Isnin, 20 Jun 2011

Hakikat Menuntut Ilmu dan Hakikat Beramal


Hari ini tahap pendidikan rakyat Malaysia semakin hari semakin meningkat. Buktinya ialah wujud pelbagai pusat pendidikan dari serendah-rendah peringkat iaitu tadika, sehinggalah ke setinggi-tinggi peringkat iaitu universiti. Di setiap peringkat tahap pendidikan pula bercambah banyak sekolah-sekolah serta institusi sama ada ialahnya milik kerajaan mahupun persendirian. Kesannya, lahirlah ramai graduan-graduan yang mempunyai diploma,ijazah pertama, PHD.

Sungguhpun begitu, dalam ramainya jumlah pemegang ijazah mahupun PHD ini sedarkah mereka akan hakikat mereka menuntut ilmu? Saya percaya rata-rata daripada kalangan mereka pasti mempunyai jawapan yang berbeza, antaranya “…nak dapat kerja yang bagus..”, “…saya nak jadi itu…”, “…saya nak jadi ini…”. Pengalaman penulis sendiri yang pernah berada di alam pembelajaran dahulu turut berpandangan sedemikian rupa. Betapa kaburnya pandangan hidup yang dimiliki oleh rata-rata ahli dalam masyarakat kita.

Sedangkan hakikat sebenar kita menuntut ilmu adalah untuk beramal. Hal ini selari dengan firman Allah dalam Surah Az-zariyat ayat ke-56, iaitu maksudnya “..tidak Aku(Allah) jadikan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah(beramal) kepada-Ku..”. Maka tidak salah sekiranya kita menetapkan matlamat menuntut ilmu adalah untuk ‘menjadi itu’ ataupun ‘menjadi ini’ yang bersesuaian dengan kelulusan pendidikan kita selagi mana ianya menuju kepada untuk beramal kepada Allah.

Saya amat tertarik dengan pertemuan ustaz-ustaz kontemporari yang boleh dikelaskan sebagai ‘Ustaz Selebriti’ merujuk kepada tulisan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Bentuk amal yang dilakukan berdasarkan kepada pengalaman mereka walaupun dalam bentuk yang pelbagai dan terkini tetapi matlamatnya tetap sama, iaitu untuk beramal kepada Allah.

Amal yang kita lakukan secara istiqamah ini secara tidak langsungnya akan membentuk jiwa yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Inilah satu-satu perkara yang begitu mahal dan sukar untuk diperolehi dan sesungguhnya ianya adalah menjadi hakikat utama kepada orang yang beramal. Semua orang boleh bekerja, tetapi tidak semua orang boleh bekerja dengan ikhlas!

Seperkara lagi yang mesti kita ketahui ialah reda Allah yang membolehkan kita memasuki syurga Allah kelak, hanya dapat dicapai dengan cara sentiasa istiqamah dalam beramal dan mempunyai keikhlasan diri yang jitu hanya semata-mata kerana Allah. Sememangnya sudah menjadi cita-cita setiap mukmin untuk mencapai syurga Allah, pra-syaratnya hakikat ilmu dan hakikat amal perlu diselarikan untuk yang Esa sahaja!

Tiada ulasan: