Jumaat, 25 September 2009

CATATAN RAYA BERSAMA KELUARGA

Raya pertama
-Rombongan adik beradik ke rumah saudara mara sebelah ibu di sekitar johor bahru, kecuali abang dan isterinya kerana menemani ibu bapa yang menunggu kehadiran tetamu di rumah.
-Bermula dengan rumah arwah ayah long di Kg Dato’ Onn, kemudian ke rumah mak saudara di Taman Pulai Perdana, Skudai. Dan rumah mak saudara di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Raya kedua
-Rombongan satu keluarga menuju ke Kampung ayah di Muar. Menziarahi rumah mak saudara sebelah ayah di Kg Melayu. Dan rumah ayah saudara sebelah emak di Desa Skudai terlebih dahulu di Bandar Johor Bahru dan Skudai.
-Kemudian rombongan sekeluarga meneruskan perjalanan ke Batu Pahat, melawat rumah atuk saudara sebelah ayah.
-Seterusnya bertolak menuju ke Muar, bermula dengan rumah kenalan haji mak abah sewaktu di mekah dahulu, di Muar. Selepas itu, baru kami bergerak ke Serom 6, Sg Mati, Muar melawat rumah atuk saudara sebelah ayah.
-Destinasi terakhir, rumah arwah bapa saudara sebelah ayah di Sinmpang Renggam.

[Catatan trafik hari raya kedua]
-jalan penuh dengan kereta dari JB ke Batu Pahat melalui lebuh raya PLUS.
-Selepas masuk susur keluar di Air Hitam, menuju ke Batu Pahat jalan sesak dengan kenderaan yang banyak.
-Jalan dari Batu Pahat menuju ke Muar sesak pada tahap klimaks pada waktu tengah hari.
-Jalan dari Muar ke jalan keluar masuk lebuhraya PLUS mengalami kesesakan yang teramat teruk hingga ke petang.
-Selepas masuk ke lebuh raya PLUS, di sepanjang jalan menuju ke JB sesak dengan kenderaan. Lebuhraya dua lorong menjadi tiga lorong akibat kenderaan yang terlalu banyak dan pergerakan kenderaan menjadi perlahan.
-di semua perhentian R&R penuh dengan kenderaan sehingga kenderaan yang baru tiba tidak dapat masuk ke simpang masuk sekalipun!

Kesimpulan: Jalan raya di Johor pada raya tahun ini begitu sesak, baik di jalan biasa mahupun lebuh raya. Mungkin kerana faktor kenderaan semakin lama semakin banyak di jalan raya Negara kita ini!

40 PERKARA MEMBATALKAN IMAN MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH

01. Syirik
02. Meninggalkan solat fardhu
03. Meninggalkan puasa ramadhan
04. Enggan mengeluarkan zakat
05. Enggan menuaikan haji
06. Riddah (murtad)
07. Kufur terhadap Allah
08. Mengingkari takdir Allah
09. Beramal selain mencapai keredhaan Allah
10. Mentaati selain perintah Allah dan Rasul
11. Bertawakkal selain Allah
12. Memperhambakan manusia
13. Berpaling dari peringatan Al-Quran
14. Mengkhianati amanah Allah dan Rasul
15. Menyembunyikan kebenaran ayat Allah SWT kerana takut kepada ancaman manusia
16. Mengubah dan menyalahgunakan ayat ayat Allah SWT
17. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
18. Mempermainkan kesucian agama
19. Menghukum dengan hukum manusia dan menolak hukum Allah
20. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang dihalalkan Allah SWT
21. Mengajak umat Islam meninggalkan jihad dijalan Allah
22. Mengkafirkan sesama muslim
23. Cinta kepada kehidupan dunia melebihi cinta kepada Allah atau akhirat
24. Mengamalkan cara hidup orang kafir
25. Berpegang teguh kepada adat resam nenek moyang yang berlawanan dengan syariat Islam
26. Munafik (nifak)
27. Beramal dengan riyak
28. Gemar mengamalkan perkara bid’ah
29. Membuat peraturan atau undang undang yang berlawanan dengan petunjuk Allah dan Rasulnya.
30. Tidak beradab terhadap Rasulullah SAW
31. Menghina sahabat Rasulullah SAW
32. mengangkat orang kafir menjadi pemimpin
33. Menolong orang kafir mengintip rahsia orang orang beriman
34. Memberi amanah atau kepercayaan kepada orang kafir untuk kepimpinan umat Islam
35. Memohon keampunan dosa bagi orang kafir
36. Taksub kepada Ulama dalam perkara maksiat
37. Mempercayai tukang tenung
38. Mengamalkan dan mempercayai sihir
39. Mempercayai kuasa azimat
40. Bersumpah dengan selain nama Allah.

sumber: http://komentarkini.blogspot.com/2009/09/40-perkara-membatalkan-iman-menurut-al.html

Seminggu pertama di bulan syawal

Alhamdulillah. Telah masuk seminggu umat Islam menyambut bulan syawal dengan menjadilkan bermaaf-maafan semasa sanak saudara serta saling mengunjungi sebagai amalan di bulan yang mulia ini. Tidak dilupakan juga, bulan Ramadan yang telah kita lepasi sebelum ini, dengan harapan agar bulan Ramadan yang lepas menjadi ‘kick start’ bagi kita semua mencorakkan kehidupan ke arah reda Ilahi.

Inilah pertama kali dalam seumur hidupku berpuasa hampir sebulan di luar kampong. Mana tidaknya, raya hari ahad,, hari jumaat baru bertolak pulang ke kampong. Seperti biasa, hidangan wajib di pagi raya bagi keluarga di kampong ialah ketupat berlaukkan masakan kuah lodeh, rending, ayam masak merah, sambal kentang dan daging ‘deng-deng’. Dan sudah semestinya hampir kesemua hidangan ini juga hidangan bagi rakyat Malaysia umumnya, rakyat Johor khususnya.

Apakah makna sebenar sambutan aidilfitri (sebutan sebenar ialah EID FITRI) bagi kita semua? Mungkin persoalan ini agak janggal bagi kita semua. Namun begitu adalah penting bagi kita renung sejenak tentang tujuan utama kita menyambut aidilftri setelah berpuasa sebulan di Ramadan.

Aidilfitri adalah hari di mana semua orang Islam bergembira bersama sanak saudara. Bersalam-salaman. Bermaaf-maafan. Mendapat duit raya. Makan kuih raya. Nyanyi lagu raya dan sebagainya. Semua perkara yang disebut ini merupakan ulangan dilakukan pada setiap syawal tiap-tiap tahun.Akan tetapi ialah tidak membawa pengertian sebenar aidilfitri.

Seperti mana amalan-amalan Islam yang lain, aidiltri adalah satu ibadah. Tujuan utama merayakannya adalah kerana Allah. Segala perkara yang dilakukan dalam sambutan Aidilfitri mesti mempunyai elemen ini. Jika elemen ini tiada dalam sambutan aidilfitri hatta dalam mana-mana amalan Islam sekalipun akibatnya akan hilanglah roh dalam sesuatu amalan. Maka akhirnya, sesuatu amalan itu akan jadi adat bukan lagi ibadah. Padahal, Islam yang kita percaya dan yakini ini adalah satu cara hidup yang mesti menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Islam bukan agama ritual, seperti yang terjadi pada orang di barat yang menganut kristian. Islam menjadikan kehidupan dunia dan akhirat kedua-duanya seiring. Jelas sekali bahawa Aidilfitri adalah salah satu ibadah kita terhadap Allah.

Bila mana kita melakukan sesuatu ibadah, ianya mesti dilakukan secara cermat dalam keadaan bersih,teliti dan tenang. Fokus kita hanya satu ialah kerana Allah, untuk mendapat reda daripada-Nya. Samalah juga dalam sambutan aidilfitri, sambutan yang kita lakukan mesti dalam keadaan bersih daripada unsur-unsur maksiat, pembaziran dan penyakit-penyakit hati. Inilah masa yang paling sesuai untuk memulakan perubahan secara besar-besaran selepas sebulan ditarbiyah(di didik) dalam Ramadan untuk menahan diri dari makan/minum secara berlebihan dan boros, menahan diri daripada melakukan perkara maksiat, melatih diri untuk membuat amal kepada masyarakat, melatih diri supaya bersifat mahmudah dan sebagainya. Kalau kita perhatikan, pada pagi raya semua orang saling bermaaf-maafan sesame ahli keluarga. Ini adalah simbolik kepada diri kita untuk meletakkan diri kepada keadaan yang mahu berubah kepada lebih baik.

Akhir kalam, kita mestilah memanfaatkan Ramadan dengan amalan kunjung berkunjung sebagai cara untuk mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat. Teruskan dengan berpuasa sunat enam hari di syawal kerana bila ia dilakukan selepas sebulan berpuasa di Ramadan, seolah-olah kita telah berpuasa selama setahun. Yang pasti, semua amalan ini adalah ibadah dengan niat kerana Allah.

Jumaat, 18 September 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI



Selamat menyambut hari raya aidilfitri buat semua rakan se-universiti. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan lama di sekolah menengah MRSM Jasin dan English College, JB dahulu. Semoga ibadah di bulan Ramadan benar-benar melatih kita menjadi insan yang lebih baik pekertinya untuk setahun dari sekarang. InsyaAllah.

Bahaya sifat sombong dan takabbur

Definisi Sombong
Sifat sombong adalah sifat yang tercela dalam Islam, sesungguhnya sifat ini dibenci oleh Allah Subhanaallah taala dan rasulullah. Angkuh, bongkak dan takabbur adalah segolong dengan sifat sombong ini yakni membawa maksud yang sama.Oleh itu kita sebagai hamba Allah ditegah daripada bersikap sombong dan bangga diri.

Firman Allah swt di dalam surah An-nahl, ayat 22-23 yang bermaksud:
Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur.

Firman Allah swt lagi di dalam surah Luqman, ayat 18 yang bermaksud:
Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.”

Sifat sombong dan takabur menjerumuskan kepada kebinasaan dan kekufuran. Firman Allah swt;

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya; Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. al-Baqarah:34.

Orang yang sombong menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, bangga diri kerana kedudukan, pangkat, kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.

Tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya digunakan dalam kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.

Bahagian Sifat sombong dan takabbur
1. Sombong kepada Allah Subhanaallahu ta’ala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanaallahu ta’ala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

2. Sombong kepada Rasul: Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri.

3. Sombong terhadap sesama manusia: Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;
• Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.
• Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.
• Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.
• Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.

Balasan orang yang sombong
Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk.

Firman Allah swt dalam surah An-Nahl, ayat 29 bermaksud;
Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur.

Manusia dilarang dan diharamkan dari bersifat dengan sifat sombong. Larangan ini disebabkan manusia tidak layak bersifat dengan sifat ini kerana manusia merupakan makhluk yang dicipta oleh Allah swt dengan kemampuan yang sangat terbatas. Sifat sombong sangat merbahaya kerana ia menyebabkan berbagai masalah dalam kehidupan manusia.

Bahaya Sifat Sombong
Antara bahaya sifat sombong ialah:

1. Orang yang sombong mendapat kemurkaan dari Allah swt.
Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman;

الكبرياءُ ردائي والعِزَّةُ إزاري فمن نازعنى واحدا منهما قذفته فى النار
Maksudnya;Sombong itu selendang aku dan kemulian itu pakaianku, sesiapa yang mengambil salah satunya daripadanya Aku campakkan ke dalam api neraka.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri

2. Orang yang sombong akan ditutup pintu hidayah daripada Allah swt.
Firman Allah swt;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya; Allah menutup hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka, bagi mereka azab yang sangat besar.

كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ
Maksudnya;Demikianah Allah mengunci mati pintu hati orang yang sombong dan sewenang-wenang


3. Orang yang sombong mengabaikan perintah Allah subhanahu wata’ala.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا
Maksudnya;Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.

4. Orang yang Sombong menjadi penghuni neraka. Sabda Rasulullah saw;

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya;Tidak akan masuk syurga siapa saja yang di dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan)

5. Kesombongan membawa kepada kehinaan di dunia dan di akhirat.

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya;Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

Sifat Sombong dengan Realiti di Universiti
Bila menyebut mengenai sifat sombong ini, sering kali ianya berlaku tanpa kita sedari. Adalah penting bagi kita kenal pasti bila ianya berlaku terutama pada diri sendiri.

Antara situasi yang mungkin biasa berlaku ialah antara student senior dan student junior, antara staf atasan dengan staf bawahan, hatta antara pensyarah dan para pelajar sekalipun! Dengan kata yang mudah, sifat sombong ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja asalkan ianya bergelar makhluk Allah.

Bila berlakunya situasi seperti disebut di atas, maka satu pihak yang merasa dirinya lebih hebat dari pihak lain akan bertindak untuk menunjuk-nunjuk. Sama ada ia keluar dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun detik dalam hati. Tanpa disedari, unsur-unsur mazmumah lain akan turut serta mengiringi ekspresi sifat sombong mereka, seperti sifat riak, mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain, mengumpat dan lain-lain.

Berhati-hatilah dengan sifat sombong wahai golongan yang ingin menegakkan Islam
Bagi golongan yang mengakui memperjuangkan Islam, sewajarnya bagi mereka untuk berwaspada selalu dengan sifat tercela ini. Tidak kira sama ada mereka pelajar, pendakwah bebas, pendidik mahupun USTAZ/USTAZAH! Kalian semua merupakan pembawa risalah Allah di muka bumi. Kalian sedang memjalankan tugas yang suci dan mulia kerana tugas menjalankan dakwah ini adalah warisan tugas kenabian. Janganlah kalian menjerumuskan diri ke dalam api neraka dengan berlaku sombong sesama manusia. Akibatnya akan terpalit kepada diri kalian dan juga kepada kesucian Islam itu sendiri.

Usaha untuk mewujudkan bi’ah (suasana) solehah di dalam kampus akan terjejas dengan sebab perbuatan kalian sendiri. Oleh itu, penulis ingin menyeru kepada diri sendiri dan semua sahabat/sahabiah supaya sentiasa bermuhasabah daripada sifat sombong ini;salah satu daripada sifat tercela.

Sebalik semua akan merasa bahagia dan tenang apabila manusia saling hormat menghormati, merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk, tidak mengutuk dan mencerca pihak lain, dan yang paling penting semua pihak sentiasa berbaik sangka. Kerana itulah inti pati akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Penutup
Akhir kata, penulis berharap supaya kita semua kembali kepada Allah dan sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan setiap hari. Segala kekurangan adalah datang dari diri sendiri. Apa yang baik dapat diambil iktibar sebagai renungan bersama. InsyaAllah.

Isnin, 14 September 2009

‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah, Indonesia

Dua minggu kebelakangan ini masyarakat dunia telah menyaksikan beberapa peristiwa yang menimbulkan ketegangan khususnya yang berlaku di Asia Tenggara. Antara kejadian yang mendapat perhatian meluas adalah ‘Sweeping Malaysia’ yang dicetuskan oleh segelintir rakyat di negara jiran, Indonesia sebagai tanda protes terhadap klip video promosi tarian Pendet yang digunakan oleh Malaysia untuk promosi pelancongan.

Dalam kejadian tersebut, segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) telah melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia di sini dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro di sini untuk mencari rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun, ‘sweeping’ tersebut hanya berlangsung singkat. Hanya 30 minit dari 60 menit yang direncanakan. Tetapi suasana pada ketika itu cukup menegangkan.

Respon daripada presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono selepas berlakunya kejadian tersebut, mengingatkan akan rakyatnya bahawa tindakan kekerasan ‘menyapu bersih’ rakyat Malaysia di sini tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya akan menimbulkan masalah baru. Menurut beliau lagi, terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia. Kebimbangan ini lahir sekarang berikutan reaksi berlebihan segelintir rakyat Indonesia menimbulkan sengketa budaya dengan Malaysia. Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya di sini, seperti tersiar dalam laman webnya, Susilo berkata sweeping ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa. Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah Indonesia sudah mengambil langkah mengatasi masalah yang timbul seperti tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dan mempromosi Pulau Jemur di Riau, melalui saluran diplomatik dan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di sini, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan ‘Ganyang Malaysia’ dan mengakui mempunyai ilmu kebal. Akan tetapi Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dan menjamin rakyat Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap tindakan keras yang dilakukan di sini seperti membakar bendera Malaysia dan membaling telur busuk ke kedutaan Malaysia.

Berdasarkan kepada kejadian tersebut, kerajaan Malaysia sewajarnya mengkaji kenapa tarian bali boleh terdapat dalam klip video promosi pelancongan Malaysia. Perkara kecil ini mestilah dipandang serius kerana ia melibatkan sensitiviti kedua-dua negara. Penulis berpendapat bahawa ada pihak yang secara sengaja ingin mencetuskan api permusuhan antara kedua-dua negara melalui provokasi media massa. Jelas di sini kelihatan, media massa Indonesia telah disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu yang mempunyai agenda jangka masa panjang. Apa agenda tersembunyi tidak sukar untuk diketahui.

Umumnya sudah diketahui bahawa Malaysia dan Indonesia adalah masyarakat serumpun. Hanya sempadan negara yang memisahkan. Itu pun berlaku sejak tamatnya perang dunia kedua, oleh tangan-tangan durjana penjajah asing. Selain daripada itu, perancangan ini dilakukan secara rapi memandangkan kejadian ini bukanlah satu-satunya ketegangan yang berlaku di Asia Tenggara. Di Thailand dan Filipina, perang saudara kerapkali berlaku. Tidak terkecuali bagi negara Kemboja dan Mynmar yang suatu ketika dahulu kerap dimainkan oleh pihak antarabangsa. Perang saudara Vietnam yang berlaku pada tahun 70-an juga merupakan perancangan pihak berkepentingan yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sebahagian bukti-bukti sejarah lalu sudah cukup untuk menjadi indikator akan adanya agenda yang terselit di sebalik peristiwa ini.

Terlebih dahulu seeloknya kita boleh buat kronologi peristiwa daripada sebelum berlakunya ‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah secara jelas. Antara sebahagian rentetan peristiwa yang telah berlaku sebelum ini bermula daripada perebutan hak wilayah ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan;akhirnya dimenangi oleh Malaysia, kemudian kes penderaan amah atau pekerja asing Indonesia di Malaysia, isu penciplakan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku daripada lagu tempatan Indonesia ‘Terang Bulan’, penggunaan lagu ‘Rasa Sayang’ untuk tujuan promosi pelancongan Malaysia dan paling terkini penggunaan klip video promosi tarian Pendet untuk promosi pelancongan oleh Malaysia. Seolah-olah peristiwa ini sudah dirancang sejak sekian lama. Halatuju kronologi ini lebih menjurus ke arah perang saudara. Peranan media massa antarabangsa tambah memarakkan lagi api yang sedang menyala. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kita tidak boleh nafikan peranan oleh pihak tertentu dalam isu ini.
Kepada rakyat Indonesia, nasihat yang ingin penulis lontarkan ialah perlulah berhati-hati dengan segala penyataan yang dikeluarkan oleh media. Kerana dikhuatiri segala tindakan kalian boleh merosakkan hubungan budaya dan rumpun yang telah terjalin sejak sekian lama. Jangan hanya kerana isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Indonesia membenarkan segala tindak tanduk sehingga sanggup menghina negara jiran, malah serumpun. Akhlak berjiran perlu dijaga. Jangan jadi pengikut kepada arus sahaja.

Sebagai kata akhir, terbuka jangan hanyut. Berprinsip jangan jumud.