Ahad, 19 April 2009

Sempena Pameran Buku Antarangsa Kuala Lumpur 2009

Semalam, saya berkesempatan untuk turun ke pesta buku antarabangsa KL yang diadakan secara tahunan di PWTC, KL. Pameran tersebut merupakan medium promosi utama khususnya bagi penerbit-penerbit buku tempatan dan antarabangsa untuk memperkenalkan buku-buku keluaran mereka kepada semua golongan masyarakat. Tidak kira sama ada guru-guru sekolah, pensyarah kolej dan universiti, ‘librarian’, ibubapa mahupun anak muda seperti mahasiswa dan pelajar sekolah boleh dikatakan hampir semua golongan ini berpusu-pusu datang ke pameran tersebut. Hal ini kerana disamping berperanan sebagai tempat mempromosikan buku-buku keluaran baru, gerai-gerai di pameran tersebut turut menawarkan potongan harga yang agak berpatutan bagi semua buku-buku keluaran mereka paling kurang pun 10% diskaun. Saya adalah antara mereka yang turut tidak melepaskan peluang ini.

Walaupun acara sebegini diadakan setiap tahun, tarikannya amat menakjubkan. Langsung tidak luntur sambutan rakyat Malaysia untuk datang ke pameran buku. Ini merupakan pendapat saya,mungkin betul dan mungkin juga salah. Tetapi apa yang saya hendak maksudkan di sini ialah kebanjiran pengunjung yang seolah-olah tidak henti dari pagi hingga ke petang. Kebetulan saya tiba di PWTC pada waktu zohor,sekitar jam 1.30 tengah hari. Kalau hendak dibandingkan dengan pameran pada beberapa tahun sebelumnya, jumlah pengunjung yang hadir pada kali ini terlalu ramai. Setibanya di sana, sesudah solat zohor berjemaah di surau PWTC saya terus masuk ke ruang pameran di tingkat satu. Allahu akbar! Hanya DIA sahaja yang tahu betapa penuhnya manusia di situ. Begitu juga bila saya turun di tingkat bawah,sama ramai seperti di tingkat satu. Cuma tingkat dua dan tiga saya tidak naik kerana di situ menempatkan gerai-gerai pameran buku-buku Universiti.

Antara gerai-gerai yang sempat saya singgah ialah gerai DBP, Telaga biru, Nuffair, Anbakri, Sarjana Media, Galeri Ilmu dan PTS. Ada beberapa buah buku yang saya berkenan lalu membelinya. Ada juga yang saya hanya membelek-belek tetapi tidak membeli. Sempat juga saya berjumpa dan bertegur sapa dengan Puan Nor hazizam dan En Zaharin dari PTS. Mereka ini pernah datang ke Uniten sempena menjadi ahli panel forum ‘3 rasa 1 hati’ anjuran kelompok ilmu yang lalu. Setelah saya bergerak menuju ke stesen LRT untuk pulang. Dalam perjalanan,saya singgah dahulu di gerai MMP yang menerbitkan majalah Forward, Milenia Muslim dan Aniqah. Lalu saya ternampak seorang pegawai lelaki syarikat penerbitan tersebut, dan dalam hati saya berkata, ‘macam pernah tengok abang ni tapi di mana ya?’ . Barulah saya teringat bahawa syarikat MMP pernah membuka gerai di pameran SERIKANDI UNITEN yang lepas, anjuran Persatuan Pengajian Islam UNITEN. Syarikat ini merupakan antara penaja bagi program SERIKANDI. Kemudian saya menegur sapa abang MMP itu, bertanya khabar. Dalam pada itu, abang MMP sempat berkata, “Pameran kali agak ramai pengunjung, tak henti-henti dari pagi tadi. Tapi yang datang ramai perempuan. Mana tah pergi semua lelaki-lelaki. Jarang-jarang jumpa lelaki seperti awak”. Saya akui penyataan beliau kerana berdasarkan pemerhatian saya, pengunjung yang datang kebanyakannya mereka adalah terdiri daripada wanita . Saya ada beberapa pendapat mengenai situasi ini. Pertama, ramainya pengunjung perempuan berbanding pengunjung lelaki adalah kerana lelaki kurang minat membaca. Kedua, mungkin orang lelaki ada cuma berada di gerai-gerai lain; bahan bacaan orang lelaki berbeza dengan bahan bacaan orang perempuan. Sebagai contoh, orang lelaki lebih minat membaca buku-buku berkaitan dengan motor dan kereta manakala orang perempuan lebih minat membaca novel dan bahan bacaan ilmiah. Sungguhpun begitu, membaca adalah kunci kepada ilmu. Tanpa dimulakan dengan membaca, mana mungkin kita boleh memperoleh sesuatu ilmu bukan. Ini bertepatan dengan turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W. iaitu surah Al-Alaq.

Saya optimis jika keadaan yang berlaku di pameran buku ini berterusan ianya adalah penunjuk kepada peningkatan minat membaca dalam kalangan rakyat membaca. Lama-kelamaan minat membaca akan menjadi antara budaya rakyat Malaysia. Akhirnya ia akan merintis ke jalan untuk membudayakan ilmu dalam kehidupan rakyat pada masa depan, InsyaAllah.

Nota kaki: Kepada sesiapa yang belum lagi mengunjungi pameran tersebut, anda semua masih sempat lagi kerana pameran buku akan dibuka sehingga 26 April. Waktu pameran dari 10 pagi-7 petang (isnin-jumaat) dan 10 pagi-9 malam (sabtu dan ahad).

Rabu, 8 April 2009

Hari Keputeraan Sultan Johor ke-77


RINGKAS BERKENAAN DYMM Seri Paduka Baginda Almutawakkil 'Alallah, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail

  • Diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru
  • Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajarannya di English College (sekarang Sekolah Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru.
  • Baginda seterusnya melanjutkan pelajarannya di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.
  • Setelah menamatkan pengajiannya, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service.
  • Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981.
  • Pada 11 Mei 1981 baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat.
  • Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 5 April 1982.
  • Baginda ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984.
  • Baginda pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.
  • Pada masa lapang baginda gemar bermain polo, papan layar, memburu dan bermain golf.
  • Baginda Sultan telah bernikah dengan Sultanah Hajah Zanariah binti Tengku Ahmad dan telah dikurniakan 10 orang anakanda - dua orang putera dan lapan orang puteri.

DAULAT TUANKU


Selasa, 7 April 2009

Ahad, 5 April 2009

Latihan Industri (internship)

Minggu peperiksaan akhir bagi semester ini sudah pun berlalu. Yang tinggal kini hanyalah tawakal kepada Allah. Semoga apa jua keputusan yang diperolehi nanti adalah keputusan yang diredai oleh Allah. Dan biarlah diri ini menjadi hamba-MU yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat-Nya dan menerima segala ketetepan yang ditentukan Allah.

Esok adalah hari Isnin, hari mula untuk latihan industry bagi semua pelajar UNITEN tahun 3 dan tahun 4 (bagi mereka yang tidak mengambilnya pada tahun sebelumnya). Tidak terkecuali bagi diriku. Alhamdulillah,nasib saya begitu baik kerana berjaya menempatkan diri untuk menjalani latihan industri di Shah Alam walaupun memperolehnya pada saat-saat akhir.

Tempat latihan industri saya nanti ialah UMW Toyota Sdn Bhd, di seksyen 15 Shah Alam. Saya tidak kisah mengenai jumlah elaun yang bakal di terima (jika ada) dan tempat tersebut sama ada jauh ataupun tidak. Kerana bagi saya, yang penting sekali ialah mendapat tempat membuat latihan industri dan pengalaman yang mungkin tidak ada di tempat lain tetapi hanya ada di tempat yang saya bakal buat latihan industri itu nanti, InsyaAllah.

Apa yang pasti, esok saya akan bangun se-awal yang mungkin kerana waktu masuk kerja(merujuk kepada latihan industri) ialah jam 8 pagi dan habis kerja pada 5 petang. Perjalanan dari kajang ke Shah Alam mengambil masa selama sejam sekiranya di waktu pagi. Saya akan bertolak sebelum subuh dan singgah solat subuh di mana-mana masjid semasa dalam perjalanan tersebut nanti. Tujuan, untuk mengelakkan diri daripada terlewat masuk kerja nanti. Ialah mana tidaknya, macam-macam boleh terjadi di jalan raya bukan?

Kalau cuti tiga bulan pada tahun-tahun sebelum ini saya tidak mengambil sebarang subjek pada semester pendek, saya akan bekerja secara sambilan di tempat saya iaitu di Johor Bahru. Namun, inilah kali pertama saya bekerja di luar Johor Bahru dan bekerja dengan orang lain pula. Apa yang penting, etika bekerja dan akhlak semasa bekerja mesrti dijaga. Pakaian mesti kemas, masa mesti dijaga, dan jangan melanggar peraturan yang telah ditetapkan semasa watu kerja nanti. Inilah masa kita untuk melatih displin diri yang mantap. Bila dah tamat belajar, masa untuk kita hendak melatih diri atau menimba ilmu-ilmu tambahan mungkin kebarangkaliannya kurang. Jadi kawan-kawan, apalagi. Mari mulakan latihan industri!