Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam dan makhluk yang wujud di dunia yang kita diami pada hari ini. Setelah lima hari saya berada di negeri Terengganu Darul Iman sejak hari Isnin lalu, kini saya sudah pulang ke rumah keluarga saya di Johor Bahru. Ibarat sirih pulang ke ganggang, itulah ungkapan yag paling tepat untuk menggambarkan keadaan diri saya. Setelah agak lama berkelana di negeri orang, akhirnya saya kembali semula ke tempat asal sementara menunggu pembukaan semester pertama tahun pengajian yang baru.
Saya tiba di rumah tepat jam 6.30 ptg pada hari jumaat setelah menempuh perjalanan selama 9 jam setengah. Dalam perjalanan tersebut,saya disertai oleh seorang rakan seperjuangan semasa di MRSM Jasin dahulu (kini sedang melanjutkan pengajian di UIA Gombak dalam jurusan kejuruteraan), Aizat dan adik saya, Labib yang sedang ‘study week’ di UiTM Dungun. Sememangnya, ini merupakan pengalaman pertama saya memandu kereta dari Pantai Timur hingga ke Selatan Semenanjung dengan menggunakan jalan Pantai yang merentasi Terengganu dan Pahang seterusnya melalui jalan Rompin-Endau-Mersing dan Mersing-Kota Tinggi hinggalah ke Johor Bahru.
Jika dibandingkan dengan pengalaman memandu di Lebuh Raya PLUS yang ber’tar’ dan agak cantik dan rata, saya lebih terpikat untuk memandu di jalan sebelah pantai Timur semenanjung (meliputi negeri Kelantan,Terengganu, Pahang dan Johor) kerana pemandangan di sepanjang jalan tersebut sungguh cantik dan tidak membosankan seperti Lebuh Raya PLUS yang hanya mempunyai kelapa sawit di kiri dan kanan jalan sahaja.
Selain itu, dengan kos perjalanan dengan menggunakan jalan biasa lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan Lebuh raya PLUS kerana tiada bayaran tol dikenakan menggunakan jalan biasa. Dalam pada itu, perjalanan tersebut turut menenangkan fikiran saya kerana suasana kampung dan alam semulajadi yang menjadi bahan tatapan semasa pemanduan saya setelah terlalu banyak memandang bangunan yang tinggi-tinggi belaka di Lembah Klang dan kami sempat singgah di Masjid Kipsas, Kuantan untuk menunaikan solat Fardu Jumaat.
Kepulangan saya turut dinanti-nantikan keluarga dan dalam pada itu, satu pengkhabaran telah disampaikan oleh ibu yang merupakan datang dari isi hati dan harapan yang besar oleh kedua orang ibu bapa saya. Hal tersebut mengenai masa depan saya, walau bagaimanapun, saya tidak berniat untuk menyatakannya di sini kerana merasakan ianya terlalu awal untuk saya buat keputusan. Namun begitu, saya melahirkan jutaan perghargaan dan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa yang terhingga demi memastikan anak-anak mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat. Semoga dengan usaha cadangan yang dihulurkan mereka dapat memudahkan urusan masa hadapan saya. Walaupun begitu, berilah saya pelung untuk membuat pilihan sendiri dan berusaha. Prinsip saya ialah berkawan biarlah beribu, berkasih biarlah satu. Biarlah saya berusaha terlebih dahulu. Namun, soal jodoh saya serahkan bulat-bulat kepada Allah. Biarlah buruk dan cacat di mata manusia asalkan cantik di sisi Allah.
Kini, saya perlu membantu bapa di kedai yang merupakan tanggungjawab sosial sampai bila-bila. Bila mana ada waktu cuti semesta, keluargalah prioriti saya. Meskipun kebanyakan rakan-rakan saya tidak berapa memahami keadaan saya, saya tidak akan ambil hati kerana memahami bahawa mereka tidak pernah melalui kehidupan seperti yang saya lalui kini. Bagi saya, ibu bapa dan keluarga saya adalah nombor satu dan diikuti oleh perkara-perkara lain. Hal ini kerana ibu bapalah yang melahirkan, menjaga, mengasuh, mendidik dan memberi makan kepada saya. Malah, mereka juga menjadi ‘penaja penuh’ pengajian saya, sesuatu yang jarang-jarang berlaku pada kebanyakan rakan-rakan saya. Sememangnya, mereka merupakan penaja yang terbaik di dunia dan akhirat kerana hanya merekalah penaja yang sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan teladan baik, dan menjaga kebajikan tajaan saya supaya tidak boros dalam membelanjakan biasiswa sepertimana yang berlaku pada kebanyakan mahasiswa sekarang.
1 ulasan:
salam brother..takder update ker? masih dalam mode cuti?
Catat Ulasan