Sabtu, 12 April 2008

Johor! I’m Back!!! (Johor! Saya Sudah Kembali!!!)

Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam dan makhluk yang wujud di dunia yang kita diami pada hari ini. Setelah lima hari saya berada di negeri Terengganu Darul Iman sejak hari Isnin lalu, kini saya sudah pulang ke rumah keluarga saya di Johor Bahru. Ibarat sirih pulang ke ganggang, itulah ungkapan yag paling tepat untuk menggambarkan keadaan diri saya. Setelah agak lama berkelana di negeri orang, akhirnya saya kembali semula ke tempat asal sementara menunggu pembukaan semester pertama tahun pengajian yang baru.

Saya tiba di rumah tepat jam 6.30 ptg pada hari jumaat setelah menempuh perjalanan selama 9 jam setengah. Dalam perjalanan tersebut,saya disertai oleh seorang rakan seperjuangan semasa di MRSM Jasin dahulu (kini sedang melanjutkan pengajian di UIA Gombak dalam jurusan kejuruteraan), Aizat dan adik saya, Labib yang sedang ‘study week’ di UiTM Dungun. Sememangnya, ini merupakan pengalaman pertama saya memandu kereta dari Pantai Timur hingga ke Selatan Semenanjung dengan menggunakan jalan Pantai yang merentasi Terengganu dan Pahang seterusnya melalui jalan Rompin-Endau-Mersing dan Mersing-Kota Tinggi hinggalah ke Johor Bahru.

Jika dibandingkan dengan pengalaman memandu di Lebuh Raya PLUS yang ber’tar’ dan agak cantik dan rata, saya lebih terpikat untuk memandu di jalan sebelah pantai Timur semenanjung (meliputi negeri Kelantan,Terengganu, Pahang dan Johor) kerana pemandangan di sepanjang jalan tersebut sungguh cantik dan tidak membosankan seperti Lebuh Raya PLUS yang hanya mempunyai kelapa sawit di kiri dan kanan jalan sahaja.

Selain itu, dengan kos perjalanan dengan menggunakan jalan biasa lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan Lebuh raya PLUS kerana tiada bayaran tol dikenakan menggunakan jalan biasa. Dalam pada itu, perjalanan tersebut turut menenangkan fikiran saya kerana suasana kampung dan alam semulajadi yang menjadi bahan tatapan semasa pemanduan saya setelah terlalu banyak memandang bangunan yang tinggi-tinggi belaka di Lembah Klang dan kami sempat singgah di Masjid Kipsas, Kuantan untuk menunaikan solat Fardu Jumaat.

Kepulangan saya turut dinanti-nantikan keluarga dan dalam pada itu, satu pengkhabaran telah disampaikan oleh ibu yang merupakan datang dari isi hati dan harapan yang besar oleh kedua orang ibu bapa saya. Hal tersebut mengenai masa depan saya, walau bagaimanapun, saya tidak berniat untuk menyatakannya di sini kerana merasakan ianya terlalu awal untuk saya buat keputusan. Namun begitu, saya melahirkan jutaan perghargaan dan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa yang terhingga demi memastikan anak-anak mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat. Semoga dengan usaha cadangan yang dihulurkan mereka dapat memudahkan urusan masa hadapan saya. Walaupun begitu, berilah saya pelung untuk membuat pilihan sendiri dan berusaha. Prinsip saya ialah berkawan biarlah beribu, berkasih biarlah satu. Biarlah saya berusaha terlebih dahulu. Namun, soal jodoh saya serahkan bulat-bulat kepada Allah. Biarlah buruk dan cacat di mata manusia asalkan cantik di sisi Allah.

Kini, saya perlu membantu bapa di kedai yang merupakan tanggungjawab sosial sampai bila-bila. Bila mana ada waktu cuti semesta, keluargalah prioriti saya. Meskipun kebanyakan rakan-rakan saya tidak berapa memahami keadaan saya, saya tidak akan ambil hati kerana memahami bahawa mereka tidak pernah melalui kehidupan seperti yang saya lalui kini. Bagi saya, ibu bapa dan keluarga saya adalah nombor satu dan diikuti oleh perkara-perkara lain. Hal ini kerana ibu bapalah yang melahirkan, menjaga, mengasuh, mendidik dan memberi makan kepada saya. Malah, mereka juga menjadi ‘penaja penuh’ pengajian saya, sesuatu yang jarang-jarang berlaku pada kebanyakan rakan-rakan saya. Sememangnya, mereka merupakan penaja yang terbaik di dunia dan akhirat kerana hanya merekalah penaja yang sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan teladan baik, dan menjaga kebajikan tajaan saya supaya tidak boros dalam membelanjakan biasiswa sepertimana yang berlaku pada kebanyakan mahasiswa sekarang.

Sabtu, 5 April 2008

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Tempat: PWTC,KL

Tarikh: 4-13 April 2008

Waktu:
1. Isnin-Jumaat: 10.00am-7.00pm
2. Sabtu,Ahad&cuti umum: 10.00am-9.00pm

Marilah kita sama-sama melawat pameran buku yang terbesar di Malaysia. Pelbagai genre buku dijual di sana.

"BOOK EMPOWERS MIND"

Khamis, 3 April 2008

HATI dan CINTA

Perkataan hati amat sinonim dengan kehidupan manusia. Jika kita perhatikan dalam kebanyakan lirik lagu baik lagu melayu mahupun inggeris, kita akan dapati hampir kesemuanya akan mengaitkan HATI dengan mesej yang ingin disampaikan penyanyi dalam lagu-lagu mereka sama ada secara langsung ataupun tidak.

“Kita memang dijodohkan bersama, sehati sejiwa..walau esok atau akhir nanti..kita telah ditakdirkan bersama-sama..”.

Lirik ini telah dipetik daripada lagu tema drama melayu bersiri ‘cinderela’ yang popular semasa saya bersekolah rendah, iaitu ‘sehati sejiwa’ nyanyian Haslinda. Bila kita bercakap tentang hati,maka hati akan kerap dikaitkan dengan perasaan cinta. Sememangnya perkara yang sering membelenggu kepada hampir setiap insan manusia terutama sekali golongan remaja iaitu perasaan CINTA. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan CINTA ini sebenarnya hinggakan keadaan jatuh atau bangun seseorang selalu dikaitkan dengan perasaan tersebut?

Cinta adalah suatu perasaan halus dalam diri manusia yang dikurniakan oleh Allah kepada semua makhluknya iaitu insan yang bergelar manusia. Perasaan ini sebenarnya merupakan satu pemberian berupa nikmat daripada Allah yang tidak ternilai harganya. Namun begitu, adakah dengan pemberian tersebut manusia boleh dengan sewenang-wenangnya berbuat sesuka rasa dan gunakan perasaan cinta pada semua perkara, tempat dan tujuan tanpa ada penjagaan HATI yang sewajarnya? Adakah Islam sebagai satu cara hidup yang kita pegang, amalkan dan anuti melarang sama sekali penganutnya untuk bercinta? Mari kita kelaskan beberapa jenis cinta yang biasa manusia amalkan. Antaranya ialah cinta sesama manusia, cintakan harta, dan cintakan pangkat dan kedudukan. Dalam kebanyakan cinta yang wujud, cinta yang sering mendapat perhatian ialah cinta manusia.

Sudah semestinya manusia inginkan kasih sayang daripada ibu bapa dan adik beradik serta perhatian daripada keluarga terdekat, saudara mara dan rakan-rakan. Kerana ianya sudah menjadi fitrah manusia yang sentiasa dahagakan kasih sayang.

Sebagai contoh, si anak kecil sentiasa memerlukan perhatian yang rapi daripada ibubapanya untuk membesar. Bermula daripada penjagaan makan minum, pakaian,tempat tinggal hinggalah kepada tumpuan kasih sayang yang mesti dicurahkan oleh ibubapa kepada anak-anak kecil mereka. Bagi mereka, ibubapa adalah pelindung sejati.

Selain itu, bagi pasangan yang sedang bercinta si lelaki akan selalu mendambakan kasih sayangnya terhadap wanita pujaan hatinya. Begitu juga keadaan bagi si wanita tersebut, dia akan sentiasa merindui kekasih hatinya. Si wanita ini akan membuat apa sahaja demi mengubati perasaan rindunya terhadap si lelaki tersebut. Hasilnya, lelaki tersebut akan membalas kembali cinta kekasih hatinya dengan pelbagai cara. Ini merupakan salah satu jenis cinta iaitu cinta manusia berlainan jantina.

Akan tetapi, apa pula yang akan terjadi sekiranya cinta yang dibina tadi tiba-tiba putus? Sudah pasti kedua-dua pihak akan kecewa dan sedih ataupun setidak-tidaknya salah seorang daripada mereka akan mengalami kesedihan yang teramat sangat. Keadaan ini terjadi kepada manusia kerana perasaan cinta tersebut sudah sebati dalam diri mereka. Sama juga keadaan yang berlaku kepada si anak kecil, mereka akan menangis dan sedih bila mereka berada di tempat yang asing dan ketiadaan ibu bapa mereka.

Itulah antara contoh-contoh cinta yang wujud dalam diri manusia. Akan tetapi, sedarkah kita bahawa cinta yang paling utama ialah CINTAKAN ALLAH. Persoalan mungkin timbul tentang bagaimana cinta ini berada dan boleh berlaku? Sebenarnya kesedaran tentang ‘kisah cinta kita dengan Allah’ telah lama berlaku, yakni lebih lama daripada semua cinta kepada selain daripada-Nya. Hanya manusia yang tidak menyedari kehadirannya. Kalau pun mereka sedar ,tetapi mungkin mereka tidak mengakuinya. Walaupun golongan Marxist dan sekular seperti Adolf Hilter dan Mustapha Kamal mengaku tidak percayakan Tuhan, tetapi mustahil untuk mereka untuk tidak mempunyai sekelumit perasaan terhadap Allah. Atau dalam erti kata yang lain pasti mereka pernah berkata-kata dalam hati untuk memohon pertolongan dari kuasa YANG MAHA ESA semasa mereka berada pada saat-sat genting seperti menghadapi sakaratul maut. Bukankah ini satu contoh yang mudah bagi menggambarkan kesedaran setiap manusia terhadap cinta mereka kepada Allah.

Jadinya, tidak timbul persoalan bagaimana ia boleh berlaku tetapi satu perkara yang menjadi tanda tanya ialah kenapa kita hendak menyuburkan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah Subhanallah Taala? Jawapannya mudah sahaja, kerana kita semua adalah hamba kepada Allah. Allah merupakan khalik(pencipta) segala alam dan makhluk yang wujud didunia sekarang. Manusia sentiasa memerlukan naungan Allah untuk menjalani kehidupan dan mendapatkan nikmat kurniaan-Nya untuk meneruskan perjuangan dalan hidup. Tanpa Allah,kita tidak akan dapat tinggal di bumi Malaysia yang bertuah ini dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di UNITEN. Sememangnya kita mestilah utamakan cinta Allah dan menyuburkannya melebihi cinta-cinta yang lain.

Saya ingin ambil satu contoh yang telah disebutkan sebelum ini dan ingin menghuraikannya kerana ianya sering terjadi. Dan kebanyakannya berlaku kepada remaja ketika mereka selepas ‘putus bercinta’. Baik lelaki mahupun perempuan, mereka akan merasa terlalu sedih dan perit yang teramat sangat seolah-olah dunia hendak berakhir. Pada saat ini,mereka akan mudah tersentuh jiwanya dan boleh melakukan sebarang tindakan di luar kewarasan akal mereka sendiri. Mereka akan menjadi egoistic dan suka menyalahkan orang lain dalam semua perkara. Berakhirnya sebuah percintaan terhadap si lelaki( ataupun si wanita) seperti menyebabkan hidup mereka sudah tiada makna lagi. Pada saat ini mudahlah bagi benda-benda yang jahat dan perkara yang tidak elok untuk meresap masuk ke dalam diri mereka sekiranya tiada tindakan sewajarnya untuk membimbing diri mereka dari terus hanyut.

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku dan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati meraka? Hal ini berlaku kerana jiwa mereka (orang yang hangat bercinta,kemudian tiba-tiba putus) telah terpaut kepada cinta manusia sehinggakan mereka mengabaikan cinta mereka kepada Allah. Malah lebih teruk lagi, mereka sanggup mengetepikan perasaan dan kepentingan keluarga mereka sendiri atas alasan demi membuktikan kesetiaan kepada pasangan masing-masing. Apabila terjadinya perpisahan, mereka merasakan bahawa mereka keseorang di dunia dan hilang segala-segalanya. Padahal mereka hanya hilang kekasih manusia, tetapi tidak bagi kasih Allah. Malahan, ibu bapa mereka masih lagi bersama di sisi dan kehadiran rakan-rakan yang ramai. Penyelesaian kepada perkara ini amatlah mudah, iaitu kembalilah kepada Allah.

Suburkanlah kembali KISAH CINTA KITA KEPADA ALLAH melalui taubat, amalan-amalan sunat, zikrullah, berbuat baik sesama manusia dan lain-lain serta pereratkan kembali persaudaraan antara saudara-saudara seislam. Sekiranya CINTA ILAHI sudah dipupuk, hati kita tidak akan mudah untuk diganggu oleh unsur-unsur jahat seperti hasutan syaitan dan hawa nafsu, dan hati tidak akan mudah terpengaruh dengan persekitaran dunia yang semakin lama semakin parah. Maka pada masa itu segala keburukan seperti sifat egoistik dalam diri, ketidakwarasan akal berfikir, suka menyalahkan orang lain dan perasaan rendah diri akan dapat dihindarkan dengan mudah kerana hati sudah memperoleh kekuatan yang lebih hebat daripada kekuatan yang mereka pernah miliki sewaktu bercinta dengan kekasih manusia. Kuasa yang hebat ini lahir daripada kisah cinta yang telah lama mereka mulakan tetapi tidak disuburkan, iaitu KISAH CINTA KEPADA ALLAH.

“Kalau diikutkan hati kita akan mati, kalau diikutkan rasa kelak kita akan binasa, kalau kita ikut kata iman insyaAllah selamat dunia akhirat”

“Iman akan subur bila cinta Ilahi dibajai dan disiram, hati yang mati akan hidup semula dengan cahaya hidayah daripada Allah”

“Hati yang subur dengan iman ibarat kerajaan yang dimiliki oleh raja yang adil dan dibantu oleh perdana menteri yang berjiwa rakyat. Hati yang subur itu laksana raja yang adil manakala perdana menteri tersebut adalah seperti iman”

Rabu, 2 April 2008

Saya Selepas tamat FInal Exam...

Alhamdulillah....Setelah peperiksaan tamat pada petang semalam kini saya boleh menumpukan perhatian kepada project NUMEC yang tertangguh sejak sebelum bermulanya minggu peperiksaan. Dan sekarang diriku merasa lega kerana bebanan peperiksaan sudah tiada. Kini saya bebas untuk melakukan aktiviti sendiri. Salah satu aktiviti saya ialah menulis blog. Tetapi hobi baru saya ini agak terganggu sejak akhir-akhir. Walau bagaimanapun, tiada sebarang alasan untuk saya patah semangat dalam menulis kerana saya memandang bidang ini merupakan satu kerja amal untuk masa hadapan.

Lagipun banyak manfaat yang bakal saya terima baik di dunia mahupun di akhirat. Dengan menulis, saya akan lebih banyak membaca dan berfikir. Dengan membaca saya akan lebih rajin untuk mengkaji tentang sesuatu perkara sebelum saya luahkan pendapat saya menerusi tulisan. Dengan menulis juga, saya akan dapat menguasai bahasa dengan lebih baik. Secara terus terang, saya akui bahawa saya mempunyai kelemahan dalam berbicara. Saya lebih gemar untuk mendengar. Berbekalkan semangat yang padu, saya merasakan bahawa perlu bagi saya untuk bercakap dan menulis, berbanding mendengar sahaja. InsyaAllah.

Walaupun banyak halangan yang menanti saya pada masa hadapan, saya tetap akan menempuhinya juga. Kalau tidak saya mulakan dari sekarang untuk menulis, mungkin saya akan jadi lebih liat menulis pada masa hadapan. Begitu juga dengan matlamat saya dalam bidang penulisan ini, iaitu untuk beramal. Kalau saya tidak mulakan dari sekarang untuk melakukan kerja-kerja amal,maka sukarlah bagi saya untuk melakukannya pada kemudian hari.Segala cadangan dan komen-komen dari semua rakan-rakan amat saya alu-alukan bagi membolehkan saya memperbaiki mutu penulisan saya.

Sekiranya cadangan dan komen yang datang bukan untuk blog, tetapi berkaitan dengan diri saya dan hal-hal lain pun saya turut terima. Saya amat berbesar hati untuk menerima segala perkara yang mendatangkan kebaikan kepada saya dan semua orang.Yang penting buat masa sekarang,FOKUS! HAKIM FOKUS! Fokus dengan apa jua yang saya lakukan.