Ahad, 22 Julai 2012

RAMADAN TIBA LAGI


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah rabb sekalian alam. Ketibaan Ramadan saban tahun disambut dengan meriah oleh umat Islam walau di mana pun mereka berada. Ada yang menyambutnya dengan mengambil roh islam sebenar iaitu berpuasa di bulan Ramadan sebagai suatu ibadah yang telah difardukan Allah ke atas hambanya sejak daripada umat terdahulu lagi. Ada pula menyambutnya berdasarkan budaya masyarakat yg telah Islam sejak generasi demi generasi lamanya. Namun apa yg penting, niatkan puasa serta semua tindakan dalam berpuasa kerana Alllah, nescaya ianya juga dikira sebahagian daripada ibadah. Amat beruntung sekali buat umat Islam kerana setiap perkara yang diniatkan kerana Allah akan dikira sebagai ibadah,hasilnya akan diganjari dengan pahala daripada Allah. 

Sehubungan dengan itu, kita masih belum terlambat lagi untuk menyusun aktiviti yang bermanfaat sepanjang bulan Ramadan. Ada beberapa amalan yang boleh dilakukan antaranya solat fardu jemaah, solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardu, zikir pagi dan petang Al-ma’thurat, membaca al-Quran, solat sunat terawih serta membaca bahan ilmiah yang boleh meningkatkan kefahaman Islam. Amalan-amalan yang disenaraikan ini berupaya untuk mendidik jiwa-jiwa muslim semakin dekat dengan Allah dan Islam, bertepatan dengan matlamat pensyariatan puasa Ramadan itu sendiri iaitu menjadikan diri kita bertaqwa di sisi Allah.

Betapa pentingnya untuk kita beramal dengan Islam dengan cara melakukan ibadah wajib dan sunat secara istiqamah. Dengan ini, Islam yang ingin diamalkan bermula dari dalam diri kita sendiri serta pada masa yang sama kita amalkan Islam dalam masyarakat secara beramai-ramai supaya kesannya menjadi lebih besar. Memang benarlah kata-kata seorang pemimpin Gerakan Islam dan Islah dunia Imam Al-Hudaibi, beliau menyebut bahawa “tegakkan Islam di dalam diri-mu dahulu, nescaya ia (Islam) akan tertegak di atas muka bumi”.

Di akhir Ramadan, kita akan dapati jiwa yakni iman kita seolah-olah dicas bagi menghadapi 11 bulan yang mendatang kerana siapa diri kita yang sebenar pada Ramadan, itulah diri kita yang sebenar pada bulan-bulan yang lain. Ibadah puasa Ramadan bukan sekadar melatih diri untuk berlapar dan dahaga, malah yang jauh lebih penting daripada itu melatih diri kita menahan diri daripada mengikut hasutan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa menyuruh ke jalan kejahatan. Sedarlah kita akan amanah yang telah dipertanggungjawab kepada manusia sejak di lauh mahfuz lagi, iaitu menjadi hamba Allah dan khalifah (pengurus) Allah di dunia berpandukan wahyu-Nya Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebagai kesimpulan, jangan lepaskan peluang untuk beramal dalam bulan Ramadan ini kerana manfaatnya besar sekali ke atas diri dan masyarakat. Mulakan daripada yang sedikit dahulu dalam beramal daripada tidak melakukan apa-apa. Bentuk diri kita supaya menjadi muslim yang mukmin serta Islam kerana pilihan dan kefahaman sebenar, bukan kerana asal keturunan bangsa di bulan yang mulia ini.

Tiada ulasan: