Ahad, 15 Jun 2008

Pengajaran buat semua

Kepuasan terpancar pada setiap raut wajah ahli keluarga terutama sekali abang Halim dan isterinya kerana majlis aqiqah yang berlangsung pada hari sabtu semalam berjalan dengan lancar. Majlis aqiqah tersebut dihadiri oleh saudara mara dari sebelah mak dan abah serta jemaah lelaki dan wanita surau Taman Sri Tebrau. Majlis tersebut bermula sebaik sahaja selepas solat jemaah waktu Zohor di surau dan pada awalnya perjalanan majlis berlangsung dengan lancar kerana dimulakan dengan marhaban. Namun bermula dari jam tiga pentang, tetamu yang hadir bagaikan mencurah-curah seperti air hujan turun dari langit. Ujar mak,”Barangkali inilah rezeki anak abang Halim”.Sampaikan kami sekeluarga seperti tidak menang tangan untuk memproses pinggan dan cawan kotor untuk dibersihkan dan diletakkan semula ditempat mengambil makanan, dan pada masa yang sama hendak melayan para tetamu yang hadir. Hanya adik-beradik sendiri bertungkus lumus menjayakan majlis sambil dibantu oleh beberapa orang pekerja abah, manakala saudara-mara hanya datang untuk menjamu selera tanpa berniat untuk menghulurkan sebarang bantuan.

Bukan niat saya untuk mengungkitkan soal ini,tetapi ianya menunjukkan bahawa mereka tidak mampu menggunakan akal fikiran untuk berfikir serta tidak merasa sensitif dan prihatin terhadap orang lain lebih-lebih lagi ikatan yang menghubungkan antara kami ialah hubungan persaudaraan melalui perkahwinan. Pada pandangan saya, mungkin inilah trademark bagi masyarakat zaman sekarang meskipun mereka datang dari ceruk-ceruk kampung. Mereka yang sudah dewasa usia sepatutnya memainkan peranan untuk mendidik anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit dengan nilai-nilai murni, bukannya dengan sifat mazmumah yang sangat dibenci oleh rasulullah S.A.W. dan Allah S.W.T.

Hal ini berkaitan dengan akhlak kita sebagai muslim dan orang timur yang terkenal dengan adab dan sopan. Orang yang berakhlak mestilah menitikberatkan tingkahlaku dari segala aspek termasuklah pakaian, hubungan sosial, pemikiran, tingkahlaku, dan lain-lain. Apa guna kalau kita hanya pandai menggayakan tudung(baik yang tudung skap mahupun tudung labuh), tetapi tidak menunjukkan adab dan budi pekerti yang baik terhadap orang lain. Walaupun orang awam kebanyakan mengatakan bahawa orang yang freehair lebih baik daripada orang bertudung, tetapi bagi saya bukan soal freehair yang menentukan baik buruk seseorang. Yang menentukannya ialah akhlak. Memang benarlah kata-kata Yusuf Islam, jika ingin mengenal Islam mestilah pada ajarannya, bukan pada penganutnya.

Selain daripada itu, pengalaman sebagai sukarelawan makanan & dapur dari dulu hingga sekarang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia suka membazir! Tidak susah untuk kita lihat contoh orang yang suka membazir, terutama sekali semasa kenduri kahwin, jamuan di masjid-masjid dan lain-lain. Makanan yang dihidang secara buffet semasa majlis-majlis besar sudah menjadi satu kebiasaan. Seharusnya makanan yang hendak dijamu selera diambil sedikit dahulu,jika terasa ingin menambah makanan dipersilakan. Sememangnya begitulah tatacara dan protokol pengambilan makanan melalui hidangan secara buffet. Saya berfikir, adakah disebabkan oleh belanja makanan tersebut tidak ditanggung mereka maka mereka boleh membuang makanan sesukati??? Sedangkan harga beras, ayam, minyak masak dan hampir kesemua harga bahan mentah makanan meningkat mendadak sejak akhir-akhir ini, pun masih ada segelintir manusia yang suka membazir. Sesungguhnya orang yang bersifat menbazir itu merupakan teman syaitan.

Segala apa yang saya perkatakan tadi merupakan contoh-contoh yang mesti diambil iktibar dan pengajaran buat sahabat sekalian. Tiada niat untuk mengutuk sesiapa, tetapi ianya untuk dijadikan pemangkin muhasabah diri menjadi insan yang berakhlak mulia.

p/s: Hari ini merupakan hari bapa, namun tiada hadiah buat abah.Hehe.Tidak mengapa kerana saya boleh 'forward'kan hadiah tersebut pada 17 Jun, tarikh kelahiran abah seperti yang tercatat dalam kad pengenalan. Hari bapa adalah hari-hari,bukan hanya pada hari tertentu sahaja. Betul tidak kawan-kawan?

Tiada ulasan: