‘Labbaikallah hummal labbaikk , labbaikalaa syarii kalakalabbaikk, innalhamdah wa nikmataa, lakawal mulk laa syarii kalak’
Zikir ini masih lagi terngiang-ngiang di telinga selepas menonton saluran astro Discovery pada pagi 10 Zulhijjah iaitu selepas pulang dari mengerjakan solat sunat Aidil Adha. Rancangan yang dihidangkan pada waktu tersebut memaparkan tentang ibadat Haji yang dikerjakan oleh umat Islam dari seluruh pelosok dunia di tanah suci Makkah (Makkah al-Mukarramah). Terdapat tiga watak jemaah haji dari 3 negara yang berbeza warna kulit ditonjolkan sepanjang plot di dalam dokumentari ini iaitu dua orang muslimin dari Malaysia dan Afrika Selatan dan seorang muslimat dari Amerika Syarikat. Sememangnya cara penggarapan plot dalam dokumentari ini sungguh menarik dan berjaya menyampaikan mesej secara jelas tentang keseluruhan persiapan yang dilakukan sebelum,semasa dan selepas ibadat haji. Bermula dari perjalanan bertolak dari negara masing-masing menuju ke tanah suci Makkah dengan menaiki kapal terbang.
Namun begitu, dokumentari yang ditonton tersebut telah memberi kesan lebih mendalam kepada saya kerana pengalaman yang dilalui jemaah haji dalam rancangan tersebut telah pun saya alami empat tahun lalu. Segala kenangan semasa berada di tanah suci Makkah dan tempat-tempat ibadat haji yang lain empat tahun lalu telah menjengah kembali ke dalam ruangan ingatan ini. Segala pengalaman semasa menunaikan ibadat haji telah terpahat kukuh di dalam kotak ingatan saya.
Pengertian Haji pada syarak bermaksud mengunjungi baitullah (rumah Allah) dalam bulan-bulan haji, (iaitu bulan syawal, zulkaiddah dan zulhijjah )kerana mengerjakan perkara rukun haji dan perkara wajib haji dengan berpandu kepada syarat-syaratnya. Sesungguhnya ibadat haji merupakan rukun Islam kelima dan wajib bagi setiap muslim/muslimah mengerjakannya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Syarat-syarat yang mewajibkan seseorang untuk menunaikan ibadat haji ialah Islam, baligh, berakal, merdeka dan mempunyai kemampuan.
Bagi kebanyakan jemaah haji Malaysia mereka akan berkumpul di pusat penempatan tabung haji di Kelana Jaya, Selangor sebelum bertolak menaiki kapal terbang ke Arab Saudi(sama ada Makkah, Madinah ataupun Jeddah) melalui KLIA. Berdasarkan pengalaman saya dahulu, para jemaah haji akan di beri segala kelengkapan semasa berada di bumi Allah sebelum bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya. Barang-barang keperluan seperti beg galas, berus gigi, telekung dan gelang besi pengenalan diri diedar-edarkan kepada semua bakal haji. Malahan, setahun sebelum tarikh bertolak ke tanah suci bakal jemaah haji telah diberi bimbingan yang berterusan berkaitan ibadah haji menerusi kelas mingguan di tempat-tempat tertentu seperti pusat Islam, masjid dan surau pada hari minggu.
Ibadat haji boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu Ifrad, Tamattuk dan Qiran. Kebanyakan jemaah haji dari Malaysia memilih haji Tamattuk kerana cara tersebut mudah dan tidak berat untuk dilaksanakan, bersesuaian dengan maksud Tamattuk iaitu bersenang-senang dahulu dan saya juga mengerjakan haji dengan menggunakan kaedah ini. Bagi kaedah ini, ibadat umrah dan ibadat haji dilakukan di dalam bulan-bulan haji dengan jemaah haji mengerjakan umrah dahulu dan bertahallul awal sebelum menanti kedatangan ibadat haji. Semasa tempoh menunggu untuk melakukan ibadat haji, para jemaah haji bebas dari segala perkara yang diharam semasa berihram kecuali 3 perkara iaitu mukaddimah jimak, bersetubuh dan bernikah(ataupun menikahi).
Bersambung…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan