Semalam saya sempat menelefon mak yang berada di Johor Bahru. Sudah lama saya tidak pulang ke rumah keluargaku di sana sejak cuti midsem bulan Februari yang lepas. Kadang-kadang terasa rindu juga pada keluarga tercinta yang berada jauh nun di selatan semenanjung. Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang merindui keluarga, tetapi sebaliknya ibubapa serta abang dan kakak no 2 ku pun turut merinduku. Melalui perbualan dengan mak melalui telefon, mak ada memberitahu “abang halim kau ada tanya kat mak bila hakim nak balik rumah?” Sesungguhnya saya pun teringin sangat hendak pulang ke rumah tapi apa kan dayaku. Tugasku sebagai pelajar di Uniten yanag mana semakin lama semakin mencabar memaksa saya untuk mengorbankan banyak perkara seperti waktu cutiku dan hari hujung mingguku. Tahun ni bertambah kukuhlah status ‘pak cik’ yang mula saya pegang selama setahun lalu kerana ‘orang rumah‘ abangku akan melahirkan anak sulong pada pertengahan tahun ini. Kakak sulongku yang tinggal di Bandar seri Putra, Bangi turut bakal melahirkan anak yang kedua pada akhir tahun ini juga. Hal ini semacam petanda menunjukkan bahawa rezeki keluargaku semakin murah dan mencurah-curah. Harapanku agar rezeki ini diberkati dan diredhai oleh-Mu ya Allah. Jadikan keturunanku dan keturunan adik beradik terdiri daripada orang yang takut kepada-Mu ya Allah, taat kepada suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Berilah kekuatan kepada kami untuk bersatu sehingga ke anak cucu, semoga dengan kekuatan ini kami akan berjuang pada jalan-Mu untuk meningkatkan kekuatan umat Islam seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah dikecapi pada zaman nabi Muhammad S.A.W. InsyaAllah.
Satu perkhabaran yang sempat mak beritahu ialah tentang kemenangan PAS di kawasan DUN Bandar Maharani, Muar. Apa yang mengejutkan ialah majoriti penduduk di DUN tersebut ialah masyarakat Cina. Jadi masyarakat Cina di Bandar Maharani telah meberi undi kepada PAS dan memberi sokongan yang padu kepada kempen pilihan raya mereka. Sebagai bukti tambahan, saya sempat melayari laman web Pemuda PAS Johor yang mengatakan bahawa ceramahdan kempen PAS di Bandar Maharani telah dihadiri oleh hampir kesemuanya masyarakat Cina. Hali in sesuatu yang pelik bin ajaib tetapi benar.
Saya sempat juga meminta doa daripada mak untuk menghadapi peperiksaan yang bermula pada minggu depan. Seperti sebelum ini, mak tidak jemu untuk mengulangi nasihat dan kata-kata hikmat yang sama iaitu “buatlah sembahyang hajat”, “banyakkan baca Al-Quran”, “belajarlah pandai-pandai”, dan lain-lain lagi. InsyaAllah saya akan buat apa yang mak suruh. Terima kasih mak. Semoga pemergianku ke Kuala Terengganu selepas final nanti selamat perjalanan pergi dan pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan