Rabu, 18 Februari 2009

Kerjasama Strategik PPI dan Bahagian Keselamatan UNITEN: Kempen ‘Dari Hati Ke Hati’

Satu kempen anjuran bersama antara biro Tarbiyah dan Kepimpinan(TNK) dan biro Dakwah dan Sebaran Am(DIO) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UNITEN telah dijalankan pada 13 dan 14 Februari 2009 lalu. Kempen yang dinamakan sebagai ‘Dari Hati Ke Hati’ dilakukan sekitar kawasan Uniten, bermula dari jam 9.30malam hingga ke lewat malam. Objektif utama kempen tersebut dilaksanakan adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan sasaran akan keburukan sambutan Hari Valentine.

Hari Valentine yang disambut oleh masyarakat barat pada 14 Februari merupakan sebuah tarikh keramat bagi pasangan kekasih untuk melafazkan rasa cinta, kasih, dan sayang mereka kepada kekasih mereka. Namun begitu, perayaan Hari Valentine telah menjadi ikutan oleh terutamanya dari kalangan remaja kesan daripada kemasukan pelbagai gaya hidup barat ke dunia Islam. Bertukar-tukar hadiah dan tanda hati sempena Valentine, semarak warna pink, ucapan rasa kasih sayang, ungkapan cinta dengan berbagai ekspresinya, menyemarakkan suasana Valentine setiap tahun, bahkan di kalangan remaja muslim sekali pun.


Malangnya, budaya yang dibawa oleh barat ini tidak mempunyai sedikitpun kesinambungan dengan budaya Melayu yang halus dan hukum-hukum Islam yang suci. ‘Hari Kekasih’ yang dibawa oleh orang-orang Barat tanpa disedari telah melekakan dan merosakkan akhlak masyarakat Islam, kerana senario menyambut ‘Hari Kekasih’ telah menular hampir segenap kalangan remaja Islam. Lebih membimbangkan lagi ianya bukan sahaja berlegar pada perkara seperti berutus-utus kad ucapan dan hadiah atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi adanya segelintir remaja yang sanggup menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kesetiaan. Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak bukan yang menggalakkan kepada perkara-perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat.


Menurut pengarah jawatankuasa kempen ‘Dari Hati Ke Hati’, saudara Wan Baihaqi Bin Wan Abd Rahman pihak Persatuan Pengajian Islam UNITEN (PPIUNITEN) amat menyedari hakikat ini dan kepentingan untuk menegah kemungkaran yang berlaku sempena Hari Valentine ini sejajar dengan visi PPIUNITEN iaitu menyebar luaskan kefahaman Islam kepada seluruh warga UNITEN. Maka kempen bergerak di sekitar UNITEN seperti ini yang dirancang sekian lama akhirnya telah berjaya diadakan bagi memberi kesedaran kepada umat Islam UNITEN supaya tidak terikut-ikut dengan budaya kuning yang dibawa oleh barat ini. Wakil dari bahagian Keselamatan UNITEN, Tuan Ismail juga menghargai usaha PPI kerana sudi untuk menjemput pihaknya untuk turut sama terlibat dalam aktiviti kempen yang dianjurkan oleh pihak PPIUNITEN. Tambah beliau, disamping pihaknya dapat membantu PPIUNITEN dalam menjalankan kerja-kerja Islam mereka juga berbesar hati kerana pihak PPIUNITEN secara tidak langsung telah membantu pihak Keselamatan dalam menjaga keamanan kawasan UNITEN. Ini membuktikan bahawa PPIUNITEN telah terkehadapan dalam isu-isu yang melibatkan kesedaran tentang masyarakat dan sosial khususnya di dalam UNITEN. Pihak beliau turut memberikan respon positif dengan mengalu-alukan sebarang kerjasama dari PPIUNITEN pada masa akan datang.


Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan adalah pengedaran risalah kepada seluruh warga UNITEN di sekitar kawasan UNITEN. Pada masa yang sama juga, kata-kata berbentuk nasihat turut disebarkan kepada pelajar-pelajar UNITEN yang berada di kawasan tebuka seperti di UPTEN, tasik, perhentian bas Kelompok Ilmu dan lain-lain tempat. Kempen ini juga merupakan antara kerja ‘Amar Makruf Nahi’ yang dilakukan oleh pihak PPIUNITEN selain daripada kerja-kerja dakwah yang berkala. Bersesuaian dengan motto yang dipegang oleh PPIUNITEN, iaitu ‘DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU ISLAM DITEGAK’.

[SUMBER DARI, http://www.ppiunite
n.com/v1/index.php?option=com_content&view=frontpage&Itemid=1
]

Tiada ulasan: