Rabu, 13 Februari 2008

Pembubaran Parlimen Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 tengah hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

sumber : bernama

Komentar Saya:

Saya hanya mengetahui hal ini setelah melayari laman web pada jam 5.30 ptg dan secara tidak sengaja terbaca berita terkini ini. Padahal pada malam hari sebelumnya Perdana Menteri Malaysia kita sendiri yang menafikan 'khabar angin' ini menerusi Berita TV3 jam 8 malam. Sebenarnya saya sendiri terkilan dengan reaksi pemimpin kita itu, kenapa mesti menafikan terus. Kenapa beliau tidak jujur? Adakah ini strategi politik beliau dan konco-konconya?

Namun begitu, saya seru kepada semua para rakyat Malaysia supaya menunaikan tanggungjawab anda untuk mengundi pemimpin yang jujur,amanah&bekelayakan pada hari pengundian pilihan raya nanti.Bagi yang belum layak untuk mengundi lagi bersabarlah.Pilihan raya seterusnya ialah lima tahun akan datang.

13 Februari 2008

Sekian.

Selasa, 12 Februari 2008

Pembinaan masjid indah: Apakah rasional disebaliknya???

Pada 8 feruari 2008 yang lalu, Seri Paduka Bagida Yang Di-Pertua Agong Tuanku Mizan Zainal telah menyempurnakan perasmian Masjid Kristal beserta dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dekat Kuala Terengganu, Terengganu. Penulis difahamkan bahawa pembinaan masjid tersebut bukan hanya untuk tujuan solat jumaat akan tetapi sebagai pelangkap kepada konsep dan tujuan pembinaan Taman Tamadun Islam(TTI) itu sendiri. Tambahan pula kewujudan masjid Kristal juga memberi kemudahan kepada umat Islam dan pelawat yang berkunjung ke TTI untuk menunaikan solat fardu.

Sememangnya,pembinaan masjid Kristal tersebut melambangkan tahap kemajuan teknologi yang dimiliki oleh rakyat tempatan khususnya masyarakat Terengganu. Walau bagaimanapun, sejauh mana sesebuah masjid itu memainkan peranan utamanya dalam kelangsungan kemajuan sesebuah masyarakat? Adakah hanya dengan seni bina yang hebat dan gah sudah cukup untuk menjadi penunjuk aras kemajuan Negara? Ataupun nilai kos pembinaan masjid yang dibelanjakan menjadi asas penilaian taraf ekonomi sesebuah masyarakat? Segala persoalan ini sebenarnya jarang sekali timbul disebabkan oleh ceteknya kesedaran masyarakat dan pengetahuan mereka tentang institusi masjid. Hanya sebilangan kecil masyarakat yang prihatin mengenai hal ini. Namun begitu kita tidak boleh menyalahkan golongan dominan ini kerana kurangnya usaha daripada pejuang kebenaran sendiri.

Jika kita rujuk kembali kepada sejarah Kegemilangan Islam semasa pemerintahan junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. , perkara pertama yang dilakukan oleh rasulullah sesudah tibanya di Madinah bersama-sama segerombolan masyarakat Islam Makkah yang datang berhijrah ialah membina masjid nabawi dahulu. Kenapakah Rasulullah bertindak demikian? Rupa-rupanya masjid yang dibina merupakan batu asas kepada pembinaan masyarakat Islam di Madinah dan masyarakat Majmuk dalam Negara Islam yang pertama dalam sejarah dunia. Terlebih dahulu, mari kita singkap satu per satu peranan yang dimainkan oleh masjid Nabawi pada zaman Rasulullah.

Selain daripada fungsi sebagai tempat ibadah umat Islam, masjid merupakan tempat berkumpul semua masyarakat Madinah pada ketika itu. Segala aktiviti kemasyarakatan dilakukan di Masjid. Jika di Malaysia setiap kawasan perumahan mempunyai rukun tetangga ataupun JawatanKuasa Kebajikan Kampung(JKKK) untuk menggerakkan aktiviti dalam sesebuah masyarakat, sebenarnya masjid telah lama memainkan peranan tersebut. Malah masjid juga dijadikan tempat berbincang bagi jawatankuasa masyarakat Madianah pada ketika itu. Adalah tidak keterlaluan untuk jawatankuasa masjid di Malaysia bersifat lebih mesra penduduk terutama sekali kepada golongan remaja dan belia. Hal ini kerana pada masa kini hanya golongan dewasa atau lebih tepat lagi orang-orang tua sahaja yang banyak mengunjungi masjid dan surau. Sedangkan pada hakikat yang sebenar masjid adalah hak semua golongan masyarakat,bukan satu-satu golongan sahaja. Mungkin kaedah yang digunapakai oleh jawatankuasa masjid dalam menarik masyarakat ke masjid boleh dikatakan tidak ‘updated’ dengan peredaran semasa. Ataupun mungkin masjid dianggap sebagai tempat yang bosan oleh golongan remaja. Namun begitu, pihak masjid boleh pelbagaikan aktiviti masjid dengan mengadakan perkara yang digemari oleh remaja. Sebagai contoh masjid boleh mengadakan pertandingan bola sepak di tanah lapang kawasan masjid. Selain daripada bola sepak, sukan lain seperti ping pong dan badminton boleh juga dimainkan di masjid. Sebenarnya, pihak jawatankuasa masjid perlu lebih peka dan prihatin dengan kehendak remaja dalam usaha untuk menarik lebih ramai golongan ini dating mengimarahkan masjid.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah melalui institusi masjid. Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni. Melihat kepada perancangan baginda, jelaslah bahawa cuba menanamkan nilai-nilai murni dalam membentuk masyarakat majmuk Madinah yang hidup aman damai dan harmoni. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Masjid juga merupakan pusat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat Madinah. Dakwah akan menjadi lebih berkesan dan efektif sekiranya dilakukan secara sistematik. Oleh itu usaha dakwah perlu dirancang daripada awal dan secara bersepadu. Dakwah kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam memerlukan para pendakwah yang terlatih dari segi persiapan bahan dakwah dan strategi dakwah itu sendiri. Malah perkara yang dititikberatkan dalam menjayakan usaha dakwah ialah personaliti pendakwah itu sendiri. Peribadi pendakwah yang mulia dan akhlak baik yang ditonjolkan oleh mereka bisa melunturkan hati dan keegoan masyarakat dalam menerima seruan ke arah kebaikan. Kunci kepada semua perkara yang dinyatakan di atas ialah masjid sebagai pusat latihan aktiviti dan perancangan dakwah. Hanya masjidlah tempat yang sesuai untuk dijadikan markas bagi merencanakan segala kerja dakwah kepada umat manusia.

Malahan, baginda juga telah menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran Negara Madinah pada ketika itu. Tidak salah untuk kita katakan bahawa pada ketika itu masjid telah berperanan besar sebagai pusat politik umat Islam yang mana segala aktiviti musyawwarah(mesyuarat) antara nabi dan para sahabat terdiri daripada golongan muhajirin dan ansar diadakan di Masjid Nabawi. Jadi, adakah hal ini berlaku di Negara kita pada zaman sekarang? Rasanya ia tidak berlaku malahan orang yang cuba menghidupkan kembali budaya ini dihina,dicaci dan dihamburkan dengan pelbagai tuduhan yang tidak betul atas alasan yang naïf dan dangkal. Sebenarnya perkara ini telah dijadikan isu disebabkan oleh berlakunya perbezaan fahaman politik di Negara kita. Tetapi sedarkah mereka bahawa dalam Islam semua manusia adalah bersaudara walaupun berbeza bangsa,warna kulit dan bahasa apatah lagi ideologi. Peranan setiap orng Islam tetap sama iaitu untuk menyebar dakwah Islam dan meninggikan syiar Islam melalui institusi masjid.

Setelah kita lihat semua perkara di atas, cuba kita buat penilaian tentang negara kita yang tercinta ini. Bukanlah niat saya untuk membanding-bandingkan Malaysia dengan Negara Islam Madinah yang paling agung dalam sejarah lampau, kerana kita akan dapati terdapat perbezaan yang ketara ibarat langit dengan bumi. Namun begitu tujuan saya membincangkan perkara ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua saudara saudari tentang institusi masjid yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan perlu diimarahkan secara maksimum. Hal ini kerana masjid/surau adalah rumah Allah yang perlu digunakan secara total. Malah telah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam bagi setiap kawasan yang mempunyai penduduk Islam untuk menghidupkan Islam dan menerapkan ‘cara hidup Islam’ iaitu ad-din kepada masyarakat.

Kesimpulan saya mudah sahaja, umat Islam mestilah merancang dengan teliti sebelum membina sesebuah masjid. Persediaan yang dilakukan bukan setakat kepada kekukuhan dan keindahan masjid apabila siap kelak, tetapi perkara yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana untuk menghidupkan masjid itu sendiri pada masa akan datang. Sebagai tanda tanya kepada semua pembaca, adakah releven untuk membina dua masjid dalam satu kawasan yang mana jumlah penduduk sudah memadai dengan satu masjid sahaja. Padahal pembinaan masjid kedua menelan kos yang tinggi, sekiranya kos tersebut digunakan untuk tujuan aktiviti pembangunan masyarakat Islam yang lain adalah lebih baik jika digunakan untuk membina masjid kedua(bagi elakkan pembaziran). Kita tidak mahu berlaku masalah yang mana terdapat pembahagian masjid dan surau seperti yang berlaku di negeri Kelantan, iaitu ‘surau UMNO’ dan ‘masjid PAS’.

Sekian.

Ahad, 10 Februari 2008

Isu terkini dan perbincangannya..

Retrieved 10 feb 08,from:www.zaharuddin.net

Melabur dalam skim ASN dan ASB hukumnya harus, kata Jawatankuasa Fatwa

03/02/2008 6:21pm

Maju di mata dunia sahaja ??KUALA TERENGGANU 3 Feb - Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah harus.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, hukum bagi pembayaran dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus.

"Dengan sebab itu kita merasakan bahawa masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap status melabur di dalam skim ASN dan ASB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-80 di sini hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sumber dari akhbar Berita Harian.


ULASAN UZAR

Ramai yang bertanya respond saya, ada yang suka dan ada yang keliru. Apa pandangan saya?, Pandangan saya adalah anda tidak perlu keliru lagi dan orang awam boleh menyertainya dan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor yang dipimpin oleh bekas Muftinya iaitu Al-Marhum Dato' Hj Ishak Baharom telah terbatal akibat keputusan ini.

Orang ramai adalah harus menyertai ASB dan ASN disebabkan majlis fatwa kebangsaan telah mengesahkan kehalalannya dan menanggung apa jua urusan berkaitannya di dunia dan akhirat. Ini adalah satu perkara biasa yang ditanggung oleh para ulama, sama juga seperti Majlis Penasihat Shariah yang ada di Institusi Kewangan Islam.

Kesannya, apabila telah wujud fatwa umum sebegitu, kini ia terpulang kepada masing-masing untukmembuat keputusan sendiri, ia sama seperti logo JAKIM. Siapa yang ingin bergantung kepadanya, adalah harus dan siapa yang ingin membuat kajian lanjut dan bersikap lebih berhati-hati, pandai-pandailah memilih yang lebih selamat. Itu saja.

Saya juga telah hubungi seorang S.S Mufti, beliau kata hujjah utama Majlis Fatwa adalah "MASLAHAT". Ini beerti majlis fatwa bukannya mengesahkan sistem dan cara pelaburan ASB dan ASN yang sedia ada tetapi ia diluluskan atas dasar 'Maslahat' atau kepentingan ramai (mungkin kerana terlalu ramai orang Islam yang telah terlibat dan fatwa mengharamkan akan mengakibatkan kekalutan yang tidak tergambar), hasilnya ia difatwakan harus. Apa lagi ingin dikatakan jika itu hujjahnya.

Namun begitu, perlu diingat sepatutnya Maslahat ini sepatutnya adalah suatu tekanan yang amat sukar untuk kita hindarinya disebabkan ia bukan di dalam bidang kuasa kita, seperti penggunaan 'fiat money' yang tidak disandarkan kepada emas dewasa ini. Ini benar-benar dianggap maslahat kerana Malaysia sahaja tiada kuasa untuk influence dunia dalam hal ini, malah sistem ekonomi dunia sekarang ini amat sukar dibentuk menuruti corak yang dikehendaki oleh Islam.

Adapun, dalam perkara yang kita sendiri ada kuasa untuk mengubah dan menukar sendiri kerana ia dalam milik dan kekuasaan kita, dan kita yang awal-awal dahulu menyertai atau menganjurkan sebelum menyemak status Shariahnya, kemudian apabila sudah terhantuk baru ingin berselindung di balik hujjah maslahat. Tatakala itu, menggunakan maslahat sebagai hujjah amat boleh diperdebat dan dipertikai kerana kita sendiri berkuasa mengubah sistemnya (jika kita inginkan), walaupun jika ubah secara beransur-ansur.

Jika dinyatakan "mana nak letak dana berbillion jika dikeluarkan?". Jawabnya tak perlu keluarkan tapi adjust aqadnya biar tepat dengan third party guarantee. Betulkan cara pembahagian untungnya, nisbah pelaburan di tempat yang haram digunakan buat manfaat umum seperti highway tanpa toll, manakala pelaburan halal di serahkan kepada individu pelabur dan macam-macam lagi cara. Jangan malas berfikir jika ingin selamat di akhirat kerana Islam agama membaca dan berfikir. Al-Quran dimulakan dengan "Iqra'

Saya akui di sana ada maslahat kerana begitu ramai yang terlibat dan jumlah wang yang terlibat begitu besar, tapi tiada maslahat untuk terus menggunakan sistem sedia ada kerana ia boleh diubah seperti apa yang sebut di atas., biar untungnya berkurangan sedikit asalkan halal dan berkat.

Mufti yang saya hubungi juga berkata ahli majlis fatwa berjaya dipengaruhi dengan alasan, sebab yang disampaikan oleh wakil PNB yang membentang. Namun begitu, mufti ini memaklumkan kepada saya pihak PNB disyaratkan menubuhkan majlis Shariah khusus untuk mereka sebagaimana bank-bank Islam dan takaful. Ini satu perkembangan yang bagus!!..

Saya dan kita mengharapkan majlis Shariah akan datang ini akan dapat membuat sesuatu perubahan dan pembaikan terhadap sistem yang sedia dengan 'modification' yang wajar bagi memastikan sistem yang menepati Shariah. Tatkala itu ia tidak perlu lagi menjadi 'harus' atau 'halal' hanya bergantung kepada hujjah 'MASLAHAT' yang agak longgar.

Akhirnya, tiada halangan sesiapa yang ingin terima atau tolak ulasan saya. Tidak perlu diluahkan kata benci dan marah, saya cuma nak tolong beri nasihat.

Bila 37 % di letakkan di tempat yang amat jelas haramnya.ia pasti ada hasil dalam dividen anda. Nabi s.a.w kata :-

إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) (Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312)

Jika dikatakan kita perlu jaga maslahat kebaikan yang terhasil ini, maka kita juga perlu sedar 37 % itu menyokong industri riba dan mengukuhkannya. Kaedah Fiqh menyebut :-

أن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : "Sesungguhnya menolak keburukan itu lebih patut didahulukan dari tujuan untuk mendatangkan kebaikan" ( Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 3/190 ; Hasyiah S-Syarwani, 3/188)

Sekian

3 Feb 2008

Jumaat, 8 Februari 2008

Imbasan memorii...

Sudah 3 hari aku berada di tempat halamanku sendiri,iaitu di Johor Bahru. Kerinduanku kepada ibu bapa, adik-beradik dan rumahku terubat jua walaupun terpaksa menunggu selama sebulan untuk pulang ke jb.Malah kemeriahan di turut dirasa dengan kehadiran seorang ahli keluarga 'paling junior' sekali, iaitu Nur Athirah Syafiqah.Siapakah dia? Dia adalah cucu sulong ibu bapaku dan anak kepada kakak sulong.Tanggal 13 Mac tahun ini genaplah umur dia selama setahun.ALHAMDULILLAH. Sememangnya,inilah saat yang aku rasa begitu bermakna sekali kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama-sama (kecuali abang iparku disebabkan oleh urusan pekerjaan). Sudah semestinya orang yang paling gembira menyambut kepulangan Athirah ialah ibu bapaku. Agaknya inilah lumrah yang berlaku bagi setiap orang yang bergelar 'atuk' atau 'opah' atau 'uwan' dan apa jua gelaran yang sama waktu dengannya.

Malam tadi aku sempat keluar 'lepak' bersama-sama seorang kawan lama.Firdaus namanya. Dulu kami bersekolah sama di Makktab Sultan Abu Bakar( @EC),JB semasa form 1-3. Kemudian aku mengikuti haluanku sendiri untuk ke MRSM sehingga tamat SPM dan dia memilih untuk kekal di EC. Kini dia menyambung pelajaran dalan bidang perubatan di CUCMS berbeza dengan aku yang mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Uniten. Banyak cerita yang dikongsi bersama di 'maplee'(istilah bagi kedai mamak). Cerita sewaktu di alam sekolah hinggalah kisah semasa tentang diri masing-masing telah menjadi bahan perbualan.Tidak puas dengan berada di 'maplee', firdaus mengajak aku ke rumahnya untuk berkaraoke sedas dua dan sambung berborak di sana.Di rumahnya, aku hanya sempat berkaraoke sebuah lagu dan semestinya aku berasa kekok untuk menyanyi di rumah ibu bapanya(walaupun ibu bapa firdaus terlalu sempoi). Bak kata orang melayau, 'segan'...
Aku pulang ke rumah pun sudah lewat malam,jam 12.50malam. Malu betul aku dengan mak aku kerana sebelum ini aku tidak pernah keluar malam apatah lagi lewat pulang ke rumah.Tapi sebagai 'hero',aku buat selamba je. Lagipun mak sudah kenal dengan firdaus dan keluarganya.

Semalam juga pada waktu pagi abg Maulud telah menelefonku. Abang Maulud merupakan abang 'dua pupu' ku dari belah ibuku. Hal ini kerana ibuku dan bapanya adalah sepupu. Atuk perempuan dari belah bapanya adalah kakak kepada atuk perempuan belah ibuku. Atas ikatan persaudaraan inilah keluarga aku masih meneruskan hubungan kekeluargaan dengan keluarga abang Maulud. Sudah 5 bulan aku tidak menelefon abg maulud mahupun berjumpa dengan dia walaupun rumah dia dekat sahaja dengan Uniten, iaitu di Sungai Ramal Dalam. Kali terakhir aku berjumpa dengan dia ialah pada majlis kahwin abgaku di rumah. Abg maulud menyampaikan jemputan 'mulut' untuk hadir ke majlis kahwin adiknya di Tanjung Sedili,kota Tinggi pada hari sabtu ini( esok). Aku mungkin datang awal sehari iaitu pada petang hari ini kerana esok aku ada temujanji yang lain pula.Minta maaf abang Maulud..

Sepanjang aku berada di rumah,aku lebih banyak melakukan aktiviti yang merehatkan fikiran dan minda. Tidak seperti ketika di Uniten, akalku diguna secara maksimum. Keringatku dikerah sehabis mungkin dan rehatku hanya sedikit sahaja. Tiada jadual,data mahupun catatan masa yang dapat membuktikan kenyataanku di atas. Tetapi inilah hakikat yang terjadi kepada diriku. Tidurku cuma 5 jam sehari, itu pun kadang-kadang 3 jam. Bila pulang ke rumah ibubapaku, tidurku melebihi 7 jam sehari. Jawapanku daripada situasi ini,"biasalah..orang bujang". Tanggungjawab yang tergalas dibahuku sewaktu di Universiti menyebabkan aku bekerja dengan lebih masa tanpa gaji. Walaupun begitu aku tetap tidak menyesal malah bersyukur kerana Allah mengurniakan laluan hidupku sebegini rupa. Mungkin ada hikmah atas segala ketentuan yang telah tertulis di Luh Mahfuz-Nya. Aku berazam untuk bermuhabah diri sepanjang cutiku ini.
Sebenarnya banyak perkkara yang ingin aku ceritakan melalui blog ini,tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya ketika di Uniten. Aku berjanji untuk menulis semula semua perkara yang masih lagi tersimpan di dalam kotak ingatanku bermula dari awal semesta hingga ke hari ini,terutama sekali perkara yang masih segar lagi di fikiranku. InsyaAllah.
~nk pergi ke masjid dahulu,solat jumaat. Pak Bilal dah panggil.~

Isnin, 4 Februari 2008

Alhamdulillah, berakhirlah tugasku sebagai salah seorang urus setia yang menguruskan perjalanan Kursus Pra Perkahwinan Islam (KPPI), yang berlangsung pada 2 & 3 Februari. Kursus ini merupakan sebahagian daripada silibus yang wajib diikuti oleh para pelajar yang mengambil subjek Islamic Studies 2 (ISLB123) dan merupakan kursus yang mesti ada pada setiap semester. Cuma pada kali ini ia diadakan di Masjid Uniten memandangkan jumlah pelajar ISLB123 yang ramai jika dibandingkan dengan jumlah pelajar pada semester lepas,iaitu seramai 340 org berbanding dengan 200++(tidak pasti dengan jumlah yang sebenar). Namun begitu jumlah itu belum dicampur dengan jumlah peserta luar yang yang dibuka peluang mereka untuk menyertai KPPI di Uniten walaupun jumlah peserta luar terlalu sedikit.

Pemilihan Sahabat Al-Quran (SAQ) sebagai kumpulan urusetia KPPI buat kali kedua berturut-turut merupakan satu penghormatan besar kepada SAQ oleh Pusat Pengajian Islam dan Peradaban (PPIP). Jikalau pada 2 semester lepas Unicommserve dipertanggungjawabkan untuk menguruskan KPPI mewakili PPIP, kini SAQ pula menggalas tanggungjawab itu. Namun begitu, tidaklah bermakna Unicommserve tidak mendapat kepercayaan daripada PPIP akan tetapi disebabkan mereka sibuk mengendalikan program-program lain yang berstatus mega seperti Training of Trainers(TOT) dan Forum Intelek yang bertembung dengan KPPI ini maka SAQ diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab besar ini.

Seperti semester lepas, pembahagian halaqah Al-Quran telah dijalankan setelah selesai kesemua slot dalam KPPI ini. Purata setiap halaqah mempunyai ahli seramai 10-12 orang dan dikendalikan oleh seorang naqib/naqibah. Akan tetapi terdapat juga halaqah yang mempunyai 2 orang naqib/naqibah. Selepas selesai pembahagian halaqah, para naqib/naqibah telah diberikan taklimat untuk perjalanan aktiviti SAQ sepanjang semester ini. Dari waktu selesai solat asar berjemaah hinggalah jam 6.30ptg taklimat ini dikendalikan oleh orang 'NO 1 SAQ', saudara Luqman dengan ringkas walaupun ada sedikit perbincangan dan pengutaraan cadangan oleh para naqib/naqibah. SAQ pada semester ini telah membuat keputusan untuk mengambil 'muka-muka baru' bagi memperkuatkan 'jentera serangan dan pertahanan' SAQ memandangkan jumlah pelajar ILSB123 yang perlu dikendalikan melebihi jumlah pelajar pada semester lepas. Dengan mendapatkan 'sumber ilmu' daripada 'punca' yang sama seperti semester lepas, kami yakin prestasi naqib/naqibah akan bertambah meningkat berbanding semester lepas walaupun 'muka-muka baru' SAQ bakal mengalami kesukaran apabila berdepan dengan 'punca' ini. InsyaAllah.