Khamis, 20 Ogos 2009

Tahniah dan takziah buat ahli Saf pimpinan PPI baru: sesi 2009-2010

Assalamualaikum,

Pertama sekali ucapan tahniah buat ahli saf pimpinan Persatuan Pengajian Islam (PPI) Uniten Kampus Putrajaya yang baru sahaja dilantik pada hari semalam dalam Muktamar Sanawi PPI kali ke-11. Tahniah kerana telah memenangi pencalonan tersebut, sememangnya kalianlah pemimpin PPI yang dinantikan untuk setahun yang baru.

Tidak dilupai juga bahawa turut mengiringi ucapan tahniah ini adalah ucapan takziah. Takziah kerana telah menerima amanah daripada Allah untuk melaksanakan kerja-kerja Islam yang dilakukan dalam satu organisasi Islam. Apabila kita menerima satu amanah, hendaklah kita melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh walaupun beribu halangan berupa ranjau dan onak duri menanti di hadapan. Inilah salah satu bukti yang menunjukkan sifat seorang mukmin sebenar. Ianya berbeza dengan seorang yang bersifat munafiq,iaitu apabila diberi amanah ia khianatinya. Nauzubillah..

Sesungguhnya, pelantikan ahli saf pimpinan PPI yang melalui proses pencalonan dan pemilihan bukalah bermakna anda mendapat sokongan padu dari ahli-ahli PPI semata-mata. Akan tetapi, kalian harus ingat bahawa ini adalah satu taklifan. Taklifan ini boleh jadi ianya bukan kehendak kita, tetapi kehendak Allah. Apatah lagi jika ianya sudah menjadi kehendak kita, lalu ianya menjadi benar bila kita terpilih menjadi pimpinan. Bila kita hendak memahami maksud taklifan ini secara mudah, maka kita kena memahami dahulu konsep ‘beriman dengan qada dan qadar Allah Subhanallah taala’. Sehebat mana sekalipun perancangan kita, hebat lagi perancangan Allah sang pencipta (khalik) berbanding dengan kita yang bersifat diciptakan(makhluk).

Bagi yang sudah mencuba nasib untuk bertanding tetapi tidak terpilih, jangan berasa hati kerana tempat anda untuk menanam benih bakti di PPI masih terbentang luas. Reda dan berlapang dada adalah kunci kepada kesudahan pemilihan yang sudah lepas. Reda akan membawa kita kepada jalan taabud Allah, iaitu mengabdikan diri kita kepada Allah. Apabila kita reda dengan takdir Allah, kita akan memahami hikmah di sebalik peristiwa yang terjadi dalam hidup ini. Dengan reda juga akan menjadikan diri kita sebagai hamba-NYA yang bersyukur. Reda juga adalah latihan kepada jiwa dalaman supaya berbaik sangka dengan apa yang ditentukan Allah. Hal ini selari dengan firman Allah, iaitu barangkali apa yang baik bagi kamu adalah tidak baik disisi Allah. Sebaliknya, apa yang kamu rasa tidak baik adalah baik disisi-NYA.

Semoga saf pimpinan PPI yang baru dapat meneruskan perjuangan PPI sejak sekian lama, menjadi mata-mata rantai perjuangan Islam. Kepada ahli saf pimpinan PPI yang baru mendapat status MANTAN (memimjam daripada kata-kata sahabat saya, iaitu Mundar mANdir TANpa jawatan), saya harapkan agar anda dapat membantu memberi bimbingan yang diperlukan kepada pimpinan baru. Semoga PPI yang menjadikan Al-Quran dan sunnah rasulullah sebagai gari panduan, serta kerja dakwah sebagai tugas utama akan diredai oleh Allah dari sekarang hingga keakhirat kelak. InsyaAllah.

Tiada ulasan: