Isnin, 25 Januari 2010

Adakah Malaysia sudah Matang?


Tempoh kemerdekaan Malaysia selama lebih 5 dekad bukanlah suatu tempoh yang singkat, kerana kalau dari sudut umur manusia usia 50 tahun sudah mencerminkan kematangan tindakan dan pengalaman seseorang. Juga boleh kita gelar sebagai 'gagah' dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan ranjau onak duri.

Namun, disebalik pengalaman yang sudah dimiliki tersebut pasti ada kayu ukur sejauh mana pengalaman yang sudah ditimba selama 50 tahun. Antara kayu ukur yang utama ialah sejauh mana kita telah melaksana tujuan penciptaan kita oleh Allah di bumi ini? Iaitu ada 2 tujuan penciptaan manusia, mengabdikan diri kepada Allah dari seluruh aspek kehidupan dan menjadi khalifah di muka bumi.

Maksud pada tujuan yang pertama, mengabdikan diri membawa pengertian yang luas. Ianya tidak terhad kepada solat,puasa,zakat semata-mata. Tetapi merangkumi soal politik, perundangan, ekonomi, sukan, masyarakat, pendidikan serta lain-lain. Apa jua yang kita buat mesti didahului dengan tujuan pengabdian diri kepada Allah.
Formulanya:
Abdi kepada Allah = takut(hamba) kepada Allah

Pada tujuan yang kedua pula, menjadi khalifah tidak boleh disempitkan kepada maksud untuk menjadi ketua, pemimpin semata-mata. Menjadi khalifah mesti dimulakan dalam diri kita dahulu, kemudian baru pergi kepada keluarga, kawan-kawan, masyarakat, negara dan dunia.
Sinonimnya:
Khalifah = pemegang amanah bagi pihak Allah di bumi

Kedua-dua tujuan penciptaan ini saling berkait antara satu sama lain. Kedua-duanya mesti bergerak selari tanpa meninggalkan salah satu daripadanya. Sebagai khalifah, kita mesti meletakkan aspek pengabdian kepada Allah dalam segala tindakan samada dalam urusan perniagaan, soal pentadbiran dan politik. Tidak cukup kita hanyaa jadi pejuang 'Kalimah Allah' secara buta sahaja!
Manusia = Hamba Allah + pemegang amanah bagi pihak Allah di bumi

Berbalik kepada kayu ukur usia kemerdekaan negara kita. Sejauh mana Malaysia boleh dinilai sebagai matang? Semakin berusia Malaysia, sepatutnya masyarakat Malaysia menjadi lebih bertamadun. Akan tetapi sebaliknya semakin banyak isu-isu yang timbul.

Contohnya, pembaziran wang amanah rakyat kepada pelaburan projek mega yang kurang memberi pulangan kepada rakyat secara keseluruhan seperti litar F1, penganjuran Moonsun Cup, Dua masjid Indah yang mahal secara berdekatan di bukan kawasan perumahan, dekat Putrajaya.

Kemudian, kita pergi kepada soal ketirisan dalam menguruskan wang pembangunan negara seperti projek Jambatan gantung Malaysia-Singapura, PKFZ, Stadium Gong Badak Terengganu. Sebagai contoh dari jumlah wang pelaburan sebanyak RM270 juta untuk pembinaan stadium Gong Badak, Terengganu yang bumbungnya runtuh, kurang daripada RM200 juta yang sampai kepada kontraktor akibat melalui pintu-pintu cukai kroni pihak yang tidak beramanah.

Pembahagian hasil bumi dan projek-projek pembangunan negara dilakukan secara tidak adil dengan mengamalkan budaya kronisme berslogankan 'kroni@kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'. Kesannya, yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin. Sebagai contoh, negeri Terengganu yang kaya dengan hasil minyak menduduki senarai negeri paling miskin di semenanjung walaupun mereka mempunyai masjid Kristal. Yang untung adalah pihak yang mendapat projek pembinaan masjid, yang rugi adalah rakyat!

Dalam hal berkaitan dengan maruah Islam pula, banyak isu-isu yang menyebabkan Islam diperlekehkan seperti pemecatan mufti Selangor kerana mempertahankan fatwa hukum pertandingan ratu cantik, isu kartika dan sebat minum arak, dan terbaru isu kalimah Allah. Isu-isu yang ditimbulkan ini ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk mencapai kepentingan sendiri berbanding kepentingan Islam.

Isu-isu yang timbul ini natijahnya menyebabkan pembangunan Malaysia tidak selari dengan usianya. Dengan segala kekayaan bumi yang dimiliki sewajarnya Malaysia sudah lebih maju daripada negara jiran, Singapura. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Malaysia sudah mencapai tahap negara maju seperti korea yang dahulunya jauh ke belakang berbanding negara kita. Hakikatnya, Malaysia masih tidak matang lagi kerana masyarakatnya masih dipimpin oleh golongan yang mengamalkan budaya rasuah dalam kehidupan, tiris dalam membelanjakan wang amanah, lebih mengutamakan kepentingan diri dan kroni daripada melaksanakan amanah negara.

Apa-apa pun, kita kena merenung semula kepada 2 tujuan penciptaan manusia di bumi seperti yang disebut pada awal artikel kerana banyak musibah yang terjadi di Malaysia kerana lupa kepada tujuan kejadian mereka. Ramainya manusia menjadi 'khalifah' Allah dengan tidak meletakkan aspek pengbdian kepada Allah di tempat tertinggi. Segala macam slogan seperti ketuanan Melayu atau Islam Hadhari hanya tinggal sia-sia jika perkara asas seperti tujuan asal penciptaan manusia dikesampingkan!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila agaknya Malaysia akan matang??
adakah tahun 2020 (menurut wawasan Tun M)?