Ahad, 6 Disember 2009

Sokongan terhadap TGNA tetap utuh: Tamparan hebat buat UMNO-BN

Mutakhir ini perang politik Malaysia antara dua kem terbesar makin rancak dan berlanjutan hebat sejak negara kita yang tercinta ini mencapai kemerdekaan. Tetapi secara lebih tepat lagi perang ini bermula sejak pembentukan Pakatan Rakyat pada PRU ke-12 2008 ,berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen dan memenangi 5+1 buah negeri di peringkat DUN. Sejak saat itu, kedua-dua pihak giat melancarkan serangan demi serangan antara satu sama lain. Adatnya, bila satu pihak menyerang pastinya satu pihak lagi akan bertahan.

Baru-baru ini, pihak BN yang diketuai oleh UMNO telah giat melancarkan siri serangannya terhadap PR dengan menjadi TGNA sebagai objek sasaran mereka. Motif sebenar TGNA dijadikan sasaran utama tidak sukar diduga kerana sejak PAS memenangi semula negeri Kelantan pada tahun 1990 melalui gabungan dengan parti Melayu Semangat 46 yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah(APU). Sejak dari saat itu, bermulalah zaman kegemilangan PAS yang dipimpin oleh kepimpinan Ulama’. Walaupun selepas itu Semangat 46 berpatah kembali ke pangkuan UMNO baru, Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan TGNA terus utuh melayari bahtera merentasi samudera politik Malaysia yang berat sebelah.

Selepas tewas mengejut dalam PRU ke-12 yang lalu, BN yang diketuai panglima UMNO seakan tersentak dan tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Lalu timbullah pelbagai jenis ‘permainan’ yang dicipta mereka dengan niat untuk mengajak parti-parti dari PR turut main sama supaya PR terjerat dengan perangkap mereka dan rakyat Malaysia dijadikan sebagai penonton. Permainan awal yang mereka cipta sebaik sahaja dinafikan 2/3 majoriti di Parlimen ialah ‘Ketuanan Melayu terjejas’. Namun permainan ini dapat dipatahkan dengan mudah sebab sudah jelas bahawa yang terjejas bukanlah ‘Ketuanan Melayu’, akan tetapi yang teruk terjejas ialah ketuanan UMNO-BN. Melalui konsep yang mereka pegang, UMNO-BN sebagai tuan dan PR serta rakyat Malaysia sebagai hamba. Lalu sepakat rakyat Malaysia menolak permainan ini. Kemudian timbul lagi permainan ‘babi & arak’ di negeri PR, ‘isu PAS jadi kuda tunggangan DAP di negeri Perak’, pelan UMNO untuk wujudkan ‘Kerajaan Perpaduan UMNO-PAS di Perak’, ‘isu kuota bukan Bumiputera di negeri Kedah’. Namun semua permainan tersebut Berjaya dihidu secara bijak oleh PR.

Sebaik sahaja PR berkuasa di 5 negeri sejak PRU ke-12, UMNO-BN telah memulakan perang dengan menyerang individu-individu berpengaruh Malaysia di pihak PR. DSAI telah dijadikan objek utama mereka, berkebetulan beliau pada ketika itu dilihat sebagai mampu mengetuai PR. Kes liwat dimainkan semula tetapi dengan aksi pelakon baru. Cerita liwat diberi nafas baru dengan pelakon yang lebih muda. Segala jentera mereka dikerahkan untuk membuatkan seluruh rakyat Malaysia percaya dengan akhlak buruk yang dimiliki oleh bekas TPM itu. Sayang sekali kerana rakyat Malaysia lebih kuat mengatakan bahawa pihak yang menimbulkan cerita lama tersebut lebih buruk akhlaknya. Usaha untuk menjatuhkan bekas TPM ini masih berlanjutan dengan perbicaraan kes liwat akan dibicarakan pada 25 Januari 2010. Setakat ini UMNO-BN sudah mendapat kemenangan moral untuk mematikan riwayat bekas TPM di medan politik Malaysia.

Kemudian tumpuan mereka beralih kepada TGHA pula. Kehadiran semula TGHA di sidang Parlimen selepas PRU ke-12 makin menggentarkan barisan Ahli Parlimen UMNO-BN. Ditambah pula ad ura-ura yang mengatakan jika PR yang memerintah TGHA bakal menjadi PM Malaysia. Lontaran Idea bernas dari beliau untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang bertujuan untuk mewujudkan situasi politik Malaysia yang lebih budiman telah dimanipulasi sebaik mungkin oleh pihak UMNO-BN. Permainan ini dipanjangkan lagi dengan melaga-lagakan antara parti-parti dalam PR, tetapi tetap tidak Berjaya. Selepas tidak Berjaya, mereka mencari jalan lain dengan melaga-lagakan antara pimpinan PAS, terutama antara dua tok guru iaitu antara TGHA dan TGNA. Kemelut yang ditimbulkan ini berakhir dengan penyelesaian yang bijak iaitu melalui mesyuarat tergempar PAS pusat dan diikuti dengan Seminar Politik di Markaz Tarbiyah Taman Melewar, Gombak. Walaupun, permainan itu sudah ditamatkan namun kesannya pihak PR tidak menang tangan untuk menepisnya. Imej TGHA di peringkat Nasional telah menurun sedikit.

Lalu kini, mereka mulai sedar bahawa kekuatan PR masih lagi kukuh walaupun pelbagai taktik dan senjata canggih sudah digunakan untuk menjatuhkan PR. TGNA mesti dihapuskan. Langkah awal mereka ialah dengan menyerang peribadi TGNA. Umumnya mengetahui bahawa beliau adalah seorang yang bersih,jujur lagi adil. Selari dengan kedudukannya sebagai seorang ulama’ di Malaysia. Maka secara terancang, UMNO-BN telah cuba menconteng arang ke muka TGNA dengan isu penajaan haji. Akan tetapi TGNA lebih bijak dengan menolak tawaran tersebut secara baik. Walaubagaimanapun mereka tetap memainkan propanganda mereka bahawa TGNA seorang perasuah, walhal kisah yang sebenarnya ialah penajaan haji tersebut adalah bagi memenuhi permintaan hajat oleh seseorang hamba Allah, barangkali pengagum TGNA. Kemudian, isu perlantikan menantu TGNA sebagai CEO PMBK, GLC kerajaan Kelantan. Namun isu tersebut selesai apabila menantu beliau meletak jawatan selepas mendapat nasihat daripada mertuanya sendiri.

Kemudian muncul pula segolongan manusia yang menamakan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan yang berjumlah hampir 200 anggota mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim pagi awal minggu lalu ini bagi memprotes tindakan TGNA yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti. TGNA dalam khutbah Aidiladha Jumaat lalu menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan. Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.

Namun, demonstrasi tersebut dibalas oleh rakyat Kelantan dengan menyertai Perhimpunan Menyokong TGNA yang berjumlah lebih 10,000 penyokong dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat Kelantan. Ianya berlangsung di Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati pada pagi hari jumaat minggu lalu, merupakan satu signal yang ditunjukkan rakyat negeri ini kepada UMNO-BN. Bukan sahaja kepercayaan rakyat Kelantan terhadap TGNA tetap utuh,malah keyakinan Rakyat Malaysia terhadap kredibiliti dan akauntabilti PR makin kukuh. Mungkin sahaja UMNO-BN boleh menumbang PR jika mereka mengubah dasar perjuangan mereka kepada berasaskan Islam. Tiada rasuah, tiada kronisme, serta lain-lain penyakit yang sudah membarah sejak sekian lama dalam diri UMNO-BN. Selamat mencuba petua ini!

Tiada ulasan: