Rabu, 26 Mac 2008

Berdebar-debar menanti hari jumaat..

Hari ini adalah hari rabu, Cuma tinggal 2 hari sahaja lagi untuk saya menduduki ‘1st paper’ final. Paper pertama saya ialah NUMEC. Perasaan tension+tekanan+malas sedang membelenggu diriku kerana banyak silibus subjek yang belum saya habiskan. Berbekalkan dengan lambakan contoh kertas-kertas final semester lepas, saya bagaikan tidak berdaya untuk menghabiskan semua latihan yang ada. Namun, perjuangan mesti diteruskan kerana selepas tamat final,segala kekusutan kepalaku akan terlerai. Selepas paper NUMEC, paper berikutnya ialah FLUID iaitu pada hari isnin dan MOM serta TOM pada keesokan harinya.

Apa yang saya perasan tentang diriku pada ketika ini, aku lebih kerap untuk turun ke surau Cendi. Hal ini jarang-jarang sekali berlaku semasa sebelum minggu peperiksaan, mungkin kerana jadual kelasku yang padat disamping tugasan yang dimiliki di luar waktu kelas. Saya berharap agar perkara ini merupakan titik permulaan untuk aku membuat perkara yang lebih bermanfaat dan langkah awal untuk aku lebih maju ke hadapan. Sebenarnya banyak perkara yang aku fikirkan dan sedang hebat bermain di kepalaku terutama sekali bila tiba penghujung sem ini. Walau bagaimanapun, semua perkara itu tidak terluah oleh tulisanku ini kerana fokusku lebih kepada FINAL.

Saya berharap selepas tamat FINAL, saya akan aktif menulis semula dan dapat menyusun semula perancanganku pada semester depan. InsyaAllah.Kepada semua rakan-rakan,selamat menduduki peperiksaan!

Selasa, 25 Mac 2008

Pemimpin Sejati

Ini merupakan sebuah lagu nasyid lama yang saya sendiri pun tidak berapa pasti kumpulan mana yang nyanyikan. Pada agakan saya, kumpulan the zikr kerana lagu ini saya baru sahaja dapat semalam. Tetapi apa yang penting ialah saya ingin berkongsi bersama-sama dengan semua rakan tentang lirik lagu ini yang mempunyai maksud yang mendalam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa negara kita yang masih hangat lagi dengan isu politik dan pemilihan Menteri Besar beserta exco-exco bagi semua kerajaan negeri di Malaysia.

Tajuk:Pemimpin Sejati

Pilihlah pemimpin yang takutkan Allah
Yang minta dibantu menegak kebenaran
Yang minta ditegur kalau ia bersalah
Yang tidak menyebut apa jua jasanya
Yang tidak banyak membuat janji manis

Biasanya seorang pemimpin itu
Ia mempunyai ilmu yang sederhana
Jiwanya kental dan juga gigih
Dapat pengalaman dari hidup
Kalau kita nak tahu pemimpin yang sejati
Ia tak berjawatan pun masih dihormati
Oleh semua pengikutnya

Biasanya pemimpin yang sejati itu
Ia tersendiri ada panduan yang diberi
Ada karisma semulajadi mendidik pengikut hingga taat setia tidak berbelah bagi

Sabtu, 22 Mac 2008

Ibuku..mestilah ibuku,sebab ibuku bukan ibu mu..(hehe)


Semalam saya sempat menelefon mak yang berada di Johor Bahru. Sudah lama saya tidak pulang ke rumah keluargaku di sana sejak cuti midsem bulan Februari yang lepas. Kadang-kadang terasa rindu juga pada keluarga tercinta yang berada jauh nun di selatan semenanjung. Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang merindui keluarga, tetapi sebaliknya ibubapa serta abang dan kakak no 2 ku pun turut merinduku. Melalui perbualan dengan mak melalui telefon, mak ada memberitahu “abang halim kau ada tanya kat mak bila hakim nak balik rumah?” Sesungguhnya saya pun teringin sangat hendak pulang ke rumah tapi apa kan dayaku. Tugasku sebagai pelajar di Uniten yanag mana semakin lama semakin mencabar memaksa saya untuk mengorbankan banyak perkara seperti waktu cutiku dan hari hujung mingguku. Tahun ni bertambah kukuhlah status ‘pak cik’ yang mula saya pegang selama setahun lalu kerana ‘orang rumah‘ abangku akan melahirkan anak sulong pada pertengahan tahun ini. Kakak sulongku yang tinggal di Bandar seri Putra, Bangi turut bakal melahirkan anak yang kedua pada akhir tahun ini juga. Hal ini semacam petanda menunjukkan bahawa rezeki keluargaku semakin murah dan mencurah-curah. Harapanku agar rezeki ini diberkati dan diredhai oleh-Mu ya Allah. Jadikan keturunanku dan keturunan adik beradik terdiri daripada orang yang takut kepada-Mu ya Allah, taat kepada suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Berilah kekuatan kepada kami untuk bersatu sehingga ke anak cucu, semoga dengan kekuatan ini kami akan berjuang pada jalan-Mu untuk meningkatkan kekuatan umat Islam seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah dikecapi pada zaman nabi Muhammad S.A.W. InsyaAllah.

Satu perkhabaran yang sempat mak beritahu ialah tentang kemenangan PAS di kawasan DUN Bandar Maharani, Muar. Apa yang mengejutkan ialah majoriti penduduk di DUN tersebut ialah masyarakat Cina. Jadi masyarakat Cina di Bandar Maharani telah meberi undi kepada PAS dan memberi sokongan yang padu kepada kempen pilihan raya mereka. Sebagai bukti tambahan, saya sempat melayari laman web Pemuda PAS Johor yang mengatakan bahawa ceramahdan kempen PAS di Bandar Maharani telah dihadiri oleh hampir kesemuanya masyarakat Cina. Hali in sesuatu yang pelik bin ajaib tetapi benar.

Saya sempat juga meminta doa daripada mak untuk menghadapi peperiksaan yang bermula pada minggu depan. Seperti sebelum ini, mak tidak jemu untuk mengulangi nasihat dan kata-kata hikmat yang sama iaitu “buatlah sembahyang hajat”, “banyakkan baca Al-Quran”, “belajarlah pandai-pandai”, dan lain-lain lagi. InsyaAllah saya akan buat apa yang mak suruh. Terima kasih mak. Semoga pemergianku ke Kuala Terengganu selepas final nanti selamat perjalanan pergi dan pulang.

Sabtu, 1 Mac 2008

Bentuk-bentuk pemikiran dalam kalangan mahasiswa: di manakah tahap pemikiran kita??


Pada 25 Februari 2008 yang lepas, satu program berbentuk diskusi telah berlangsung di dewan kuliah 3,COIT. Program tersebut ialah Sembang Siswa yang bertajuk 'Al-kisah Blog dan Anda' telah dianjurkan oleh PRS UNITEN ( Pembimbing Rakan Sebaya) dengan jayanya. Banyak perkara yang dibincangkan dalam diskusi tersebut bermula dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada isu besar termasuklah isu tentang arahan larangan daripada melayari blog yang dikeluarkan oleh TNC HEPAP UNITEN kepada warga UNITEN. Para panel yang dijemput pada sembang siswa tersebut terdiri daripada tiga orang iaitu En Azizul;pensyarah di IKAL, saudara Najwan Halimi;pelajar semester akhir kejuruteraan mekanikal UNITEN, dan En Izwan Iskandar dari Cyber Securities. Sembang siswa ini dipengerusi oleh moderator, saudara Mohd Izwan Salih ataupun lebih dikenali sebagai 'Roget' yang juga merupakan seorang sahabat saya.

Saudara moderator memulakan diskusi ini dengan mengutarakan persoalan mengenai perbandingan mahasiswa dahulu dan kini dalam menggunakan medium yang berbeza untuk membincangkan serta mengutarakan sesuatu isu kepada khalayak masyarakat kepada En Azizul. Jawapan yang diberikan beliau amat mudah, iaitu mahasiswa dahulu dilahirkan dalam persekitaran yang berbeza dengan mahasiswa kini. Sebagai contoh, generasi kini dilahirkan dalam era ICT dan telah terdedah dengan teknologi ICT sejak dari lahir lagi jika dibandingkan dengan mahasiswa dahulu. Maka tidak hairanlah sekiranya mahasiswa sekarang sudah beralih arah dengan menggunakan internet sebagai medium perantaraan utama dalam kehidupan menggantikan media cetak seperti akhbar dan makalah.

Manakala panel kedua,iaitu saudara Najwan lebih banyak diutarakan persoalan mengenai blog yang berkaitan dengan keperluan mahasiswa itu sendiri terhadap penglibatan mereka dengan masyarakat luar. Seterusnya, Panel ketiga lebih banyak membicarakan tentang undang-undang yang berkaitan dengan ruang cyber khususnya melibatkan undang-undang penggunaan ruang maya ataupun ‘internet’ di Negara kita ini. Setiap panel menyampaikan jawapan masing-masing dengan pendekatan tersendiri dan menonjolkan pendirian mereka dengan menggunakan identity mereka sendiri tanpa terpengaruh dengan mana-mana tokoh individu di Malaysia mahupun di luar Negara.

Namun begitu, saya tidak berminat untuk mengulas tentang apa yang telah dibincangkan dalam sembang siswa tersebut. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah mengenai cara berfikir dalam kalangan kita sendiri,iaitu golongan mahasiswa. Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sekadar pengenalan kepada perkara yang ingin saya fokuskan dalam tulisan saya pada kali ini. Mungkin pengenalan tersebut tidak mempunyai perkaitan terus terhadap isu cara berfikir mahasiswa, akan tetapi ia mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan tajuk yang akan saya bawa ini.

Adakah kita sebagai pelajar universiti atau lebih masyhur lagi dengan panggilan ‘mahasiswa’ menyedari tentang tahap kesedaran diri sendiri dan di manakah kedudukan sebenar pemikiran kita berada pada masa sekarang? Sudah semestinya setiap orang tidak akan tahu kedudukan diri mereka masing-masing melainkan mereka merupakan orang yang telah melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan onak duri. Kebiasaannya, orang di sekeliling kita akan lebih perasan dengan cara kita bertindak, cara kita berfikir mahupun lain-lain perkara yang melibatkan diri kita walaupun tidak semua perkara penilaian yang dibuat mereka adalah tepat.

Di sini merupakan antara contoh-contoh pemikiran yang dimiliki manusia khususnya warga di UNITEN. Pertama, rata-rata pelajar yang baru memasuki UNITEN akan berfikir bahawa tujuan mereka berada di Universiti hanyalah untuk belajar rajin-rajin sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini merupakan satu kebiasaan bagi pelajar pada peringkat awal di Universiti dan saya juga pernah merasainya. Umumnya, perkara ini berlaku disebabkan mereka beranggapan bahawa persekitaran di universiti adalah sama seperti sewaktu di alam persekolahan.

Kedua, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mengambil kisah tentang akademik mereka walaupun mereka sedar akan kepentingan untuk tuntutan untuk mendapatkan ilmu. Sebagai contoh berlaku kes pelajar kerap ponteng kelas, tidak bersedia menghadapi peperiksaan, tidak menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dalam setiap subjek dan kurang berusaha untuk mengulangkaji pelajaran di luar waktu kelas seterusnya meningkatkan kefahaman pembelajaran secara total. Apa yang penting bagi golongan ini ialah keseronokan jangka masa pendek. Tidak kira apa jua jenis keseronokan yang mereka pilih, asalkan ia dapat memuaskan nafsu dan hati mereka. Lama kelamaan mereka akan terus hanyut hingga gagal untuk bangkit dari kejatuhan diri mereka sendiri. Golongan ini lebih memikirkan tentang diri sendiri yang banyak dipandukan oleh hati bertunggangan nafsu. Peranan akal dalam keadaan ini amat sedikit sekali.

Ketiga ialah golongan yang prihatin terhadap persekitaran mereka terutama sekali perkara yang berlaku di UNITEN tidak kiralah sama ada mereka aktif ataupun tidak. Kebiasaannya mereka ini pernah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di UNITEN sama ada oleh pihak universiti mahupun kelab-kelab di UNITEN. Golongan ini merupakan golongan yang banyak menyokong aktiviti-aktiviti pelajar UNITEN dan menentukan kejayaan sesuatu program yang dijalankan. Saya boleh katakan bahawa golongan ini adalah kelompok dominan dalam mana-mana universiti. Daripada golongan ini, terdapat banyak pecahan bentuk pemikiran yang boleh dibahagikan. Antaranya mereka amat gemar membincangkan sesuatu perkara mengikut pandangan mereka sendiri. Mereka begitu berpegang teguh dengan pendapat sendiri tanpa memikirkan pendapat orang lain. Terdapat juga pelajar yang mempunyai pemikiran ‘follow the leader’,apa sahaja yang ketua mereka buat akan diikuti seratus peratus tanpa mengkaji terlebih dahulu. Golongan ini dinamakan sebagai ‘fanatik’ atau taksub terhadap kepimpinan mereka tanpa mengira baik atau buruk. Selain itu, ada juga golongan pelajar yang berpendirian seperti lalang. Jika mereka diajak mengikuti sesuatu program, mereka akan pergi tetapi tiada output yang dihasilkan daripada diri mereka sendiri. Maksudnya ialah mereka hanya menerima segala ilmu dan pengalaman semasa mengikuti sebarang aktiviti, tetapi selepas itu tiada perubahan yang berlaku pada mereka. Manfaat yang diperolehi tidak disumbangkan semula kepada orang lain. Mereka hanya mengikut keadaan semasa, sebarang pendirian dibuat bergantung kepada pendirian orang lain. Apa pun, ini hanyalah sebahagian sahaja daripada cara pemikiran golongan ini. Ada banyak lagi contoh-contoh pemikiran yang lain tetapi tidak dinyatakan.

Terakhir sekali ialah golongan yang merupakan minoriti dalam kalangan pelajar universiti iaitu pelajar yang berfikiran jauh lebih ke hadapan berbanding lain-lain golongan pelajar termasuklah golongan pelajar yang telah dinyatakan di atas. Golongan ini selalunya merupakan orang yang menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi. Segala perancangan jangka masa sederhana dan jangka masa panjang kelab bergantung penuh kepada kepimpinan mereka yang dipandukan kepada visi dan misi yang ditetapkan dalam piagam kelab masing-masing. Walaupun bilangan mereka adalah sedikit, tetapi pengaruh mereka amat besar terutama sekali kepada pelajar, aktiviti pelajar dan kelancaran perjalanan sesuatu kelab serta jatuh bangun sesuatu universiti. Akan tetapi golongan ini tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana mereka pun manusia biasa.

Setelah dinyatakan contoh-contoh pemikiran yang dimiliki oleh sebahagian para pelajar, apakah rumusan yang boleh kita buat? Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan sama tetapi memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Maka tidak adil bagi kita untuk mengadili seseorang hanya disebabkan mereka tidak serupa dengan kita kerana masing-masing mempunyai corak tersendiri. Ada yang berfikiran jauh kehadapan, ada juga yang berfikiran secara sederhana. Tidak kurang juga terdapat individu yang mengamalkan gaya pemikiran yang agak radikal. Walau bagaimanapun, perbezaan bentuk pemikiran dalam setiap golongan ini boleh disatukan melalui satu organisasi yang mempunyai matlamat tertentu, iaitu dengan kewujudan kelab. Matlamat tersebut tidak bersifat individu, tetapi ianya bersifat universal dan boleh diterima oleh semua ahli-ahli dalam sesuatu organisasi. Semua golongan dalam organisasi ini akan bersama-sama menggerakkan kumpulan mereka untuk mencapai visi,misi dan matlamat yang telah mereka tetapkan. Betapa hebatnya perpaduan dan kerjasama yang diamalkan dalam organisasi ini,alangkah bagus jika semua Negara di dunia mengamalkan prinsip ini sesama mereka. Sekiranya hal ini berlaku, masalah negara berperang sesame sendiri dan kemiskinan di Negara dunia ketiga tidak akan wujud sama sekali.

Oleh itu, di manakah kita berada berdasarkan kepada contoh-contoh yang diberikan di atas? Suka saya bangkitkan penyataan berbentuk soalan kepada para pelajar bukan untuk suka-suka sahaja, tetapi untuk mengetuk kotak fikiran rakan-rakan seperjuangan UNITEN sekalian, Kenapa kita perlu membuat perkara seperti ini selalu? Jawapannya mudah, iaitu untuk menajamkan akal kita selalu. Ibarat parang atau pisau, jika kita selalu menggunakannya lama kelamaan ia akan tumpul. Samalah juga keadaannya bagi akal,jika tidak disedar dan diasah maka makin tumpullah akal kita. Berbalik kepada persoalan tadi, di peringkat mana kita berada sekalipun adalah tidak penting. Yang mesti diutamakan ialah kesedaran yang lahir dari dalam hati kita sendiri. Kesedaran akan lahir dalam hati sekiranya proses muhasabah diri sentiasa dilakukan pada setiap hari. Dengan kesedaran inilah kita sentiasa bangkit untuk membaiki segala kekurangan diri dan seterusnya meningkatkan keupayaan berfikir mengikut landasan yang betul,iaitu bersumberkan Al-Quran dan akhlak Nabi Muhammad.

Kesimpulannya, setiap pelajar mestilah belajar untuk menerima kehadiran orang yang berbeza pendapat dengan hati terbuka tanpa sebarang prejudis. Jangan membuat penilaian yang melulu sahaja terhadap sesorang. Disamping itu, para pelajar juga mestilah sentiasa bermuhasabah diri untuk meningkatkan kualiti diri melalui cara berfikir sebenar mengikut acuan Al-Quran, Rasulullah dan para sahabatnya. Inilah sumber utama umat Islam untuk meningkatkan keupayaan berfikir seterusnya membina kecemerlangan umat Islam dalam pelbagai bidang yang wujud dalam kehidupan di dunia dan akhirat.