Jumaat, 18 September 2009

Bahaya sifat sombong dan takabbur

Definisi Sombong
Sifat sombong adalah sifat yang tercela dalam Islam, sesungguhnya sifat ini dibenci oleh Allah Subhanaallah taala dan rasulullah. Angkuh, bongkak dan takabbur adalah segolong dengan sifat sombong ini yakni membawa maksud yang sama.Oleh itu kita sebagai hamba Allah ditegah daripada bersikap sombong dan bangga diri.

Firman Allah swt di dalam surah An-nahl, ayat 22-23 yang bermaksud:
Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur.

Firman Allah swt lagi di dalam surah Luqman, ayat 18 yang bermaksud:
Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.”

Sifat sombong dan takabur menjerumuskan kepada kebinasaan dan kekufuran. Firman Allah swt;

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya; Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. al-Baqarah:34.

Orang yang sombong menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, bangga diri kerana kedudukan, pangkat, kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.

Tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya digunakan dalam kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.

Bahagian Sifat sombong dan takabbur
1. Sombong kepada Allah Subhanaallahu ta’ala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanaallahu ta’ala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

2. Sombong kepada Rasul: Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri.

3. Sombong terhadap sesama manusia: Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;
• Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.
• Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.
• Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.
• Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.

Balasan orang yang sombong
Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk.

Firman Allah swt dalam surah An-Nahl, ayat 29 bermaksud;
Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur.

Manusia dilarang dan diharamkan dari bersifat dengan sifat sombong. Larangan ini disebabkan manusia tidak layak bersifat dengan sifat ini kerana manusia merupakan makhluk yang dicipta oleh Allah swt dengan kemampuan yang sangat terbatas. Sifat sombong sangat merbahaya kerana ia menyebabkan berbagai masalah dalam kehidupan manusia.

Bahaya Sifat Sombong
Antara bahaya sifat sombong ialah:

1. Orang yang sombong mendapat kemurkaan dari Allah swt.
Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman;

الكبرياءُ ردائي والعِزَّةُ إزاري فمن نازعنى واحدا منهما قذفته فى النار
Maksudnya;Sombong itu selendang aku dan kemulian itu pakaianku, sesiapa yang mengambil salah satunya daripadanya Aku campakkan ke dalam api neraka.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri

2. Orang yang sombong akan ditutup pintu hidayah daripada Allah swt.
Firman Allah swt;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya; Allah menutup hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka, bagi mereka azab yang sangat besar.

كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ
Maksudnya;Demikianah Allah mengunci mati pintu hati orang yang sombong dan sewenang-wenang


3. Orang yang sombong mengabaikan perintah Allah subhanahu wata’ala.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا
Maksudnya;Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.

4. Orang yang Sombong menjadi penghuni neraka. Sabda Rasulullah saw;

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya;Tidak akan masuk syurga siapa saja yang di dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan)

5. Kesombongan membawa kepada kehinaan di dunia dan di akhirat.

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya;Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

Sifat Sombong dengan Realiti di Universiti
Bila menyebut mengenai sifat sombong ini, sering kali ianya berlaku tanpa kita sedari. Adalah penting bagi kita kenal pasti bila ianya berlaku terutama pada diri sendiri.

Antara situasi yang mungkin biasa berlaku ialah antara student senior dan student junior, antara staf atasan dengan staf bawahan, hatta antara pensyarah dan para pelajar sekalipun! Dengan kata yang mudah, sifat sombong ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja asalkan ianya bergelar makhluk Allah.

Bila berlakunya situasi seperti disebut di atas, maka satu pihak yang merasa dirinya lebih hebat dari pihak lain akan bertindak untuk menunjuk-nunjuk. Sama ada ia keluar dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun detik dalam hati. Tanpa disedari, unsur-unsur mazmumah lain akan turut serta mengiringi ekspresi sifat sombong mereka, seperti sifat riak, mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain, mengumpat dan lain-lain.

Berhati-hatilah dengan sifat sombong wahai golongan yang ingin menegakkan Islam
Bagi golongan yang mengakui memperjuangkan Islam, sewajarnya bagi mereka untuk berwaspada selalu dengan sifat tercela ini. Tidak kira sama ada mereka pelajar, pendakwah bebas, pendidik mahupun USTAZ/USTAZAH! Kalian semua merupakan pembawa risalah Allah di muka bumi. Kalian sedang memjalankan tugas yang suci dan mulia kerana tugas menjalankan dakwah ini adalah warisan tugas kenabian. Janganlah kalian menjerumuskan diri ke dalam api neraka dengan berlaku sombong sesama manusia. Akibatnya akan terpalit kepada diri kalian dan juga kepada kesucian Islam itu sendiri.

Usaha untuk mewujudkan bi’ah (suasana) solehah di dalam kampus akan terjejas dengan sebab perbuatan kalian sendiri. Oleh itu, penulis ingin menyeru kepada diri sendiri dan semua sahabat/sahabiah supaya sentiasa bermuhasabah daripada sifat sombong ini;salah satu daripada sifat tercela.

Sebalik semua akan merasa bahagia dan tenang apabila manusia saling hormat menghormati, merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk, tidak mengutuk dan mencerca pihak lain, dan yang paling penting semua pihak sentiasa berbaik sangka. Kerana itulah inti pati akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

Penutup
Akhir kata, penulis berharap supaya kita semua kembali kepada Allah dan sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan setiap hari. Segala kekurangan adalah datang dari diri sendiri. Apa yang baik dapat diambil iktibar sebagai renungan bersama. InsyaAllah.

3 ulasan:

nur.... berkata...

mohon copy ye..untuk silibus usrah di maktab sy..terima kasih..sy juga ada buat pautan drpd artikel ini ke blog sy..mohon ye..

khairunnisa mahmud berkata...

saya amat meminati blog ini :) bolehkah anda menyediakan button untuk dishare di laman web?

zuraina berkata...

artikel yg menarik mohon share yek