Jumaat, 23 Mei 2008

Contohilah Ustaz Akhil Hayy!

Pada jam 9 mlm tadi, saya sempat membuka saluran televisyen astro oasis yang mana rancangan bersiar langsung pada ketika itu ialah ‘Kafe Akhil Hayy’. Walaupun rancangan hiburan tersebut berbentuk santai, ‘simple’ dan ringan tetapi ia mendatang lebih banyak input bermanfaat kepada para penonton jika dibandingkan dengan rancangan hiburan lain yang lebih popular seperti Akademi Fantasia (AF), One In A Milion (OIAM), Gangstarz dan Malaysian Idol. Hal ini kerana rancangan hiburan seperti ‘Kafe Akhil Hayy’ mengajak para penonton berhibur dengan cara yang betul, iaitu memberikan hiburan dan pada masa yang sama ia bersifat mendidik serta mendorong penonton ke arah kebaikan. Berpandukan kepada perkara yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu iaitu ‘percaya ada hantu dan takut kepada hantu’, Ustaz Akhil cuba menjelaskan kepada penonton tentang keadaan kefahaman sebenar status ‘hantu’ yang berada di sekeliling kita.

Antara kata-kata yang beliau ungkapkan berbunyi, “hantu ini bersifat jirim bukan bersifat jisim. Jadinya, apa yang tergambar dalam kepala kita membolehkan kita Nampak hantu dalam bentuk yang kita fikirkan.” Tambah beliau lagi, “sebab itu hantu (jin dan syaitan) ini mudah masuk ke dalam badan kita(manusia) dan menjelma jadi hantu (melalui perubahan luar biasa pemilik badan manusia yang dirasuk).”

Itulah antara beberapa babak yang sempat saya tonton dalam rancangan tersebut. Apa yang menariknya, barisan pelakon yang terlibat sama dalam menjayakan ‘Kafe Akhil Hayy’ ialah kebanyakannya bekas pelajar-pelajar AF5 dan AF6. Secara tidak langsung, usaha dakwah yang sedang dijalankan oleh ustaz Akhil kita ini merupakan pendekatan secara halus dan berhikmah. Walaupun para pelakon rancang ini masih mengekalkan imej penampilan diri seperti semasa di AF lagi, tetapi jika kita lihat dari sudut jangka panjang ia merupakan satu usaha yang strategik dalam men’tarbiyah’kan(mendidik) akhlak mereka secara berterusan.

Jikalau sebelum ini semasa mereka berada di AF mereka telah diajar untuk bercampur gaul sesama lelaki dan perempuan secara bebas tanpa sebarang batasan seolah-olah sebagai satu keluarga, kini mereka berada di naungan Ustaz Akhil dengan menggunakan konsep yang sama cuma berbeza dari segi prinsip. Iaitu berdasarkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Islam. Contoh paling jelas ialah semasa di AF berdua-duaan antara lelaki dan perempuan seperti sesuatu yang normal, sebaliknya di dalam ‘Kafe Akhil Hayy’ seorang perempuan akan bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua orang lelaki dan sebaliknya jika dalam keadaan lelaki seorang.

Memandangkan Ustaz Akhil juga merupakan bekas seorang rockers seperti yang kita semua maklum, ia telah memberi satu kelebihan kepada beliau untuk menggerakkan usaha dakwah dengan lebih pesat lagi, yang sememangnya menjadi tanggungjawab setiap insan yang beragama Islam. Dan kelebihan yang beliau miliki itu juga merupakan satu penanda yang mesti dicabar oleh semua kaum muslim dalam menjalankan usaha dakwah Islamiyyah di muka bumi ini, lebih-lebih lagi ada antara kita yang dari kecil hingga besarnya dibesarkan dalam persekitaran yang Islamik. Jika bekas rockers boleh berdakwah, kenapa kita yang bekas pelajar baik dari SMKA, SBP, MRSM, SMT mahupun maahad tidak boleh mencontohi ustaz Akhil? Ingatlah bahawa usaha dakwah yang menjadi kewajipan ini dilakukan bukan untuk memperoleh sebarang ganjaran atau pujian tetapi semata-mata kerana ingin mengharapkan keredaaan Allah Subhanallah Taala.

Seperkara lagi, medium dan sasaran dakwah bukan terbatas kepada persatuan tertentu sahaja atau di tempat khusus sahaja tetapi ia mestilah bebas untuk dilaksanakan di mana-mana jua seperti yang ditunjukkan dalam ‘Kafe Akhil Hayy’ iaitu di dalam kafe. Saya merasa insaf kerana masih lemah lagi untuk bertindak sebagai seorang daie (pendakwah). Marilah kita semua berusaha untuk melaksana tanggungjawab ini secara istiqamah (konsisten). InsyaAllah.

Tiada ulasan: