Perkataan hati amat sinonim dengan kehidupan manusia. Jika kita perhatikan dalam kebanyakan lirik lagu baik lagu melayu mahupun inggeris, kita akan dapati hampir kesemuanya akan mengaitkan HATI dengan mesej yang ingin disampaikan penyanyi dalam lagu-lagu mereka sama ada secara langsung ataupun tidak.
“Kita memang dijodohkan bersama, sehati sejiwa..walau esok atau akhir nanti..kita telah ditakdirkan bersama-sama..”.
Lirik ini telah dipetik daripada lagu tema drama melayu bersiri ‘cinderela’ yang popular semasa saya bersekolah rendah, iaitu ‘sehati sejiwa’ nyanyian Haslinda. Bila kita bercakap tentang hati,maka hati akan kerap dikaitkan dengan perasaan cinta. Sememangnya perkara yang sering membelenggu kepada hampir setiap insan manusia terutama sekali golongan remaja iaitu perasaan CINTA. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan CINTA ini sebenarnya hinggakan keadaan jatuh atau bangun seseorang selalu dikaitkan dengan perasaan tersebut?
Cinta adalah suatu perasaan halus dalam diri manusia yang dikurniakan oleh Allah kepada semua makhluknya iaitu insan yang bergelar manusia. Perasaan ini sebenarnya merupakan satu pemberian berupa nikmat daripada Allah yang tidak ternilai harganya. Namun begitu, adakah dengan pemberian tersebut manusia boleh dengan sewenang-wenangnya berbuat sesuka rasa dan gunakan perasaan cinta pada semua perkara, tempat dan tujuan tanpa ada penjagaan HATI yang sewajarnya? Adakah Islam sebagai satu cara hidup yang kita pegang, amalkan dan anuti melarang sama sekali penganutnya untuk bercinta? Mari kita kelaskan beberapa jenis cinta yang biasa manusia amalkan. Antaranya ialah cinta sesama manusia, cintakan harta, dan cintakan pangkat dan kedudukan. Dalam kebanyakan cinta yang wujud, cinta yang sering mendapat perhatian ialah cinta manusia.
Sudah semestinya manusia inginkan kasih sayang daripada ibu bapa dan adik beradik serta perhatian daripada keluarga terdekat, saudara mara dan rakan-rakan. Kerana ianya sudah menjadi fitrah manusia yang sentiasa dahagakan kasih sayang.
Sebagai contoh, si anak kecil sentiasa memerlukan perhatian yang rapi daripada ibubapanya untuk membesar. Bermula daripada penjagaan makan minum, pakaian,tempat tinggal hinggalah kepada tumpuan kasih sayang yang mesti dicurahkan oleh ibubapa kepada anak-anak kecil mereka. Bagi mereka, ibubapa adalah pelindung sejati.
Selain itu, bagi pasangan yang sedang bercinta si lelaki akan selalu mendambakan kasih sayangnya terhadap wanita pujaan hatinya. Begitu juga keadaan bagi si wanita tersebut, dia akan sentiasa merindui kekasih hatinya. Si wanita ini akan membuat apa sahaja demi mengubati perasaan rindunya terhadap si lelaki tersebut. Hasilnya, lelaki tersebut akan membalas kembali cinta kekasih hatinya dengan pelbagai cara. Ini merupakan salah satu jenis cinta iaitu cinta manusia berlainan jantina.
Akan tetapi, apa pula yang akan terjadi sekiranya cinta yang dibina tadi tiba-tiba putus? Sudah pasti kedua-dua pihak akan kecewa dan sedih ataupun setidak-tidaknya salah seorang daripada mereka akan mengalami kesedihan yang teramat sangat. Keadaan ini terjadi kepada manusia kerana perasaan cinta tersebut sudah sebati dalam diri mereka. Sama juga keadaan yang berlaku kepada si anak kecil, mereka akan menangis dan sedih bila mereka berada di tempat yang asing dan ketiadaan ibu bapa mereka.
Itulah antara contoh-contoh cinta yang wujud dalam diri manusia. Akan tetapi, sedarkah kita bahawa cinta yang paling utama ialah CINTAKAN ALLAH. Persoalan mungkin timbul tentang bagaimana cinta ini berada dan boleh berlaku? Sebenarnya kesedaran tentang ‘kisah cinta kita dengan Allah’ telah lama berlaku, yakni lebih lama daripada semua cinta kepada selain daripada-Nya. Hanya manusia yang tidak menyedari kehadirannya. Kalau pun mereka sedar ,tetapi mungkin mereka tidak mengakuinya. Walaupun golongan Marxist dan sekular seperti Adolf Hilter dan Mustapha Kamal mengaku tidak percayakan Tuhan, tetapi mustahil untuk mereka untuk tidak mempunyai sekelumit perasaan terhadap Allah. Atau dalam erti kata yang lain pasti mereka pernah berkata-kata dalam hati untuk memohon pertolongan dari kuasa YANG MAHA ESA semasa mereka berada pada saat-sat genting seperti menghadapi sakaratul maut. Bukankah ini satu contoh yang mudah bagi menggambarkan kesedaran setiap manusia terhadap cinta mereka kepada Allah.
Jadinya, tidak timbul persoalan bagaimana ia boleh berlaku tetapi satu perkara yang menjadi tanda tanya ialah kenapa kita hendak menyuburkan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah Subhanallah Taala? Jawapannya mudah sahaja, kerana kita semua adalah hamba kepada Allah. Allah merupakan khalik(pencipta) segala alam dan makhluk yang wujud didunia sekarang. Manusia sentiasa memerlukan naungan Allah untuk menjalani kehidupan dan mendapatkan nikmat kurniaan-Nya untuk meneruskan perjuangan dalan hidup. Tanpa Allah,kita tidak akan dapat tinggal di bumi Malaysia yang bertuah ini dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di UNITEN. Sememangnya kita mestilah utamakan cinta Allah dan menyuburkannya melebihi cinta-cinta yang lain.
Saya ingin ambil satu contoh yang telah disebutkan sebelum ini dan ingin menghuraikannya kerana ianya sering terjadi. Dan kebanyakannya berlaku kepada remaja ketika mereka selepas ‘putus bercinta’. Baik lelaki mahupun perempuan, mereka akan merasa terlalu sedih dan perit yang teramat sangat seolah-olah dunia hendak berakhir. Pada saat ini,mereka akan mudah tersentuh jiwanya dan boleh melakukan sebarang tindakan di luar kewarasan akal mereka sendiri. Mereka akan menjadi egoistic dan suka menyalahkan orang lain dalam semua perkara. Berakhirnya sebuah percintaan terhadap si lelaki( ataupun si wanita) seperti menyebabkan hidup mereka sudah tiada makna lagi. Pada saat ini mudahlah bagi benda-benda yang jahat dan perkara yang tidak elok untuk meresap masuk ke dalam diri mereka sekiranya tiada tindakan sewajarnya untuk membimbing diri mereka dari terus hanyut.
Bagaimanakah hal ini boleh berlaku dan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati meraka? Hal ini berlaku kerana jiwa mereka (orang yang hangat bercinta,kemudian tiba-tiba putus) telah terpaut kepada cinta manusia sehinggakan mereka mengabaikan cinta mereka kepada Allah. Malah lebih teruk lagi, mereka sanggup mengetepikan perasaan dan kepentingan keluarga mereka sendiri atas alasan demi membuktikan kesetiaan kepada pasangan masing-masing. Apabila terjadinya perpisahan, mereka merasakan bahawa mereka keseorang di dunia dan hilang segala-segalanya. Padahal mereka hanya hilang kekasih manusia, tetapi tidak bagi kasih Allah. Malahan, ibu bapa mereka masih lagi bersama di sisi dan kehadiran rakan-rakan yang ramai. Penyelesaian kepada perkara ini amatlah mudah, iaitu kembalilah kepada Allah.
Suburkanlah kembali KISAH CINTA KITA KEPADA ALLAH melalui taubat, amalan-amalan sunat, zikrullah, berbuat baik sesama manusia dan lain-lain serta pereratkan kembali persaudaraan antara saudara-saudara seislam. Sekiranya CINTA ILAHI sudah dipupuk, hati kita tidak akan mudah untuk diganggu oleh unsur-unsur jahat seperti hasutan syaitan dan hawa nafsu, dan hati tidak akan mudah terpengaruh dengan persekitaran dunia yang semakin lama semakin parah. Maka pada masa itu segala keburukan seperti sifat egoistik dalam diri, ketidakwarasan akal berfikir, suka menyalahkan orang lain dan perasaan rendah diri akan dapat dihindarkan dengan mudah kerana hati sudah memperoleh kekuatan yang lebih hebat daripada kekuatan yang mereka pernah miliki sewaktu bercinta dengan kekasih manusia. Kuasa yang hebat ini lahir daripada kisah cinta yang telah lama mereka mulakan tetapi tidak disuburkan, iaitu KISAH CINTA KEPADA ALLAH.
“Kalau diikutkan hati kita akan mati, kalau diikutkan rasa kelak kita akan binasa, kalau kita ikut kata iman insyaAllah selamat dunia akhirat”
“Iman akan subur bila cinta Ilahi dibajai dan disiram, hati yang mati akan hidup semula dengan cahaya hidayah daripada Allah”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan