Jumaat, 23 Mei 2008

Contohilah Ustaz Akhil Hayy!

Pada jam 9 mlm tadi, saya sempat membuka saluran televisyen astro oasis yang mana rancangan bersiar langsung pada ketika itu ialah ‘Kafe Akhil Hayy’. Walaupun rancangan hiburan tersebut berbentuk santai, ‘simple’ dan ringan tetapi ia mendatang lebih banyak input bermanfaat kepada para penonton jika dibandingkan dengan rancangan hiburan lain yang lebih popular seperti Akademi Fantasia (AF), One In A Milion (OIAM), Gangstarz dan Malaysian Idol. Hal ini kerana rancangan hiburan seperti ‘Kafe Akhil Hayy’ mengajak para penonton berhibur dengan cara yang betul, iaitu memberikan hiburan dan pada masa yang sama ia bersifat mendidik serta mendorong penonton ke arah kebaikan. Berpandukan kepada perkara yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu iaitu ‘percaya ada hantu dan takut kepada hantu’, Ustaz Akhil cuba menjelaskan kepada penonton tentang keadaan kefahaman sebenar status ‘hantu’ yang berada di sekeliling kita.

Antara kata-kata yang beliau ungkapkan berbunyi, “hantu ini bersifat jirim bukan bersifat jisim. Jadinya, apa yang tergambar dalam kepala kita membolehkan kita Nampak hantu dalam bentuk yang kita fikirkan.” Tambah beliau lagi, “sebab itu hantu (jin dan syaitan) ini mudah masuk ke dalam badan kita(manusia) dan menjelma jadi hantu (melalui perubahan luar biasa pemilik badan manusia yang dirasuk).”

Itulah antara beberapa babak yang sempat saya tonton dalam rancangan tersebut. Apa yang menariknya, barisan pelakon yang terlibat sama dalam menjayakan ‘Kafe Akhil Hayy’ ialah kebanyakannya bekas pelajar-pelajar AF5 dan AF6. Secara tidak langsung, usaha dakwah yang sedang dijalankan oleh ustaz Akhil kita ini merupakan pendekatan secara halus dan berhikmah. Walaupun para pelakon rancang ini masih mengekalkan imej penampilan diri seperti semasa di AF lagi, tetapi jika kita lihat dari sudut jangka panjang ia merupakan satu usaha yang strategik dalam men’tarbiyah’kan(mendidik) akhlak mereka secara berterusan.

Jikalau sebelum ini semasa mereka berada di AF mereka telah diajar untuk bercampur gaul sesama lelaki dan perempuan secara bebas tanpa sebarang batasan seolah-olah sebagai satu keluarga, kini mereka berada di naungan Ustaz Akhil dengan menggunakan konsep yang sama cuma berbeza dari segi prinsip. Iaitu berdasarkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Islam. Contoh paling jelas ialah semasa di AF berdua-duaan antara lelaki dan perempuan seperti sesuatu yang normal, sebaliknya di dalam ‘Kafe Akhil Hayy’ seorang perempuan akan bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua orang lelaki dan sebaliknya jika dalam keadaan lelaki seorang.

Memandangkan Ustaz Akhil juga merupakan bekas seorang rockers seperti yang kita semua maklum, ia telah memberi satu kelebihan kepada beliau untuk menggerakkan usaha dakwah dengan lebih pesat lagi, yang sememangnya menjadi tanggungjawab setiap insan yang beragama Islam. Dan kelebihan yang beliau miliki itu juga merupakan satu penanda yang mesti dicabar oleh semua kaum muslim dalam menjalankan usaha dakwah Islamiyyah di muka bumi ini, lebih-lebih lagi ada antara kita yang dari kecil hingga besarnya dibesarkan dalam persekitaran yang Islamik. Jika bekas rockers boleh berdakwah, kenapa kita yang bekas pelajar baik dari SMKA, SBP, MRSM, SMT mahupun maahad tidak boleh mencontohi ustaz Akhil? Ingatlah bahawa usaha dakwah yang menjadi kewajipan ini dilakukan bukan untuk memperoleh sebarang ganjaran atau pujian tetapi semata-mata kerana ingin mengharapkan keredaaan Allah Subhanallah Taala.

Seperkara lagi, medium dan sasaran dakwah bukan terbatas kepada persatuan tertentu sahaja atau di tempat khusus sahaja tetapi ia mestilah bebas untuk dilaksanakan di mana-mana jua seperti yang ditunjukkan dalam ‘Kafe Akhil Hayy’ iaitu di dalam kafe. Saya merasa insaf kerana masih lemah lagi untuk bertindak sebagai seorang daie (pendakwah). Marilah kita semua berusaha untuk melaksana tanggungjawab ini secara istiqamah (konsisten). InsyaAllah.

Rabu, 21 Mei 2008

Isu-isu panas HUJAH@TV9!!!

Setiap hari saya akan pulang bekerja pada waktu malam sama ada selepas waktu maghrib ataupun selepas pukul 10 malam, ianya bergantung kepada keadaan. Secara tidak langsungnya, pulang ke rumah dari kerja dalam keadaan yang letih menyebabkan saya jarang-jarang sekali berpeluang untuk membaca surat khabar, mel, majalah dan lain-lain setiap hari apatah lagi untuk menulis dalam blog saya sendiri. TV pun hanya sesekali dapat ditonton, itu pun jika rajin saya duduk menghadap TV.

Pada minggu lepas, saya secara tidak sengaja telah membuka TV siaran sembilan(TV 9) pada jam 9.30 malam. Rancangan yang disiarkan pada ketika itu ialah berbentuk perbincangan pendapat dan penghuraian mengenai isu-isu semasa iaitu rancangan yang dinamakan sebagai HUJAH. Rancangan ini merupakan rancangan mingguan setiap hari selasa yang mana dipengerusikan oleh seorang moderator yang tidak asing lagi, iaitu Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof. Beliau merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan sering dijemput untuk mengendalikan program diskusi yang lebih menjurus kepada isu politik dan isu-isu semasa.

Isu yang dibincangkan pada minggu lepas ialah tentang ‘Ketuanan Melayu’ bersama tetamu jemputan dari Universiti Malaya(UM) , mereka ialah Dato’ Malek Munip yang merupakan bekas pensyarah UM dan Prof Dr Azmi seorang pensyarah Undang-undang juga dari UM. Isu ini dibincangkan pada ketika itu dengan begitu menarik sekali kerana panel yang dijemput memiliki pendapat yang sama sekali berbeza antara satu sama lain dan turut mewakili dua kelompok masyarakat yang wujud di Malaysia kini. Dato’ Malek mewakili golongan tua Melayu yang memiliki gaya pemikiran masyarakat Melayu lama, manakala Dr Azmi pula bertindak sebagai suara golongan muda Melayu dan masyarakat Malaysia zaman kini.

Setiap panel mempunyai buah fikiran yang bernas dan mengemukakan hujah dan penjelasan yang cukup mantap hinggakan pada klimak rancangan ini kedua-dua orang tetamu ini saling berbalas hujah untuk membenarkan pendapat masing-masing. Pada ketika itu, moderator rancangan seolah-seolah kehilangan kata-kata untuk menghangatkan suasana dengan membangkitkan persoalan tambahan kepada jawapan yang diberikan para panel jemputan seperti kebiasaan yang dilakukan beliau. Keadaan ini terbawa-bawa hingga ke sesi kesimpulan apabila tuan moderator memberi kesimpulan yang ringkas, tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan isi perbincangan yang telah dihuraikan. Walaupun begitu, saya ingin memuji panel Dr Azmi kerana berjaya mengemukakan bukti yang kukuh disertai oleh penerangan yang jelas tentang isu ketuanan Melayu kerana pada hemat saya beliau secara halusnya telah menewaskan pendapat dan hujah-hujah oleh panel yang seorang lagi. Kata-kata di dalam hujah beliau melambangkan ciri-ciri masyarakat yang sentiasa inginkan kemajuan, yang mengutamakan keadilan serta menolak kezaliman dan mengamalkan, dan mementingkan ilmu dan toleransi dalam masyarakat.

Jika keadaan tersebut berlaku pada minggu lepas, berbeza pula pada minggu ini di mana kedua-dua panel yang dijemput agak senada dalam membincangkan isu ‘Kebebasan Media: satu retorik?’. Panel yang dijemput pada minggu ini adalah Puan Nuraina, bekas editor politik NST dan Dr Abu Hassan Hasbullah, pensyarah di Jabatan Media Universiti Malaya (UM). Agak menarik diskusi pada minggu ini kerana walaupun mereka saling membantu antara satu sama lain dalam menyokong dan menghuraikan isu kebebasan media tetapi mereka tetap berwaspada dalam mengeluarkan buah fikiran masing-masing. Moderator Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof pun tidak teragak-agak untuk melakukan ‘provokasi’ melalui soalan-soalan yang sentiasa berkaitan dengan peristiwa yang sedang berlaku dalam negara kita masa kini. Pada kali ini, tuan moderator berjaya mengawal keadaan dengan cemerlang kerana beliau dapat menjana idea-idea bernas daripada para panel melalui soalan ‘cepu emas’ dengan lancer dan terancang.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam diskusi berkenaan ialah kebebasan media di negara kita tersekat terutamanya media arus perdana disebabkan oleh campur tangan ‘pihak berkuasa tertentu’. Bila dibangkitkan persoalan tentang kebebasan media alternatif (pembangkang) seperti harakah dan suara keAdilan oleh tuan moderator, para panel mengatakan bahawa media tersebut secara terang dan terbuka telah menyatakan pendirian mereka menjadi media bagi pihak mereka. Yang menjadi masalah pada pandangan para panel ialah apabila media arus perdana yang sepatutnya bersifat nasional, neutral dan terbuka dalam menyampaikan maklumat berita semasa dijadikan alat oleh pihak tertentu dalam menjayakan kepentingan mereka sendiri.

Selain itu, akibat daripada sekatan terhadap kebebasan media menyebabkan masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap ketelusan penyampaian maklumat dan berita oleh akhbar dan media arus perdana. Disebabkan gejala tersebut, masyarakat kini lebih gemar untuk mencari media alternatif. Tambahan pula, peredaran zaman yang membawa manusia ke alam siber berteknologi dan maklumat tanpa wayar menjadikan medium ‘web blog’ atau ‘blog’ semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa sekarang. Maka tidak hairanlah sekiranya kehadiran ‘blog’ dan ‘blogger’ terutama sekali sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) hingga menjelang saat-saat akhir ketibaannya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun kewujudan lambakan media-media kecil ini di ruang maya siber dikhuatiri menjadi tempat penyebaran maklumat berita yang salah dan fitnah berbentuk hasutan, para panel yang hadir sepakat berhujah bahawa masyarakat sudah pandai untuk membezakan betul salah dan baik buruk sesuatu maklumat. Jadi, tidak timbul soal tersekatnya soal kesahihan maklmat kerana hanya media yang telus dalam penyampaian berita sahaja akan menjadi perhatian masyarakat. Malahan, kebebasan media dapat direalisasikan kerana semua pihak dapat menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan adil tanpa tekanan mana-mana pihak.

Akibat seterusnya daripada kebebasan media tersekat ialah wartawan media dan akhbar akan hilang kebebasan untuk berkarya dan nilai kreativiti akan berkurangan dalam hasil karya mereka. Kesan daripada itu, nilai-nilai kewartawanan yang menjadi pegangan mereka terpaksa dikorbankan kerana mendapat tekanan daripada ‘pihak tertentu’. Timbul juga saranan dari pada panel untuk kerajaan menghapuskan terus mana-mana undang-undang yang bersifat tidak adil kepada kebebasan media seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Anti Hasutan. Moderator turut membangkitkan kemungkinan rasional kewujudan undang-undang tertentu berkaitan dengan kebebasan media di negara kita adalah untuk membendung masalah integrasi kaum yang boleh timbul. Tetapi para panel menidakkan alasan tersebut kerana bagi mereka masalah integrasi bukan berpunca daripada media malah tidak ada kait mengait langsung. Yang menjadi punca sebenar ialah dasar pendidikan yang dijalankan oleh pihak pemerintah sejak dari dahulu lagi kerana tiadanya integrasi dalam sistenm pendidikan di negara ini.

Kesimpulan daripada diskusi HUJAH pada minggu ini ialah media mestilah dibenarkan untuk menyampaikan berita secara tepat, lengkap dan pantas serta rakyat Malaysia terutamanya pihak media tidak seharusnya disekat untuk berhujah dan bersuara dalam memberi pendapat tentang sesuatu perkara.

Saya menantikan ketibaan rancangan ini pada minggu depan walaupun dalam sesetengah perkara yang dibincangkan wujud ketidaktelusan dan keadilan.

Rabu, 7 Mei 2008

Senaman yang paling berkesan

Saya sukakan aktiviti yang mengeluarkan peluh seperti ber’jogging’ dan bersukan. Bukan setakat itu sahaja, aktiviti yang berasaskan pembentukan displin seperti latihan ketenteraan turut saya minati. Saya ingat lagi semasa di peringkat menengah rendah ( tingkatan 1-3), saya begitu aktif melibatkan diri dengan Persatuan Kadet Bersatu Malaysia Laut (PKBML). Pada masa tersebut, selain daripada latihan kawad mingguan pada setiap hari Sabtu aktiviti luar seperti menjalani latihan di Pusat Latihan Rekrut atau PULAREK di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi (kini dikenali sebagai KD Sultan Ismail) dan perkhemahan tahunan PKBML diturut saya ikuti. Namun begitu saya tidak sempat untuk menjalani latihan menembak kerana bertembung dengan jadual persekolahan DARJAH KHAS sekolah agama saya. Namun begitu, atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkan, saya tidak dapat mengembalikan kecergasan dan tidak dapat meneruskan aktiviti lasak semasa tingkatan 4-5.

Setelah melangkah kaki ke alam universiti, saya mula menyertai PSSGM atau lebih dikenali sebagai Gayong Uniten. Sedikit sebanyak usaha saya untuk menigkatkan stamina menampakkan sedikit hasil. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kekangan masa dan tugasan yang berbentuk tanggungjawab datang tanpa dijangka, saya mula mengabaikan latihan silat. Saya masih berusaha untuk mengikuti latihan silat selagi termampu.

Saya tiba-tiba terfikir, adakah cara yang lebih mudah untuk membolehkan diri mengeluarkan peluh, dan dapat mengekalkan kekuatan tubuh badan dan kekuatan stamina? Sepanjang tiga tahun berada di uniten, saya dapati apabila tiba bulan puasa kekuatan badan, stamina, semangat dalaman dan keupayaan akal saya meningkat melebihi pada bulan-bulan lain. Setealah dibuat perbandingan secara terpeinci saya dapati bahawa faktor puasa dan bangun awal pagi yang menghasilkan keputusan tersebut. Cuma apa yang saya ingin perkatakan di sini ialah bangun pagi.

Selain daripada bersahur umat Islam juga digalakkan untuk banyakkan tahajud pada awal pagi, iaitu sepertiga malam. Tahajud akan mendekatkan lagi hubungan kita dengan Allah sebagai hubungan antara hamba dan Tuannya. Ketenangan yang diperoleh pada waktu tersebut juga merupakan terapi yang paling berkesan untuk membina daya tahan mental yang kental dan kuat. Pengaliran darah yang lebih merata ke seluruh anggota badan melalui salur darah juga antara perkara yang berlaku ketika melakukan solat sunat ketika bertahajud. Akal menjadi lebih segar dan tajam jika tahajud diamalkan, secara tidak langsung membuktikan bahawa tempoh tersebut merupakan waktu paling sesuai untuk memasukkan ilmu bermanfaat dan mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan sebarang masalah dan persoalan. Dan perkara yang pasti semua orang tidak sedari ialah proses pernafasan semasa bertahajud. Semasa melakukan amalan tersebut, rongga pernafasan akan mengulang-ulang system pernafasan untuk menyedut dan melepaskan gas keluar masuk ke dalam jantung melalui rongga pernafasan. Secara tidak langsungnya stamina akan menjadi lebih kuat apabila aplikasi teknik pernafasan yang berkesan dilaksanakan semasa membaca surah-surah terpilih dan berzikir dalam solat secara berulang-ulang.

Bukankah aplikasi yang wujud dalam solat menghasilkan keputusan yang sama,malah lebih baik berbanding dengan senaman lain selain daripada solat? Maka saya terfikir lagi untuk cuba mengamalkannya, bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi pada sepanjang malam. Tetapi saya akan berasa tidak seronok jika hanya saya seorang sahaja, oleh itu saya ingin mengajak semua rakan-rakan saya untuk melakukan perkara tersebut bersama-sama. JOM AMALKAN TAHAJUD!!!