Isnin, 20 Oktober 2008

Penganjuran Acara Berprestij taraf dunia: Satu kebanggaan atau lebih sia-sia?

Malaysia telah menempa kejayaan dalam pelbagai bidang baik di peringkat benua mahupun dunia. Buktinya, pada tahun 1998 malaysia telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai Negara Asia pertama menganjurkan sukan kedua terbesar di dunia iaitu Sukan Komenwel. Tidak terhenti setakat itu, nama Malaysia mula dikenali apabila berjaya mendapat hak penganjuran pelumbaan FI dan Motor Grand Prix(GP) sesudah siapnya Litar Lumba F1 Antarabangsa Sepang, Selangor. Satu perubahan telah berlaku pada warga dunia apabila kini mereka tahu akan kewujudan Malaysia dalam peta dunia berbanding dahulu yang mana mereka hanya tahu singapura berbanding Negara Malaysia. Dan kini rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan yang telah dicipta Negara, iaitu kejayaan bersifat sementara dunia semata-mata.

Namun persoalan pula timbul mengenai aspek ketamadunan masyarakat Malaysia. Adakah kejayaan-kejayaan tersebut telah menyumbang kepada pembinaan peribadi,intelektual,akhlak, sahsiah, spiritual, rohani, jasmani dan emosi yang seimbang? Bagaimana pula dengan taraf hidup rakyat Malaysia, adakah semakin meningkat atau sebaliknya hasil daripada penganjuran acara bertaraf dunia tersebut? Adakah ekonomi negara ini semakin berkembang?

Jika alasan untuk mengatakan bahawa pengajuran kejohanan tersebut dapat menarik sejumlah besar pelancong asing ke negara ini,lalu dengan peningkatan kedatangan pelancong asing dapat menigkatkan ekonomi negara maka alasan ini sememangnya tidak tepat. Ekonomi dikatakan berkembang sekiranya aktiviti jual beli dalam negara meningkat serta industri-industri yang berkaitan turut berkembang. Tetapi jika aktiviti ekonomi ini disertai dengan pengeluaran sejumlah besar perbelanjaan melebihi jumlah yang pendapatan daripada aktiviti jual beli,maka ianya tidak membawa apa-apa makna kepada peningkatan ekonomi negara. Berdasarkan penyataan di atas, boleh dikatakan bahawa penganjuran acara besar memerlukan bajet yang besar pada masa yang singkat sedangkan jumlah wang yang dimiliki tidak mencukupi dengan perbelanjaan yang diperlukan. Ini tidak termasuk dengan kos pembinaan litar yang masih belum balik modal. Pembayaran kepada pembiaya kewangan untuk pembinaan projek tersebut sebelum ini juga perlu diambil kira. Hasil daripada jualan tiket juga belum menunjukkan apa-apa tanda keuntungan yang diperolehi daripada penganjuran acara berprestij tersebut. Ini belum dikira lagi bersama-sama dengan kos-kos yang sepatutnya diambil kira seperti kos penyelenggaraan kemudahan litar.

Sebagai bukti tambahan, kita bandingkan tukaran nilai matawang asing antara Malaysia dengan negara seberang tambak, Singapura. Sewaktu Singapura baru merdeka dari Malaya nilai mata wang negara kita adalah lebih besar daripada mereka. Tetapi sekarang keadaan tersebut sudah terbalik iaitu matawang negara Singapura lebih besar sebanyak dua kali ganda. Kayu ukur terhadap nilai matawang sesebuah negara yang digunapakai adalah dengan cara melihat pada jumlah hutang dan nilai yang belum berbayar kepada mana-mana pembiaya kewangan. Melihat kepada rancangan pembangunan kerajaan Malaysia yang telah digariskan dalam rancangan-rancangan Malaysia, tidak mustahil untuk mengatakan bahawa kerajaan Malaysia mempunyai hutang luar yang banyak. Status ‘hutang’ menunjukkan ekonomi sesebuah negara tidak stabil kerana sumber kewangan menjadi terhad untuk melabur pada perkara-perkara yang menjadi keperluan rakyat, dan bukan pada sesuatu yang menjadi kehendak kerajaan. Jadi, bagaimana kita boleh kata bahawa penganjuran dapat meningkatkan ekonomi negara dengan kedatangan pelancong yang ramai sedangkan ekonomi Malaysia berada dalam genggaman pemberi hutang? Mahukah kita melihat ekonomi negara jatuh merudum dan rakyat mengalami kesusahan hidup pada masa hadapan?

Seterusnya, turun naik ekonomi dan pembangunan sesebuah negara sangat berkait rapat dengan pembinaan tamadun sesuatu masyarakat. Perkembangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur (dengan cara penganjuran acara bertaraf dunia) yang tidak seiring dengan pembinaan ketamadunan masyarakat akan menyebabkan prestasi ekonomi sesebuah negara tidak bertahan lama,malah tahap IQ,EQ dan SQ masyarakat akan menurun. Hal ini disebabkan oleh penganjuran sesuatu acara biasanya akan dirujuk daripada lain khususnya negara barat yang banyak mengeksport ‘budaya jahiliyah’ ke semua negara di dunia seperti Amerika Syarikat. Keadaan ini akan menyebabkan berlaku pertembungan budaya dan risikonya budaya yang tidak elok akan mudah menyusup masuk ke dalam masyarakat sesebuah negara. Apabila berlaku keadaan ini ianya akan menghasilkan perubahan pada masyarakat daripada masyarakat berakhlak kepada masyarakat yang rosak akhlak, daripada bangsa yang membudayakan ilmu kepada bangsa yang mementingkan aspek materialistik semata-mata dan daripada masyarakat yang taat kepada Allah bertukar menjadi masyarakat yang cintakan dunia melebihi segalanya.

Buktinya pada MOTO GP yang lepas, begitu banyak tin-tin arak bertaburan di serata tempat duduk ‘grand stand’ dan booth-booth jualan. Sepanjang pemerhatian saya, pembeli arak tersebut bukan sahaja terdiri daripada pelancong asing malah orang yang berkulit sawo matang juga sama banyak jumlahnya dengan pelancong. Lebih daripada itu, orang yang berkulit sawo matang dan bercakap dalam bahasa Melayu tersebut tanpa segan silu meminum arak dikhalayak ramai. Seolah-olahnya kehadiran pelancong asing yang membawa budaya arak telah meresapi budaya masyarakat tempatan kita. Bukan takat itu, wanita-wanita yang berpakaian ‘kurang kain’ telah menjadi tatapan pengunjung-pengunjung di sana. Natijahnya, kanak-kanak dan remaja akan mencontohi mereka kelak dan tiada perasaan dalam diri untuk berpakaian sedemikian rupa. Sedikit demi sedikit pegangan akidah mereka akan terhakis lalu menyebabkan mereka hanyut dalam dunia yang kefanaan ini. Inilah yang dikatakan tahap SQ ataupun Spiritual Quotient masyarakat menurun. SQ merangkumi akhlak, sahsiah, dan akidah seseorang.

Manakala IQ dan EQ(Intellectual Quotient & Emotional Quotient) menjadi tidak terarah kepada matlamat hidup sebenar kerana budaya luar yang negatif telah memaparkan kepada masyarakat contoh yang salah dan kesannya ia memesongkan pegangan agama masyarakat, khususnya masyarakat muslim. Menurut pakar kesihatan, pengambilan arak memberi masalah pada system kardiorvaskular, pada jantung manusia. Proses mengepam darah yang mengangkut oksigen dalam hemoglobin ke seluruh anggota tubuh badan manusia akan menjadi tidak lancar dan tersekat-sekat. Akibatnya anggota-anggota badan manusia akan mengalami situasi malfunction, di mana anggota-anggota berkaitan tiadak akan berfungsi dengan baik. Hal ini selari dengan lpengharaman arak dalam syariat Islam, iaitu untuk menjaga mengelakkan daripada mendapat kemudaratan akal. Hukum haram adalah berdasarkan kepada pengambilan arak mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Tambahan pula, arak merupakan ibu kepada segala maksiat kerana kesan buruk meminum arak akan menyebabkan peminum arak terlibat dengan maksiat yang lain seperti penzinaan, pergaduhan, perjudian dan merompak. Kesan jangka masa panjang akan melahirkan masyarakat yang tiada halatuju hidup yang jelas dan lebih jauh daripada itu, institusi keluarga dalam masyarakat akan hancur hanya disebabkan oleh setitik arak.

Kesimpulannya, pihak penganjur sewajarnya meneliti kembali perkara yang telah disebut kerana ianya melibatkan masa depan negara dan masyarakat kita. Negara kita adalah tanggungjawab kita, perubahan boleh dilakukan selagi mana terdapat kemahuan, kesedaran dan usaha. Tanpa salah satu perkara ini, masalah akan berterusan tanpa penyelesaian yang hakiki.

1 ulasan:

KhaliFmUjAhiD berkata...

Assalamualaikum, salam ziarah, lawatlah blog ana ;) http://khalifmujahid.blogspot.com