Isnin, 7 Februari 2011

Pencerahan diri yang menyeronokkan!

Gambar hiasan

Sudah agak lama penulis tidak berada dalam 'Salah satu daripada Taman-taman Syurga' sejak daripada selepas menamatkan zaman mahasiswa lagi. Istilah di atas merujuk kepada majlis ilmu yang begitu subur berlangsung di Bangi khususnya, dan negeri Selangor umumnya selepas kerajaan Pakatan Rakyat mula memerintah negeri Selangor pada tahun 2008. Waktu itu penulis dan rakan-rakan yang lain telah memanfaat kelebihan yang ada di sekitar Bandar Baru Bangi, berkebetulan rumah sewa penulis berhampiran dengan Bandar Baru Bangi. Penulis dan rakan-rakan kerap menghadirkan diri ke mana-mana surau/masjid yang mengadakan majlis ilmu. Antara surau yang menjadi kegemaran penulis ialah Surau An-Nur Seksyen 1 Bandar Baru Bangi, kerana kepelbagaian tajuk dan ilmu yang diisi oleh pelbagai ustaz-ustaz yang menyuburkan budaya keilmuan di sana. Sebut sahaja siapa ustaz-ustaz yang terkenal di tanahair, baik yang kerap keluar di tv radio mahupun majalah, semuanya pernah datang ke Surau An-nur untuk menyumbangkan ilmu kepada masyarakat.

Namun selepas daripada itu atau lebih tepat lagi selepas pulang ke kampung halaman seusai tamat belajar pada Mei 2010, penulis terasa 'pancit' kerana kurang mendapat pencerahan jiwa dan minda. Setelah mendapat beberapa cadangan daripada sahabat-sahabat yang cintakan ilmu, penulis telah kembali berpeluang ke 'salah satu daripada taman-taman syurga' pada hari ahad lalu di Surau Al-Husna Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. Penulis seperti mendapat permata-permata yang berharga selepas daripada majlis ilmu tersebut. Majlis yang mampu membimbing manusia bahagia hidup sampai ke akhirat. Teringat lagi penulis akan kata-kata pengerusi majlis tetap di Surau An-Nur suatu ketika dahulu iaitu Hj. Ghazali. Antara kata-kata yang diulang-ulang beliau ialah "....bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi peluang untuk berada di dalam salah satu daripada taman-taman syurga...". Kata-kata beliau masih lagi terngiang-ngiang dalam ingatan penulis. Jika dahulu penulis dan rakan-rakan tersenyum dengan kata-kata itu kerana seolah-olah ianya menjadi trademark beliau, namun sebaliknya kini penulis tersenyum teringat kata-kata tersebut kerana betapa benarnya kata-kata beliau dahulu. Terasa manis sekali bila berada di dalam majlis ilmu.

Tiada ulasan: