoga kita semua sentiasa berada pada jalan Islam dan terus istiqamah di jalan Allah. Selamat bergraduan wahai penuntut madrasah tarbiyah ramadan! Harap kita dapat berjumpa lagi pada bulan tarbiyah ramadan pada tahun hadapan.

Tiada ulasan: