Pada 8 feruari 2008 yang lalu, Seri Paduka Bagida Yang Di-Pertua Agong Tuanku Mizan Zainal telah menyempurnakan perasmian Masjid Kristal beserta dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dekat Kuala Terengganu, Terengganu. Penulis difahamkan bahawa pembinaan masjid tersebut bukan hanya untuk tujuan solat jumaat akan tetapi sebagai pelangkap kepada konsep dan tujuan pembinaan Taman Tamadun Islam(TTI) itu sendiri. Tambahan pula kewujudan masjid Kristal juga memberi kemudahan kepada umat Islam dan pelawat yang berkunjung ke TTI untuk menunaikan solat fardu.
Sememangnya,pembinaan masjid Kristal tersebut melambangkan tahap kemajuan teknologi yang dimiliki oleh rakyat tempatan khususnya masyarakat Terengganu. Walau bagaimanapun, sejauh mana sesebuah masjid itu memainkan peranan utamanya dalam kelangsungan kemajuan sesebuah masyarakat? Adakah hanya dengan seni bina yang hebat dan gah sudah cukup untuk menjadi penunjuk aras kemajuan Negara? Ataupun nilai kos pembinaan masjid yang dibelanjakan menjadi asas penilaian taraf ekonomi sesebuah masyarakat? Segala persoalan ini sebenarnya jarang sekali timbul disebabkan oleh ceteknya kesedaran masyarakat dan pengetahuan mereka tentang institusi masjid. Hanya sebilangan kecil masyarakat yang prihatin mengenai hal ini. Namun begitu kita tidak boleh menyalahkan golongan dominan ini kerana kurangnya usaha daripada pejuang kebenaran sendiri.
Jika kita rujuk kembali kepada sejarah Kegemilangan Islam semasa pemerintahan junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W. , perkara pertama yang dilakukan oleh rasulullah sesudah tibanya di Madinah bersama-sama segerombolan masyarakat Islam Makkah yang datang berhijrah ialah membina masjid nabawi dahulu. Kenapakah Rasulullah bertindak demikian? Rupa-rupanya masjid yang dibina merupakan batu asas kepada pembinaan masyarakat Islam di Madinah dan masyarakat Majmuk dalam Negara Islam yang pertama dalam sejarah dunia. Terlebih dahulu, mari kita singkap satu per satu peranan yang dimainkan oleh masjid Nabawi pada zaman Rasulullah.
Selain daripada fungsi sebagai tempat ibadah umat Islam, masjid merupakan tempat berkumpul semua masyarakat Madinah pada ketika itu. Segala aktiviti kemasyarakatan dilakukan di Masjid. Jika di Malaysia setiap kawasan perumahan mempunyai rukun tetangga ataupun JawatanKuasa Kebajikan Kampung(JKKK) untuk menggerakkan aktiviti dalam sesebuah masyarakat, sebenarnya masjid telah lama memainkan peranan tersebut. Malah masjid juga dijadikan tempat berbincang bagi jawatankuasa masyarakat Madianah pada ketika itu. Adalah tidak keterlaluan untuk jawatankuasa masjid di
Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah melalui institusi masjid. Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni. Melihat kepada perancangan baginda, jelaslah bahawa cuba menanamkan nilai-nilai murni dalam membentuk masyarakat majmuk Madinah yang hidup aman damai dan harmoni. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.
Masjid juga merupakan pusat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat Madinah. Dakwah akan menjadi lebih berkesan dan efektif sekiranya dilakukan secara sistematik. Oleh itu usaha dakwah perlu dirancang daripada awal dan secara bersepadu. Dakwah kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam memerlukan para pendakwah yang terlatih dari segi persiapan bahan dakwah dan strategi dakwah itu sendiri. Malah perkara yang dititikberatkan dalam menjayakan usaha dakwah ialah personaliti pendakwah itu sendiri. Peribadi pendakwah yang mulia dan akhlak baik yang ditonjolkan oleh mereka bisa melunturkan hati dan keegoan masyarakat dalam menerima seruan ke arah kebaikan. Kunci kepada semua perkara yang dinyatakan di atas ialah masjid sebagai pusat latihan aktiviti dan perancangan dakwah. Hanya masjidlah tempat yang sesuai untuk dijadikan markas bagi merencanakan segala kerja dakwah kepada umat manusia.
Malahan, baginda juga telah menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran Negara Madinah pada ketika itu. Tidak salah untuk kita katakan bahawa pada ketika itu masjid telah berperanan besar sebagai pusat politik umat Islam yang mana segala aktiviti musyawwarah(mesyuarat) antara nabi dan para sahabat terdiri daripada golongan muhajirin dan ansar diadakan di Masjid Nabawi. Jadi, adakah hal ini berlaku di Negara kita pada zaman sekarang? Rasanya ia tidak berlaku malahan orang yang cuba menghidupkan kembali budaya ini dihina,dicaci dan dihamburkan dengan pelbagai tuduhan yang tidak betul atas alasan yang naïf dan dangkal. Sebenarnya perkara ini telah dijadikan isu disebabkan oleh berlakunya perbezaan fahaman politik di Negara kita. Tetapi sedarkah mereka bahawa dalam Islam semua manusia adalah bersaudara walaupun berbeza bangsa,warna kulit dan bahasa apatah lagi ideologi. Peranan setiap orng Islam tetap sama iaitu untuk menyebar dakwah Islam dan meninggikan syiar Islam melalui institusi masjid.
Setelah kita lihat semua perkara di atas, cuba kita buat penilaian tentang negara kita yang tercinta ini. Bukanlah niat saya untuk membanding-bandingkan Malaysia dengan Negara Islam Madinah yang paling agung dalam sejarah lampau, kerana kita akan dapati terdapat perbezaan yang ketara ibarat langit dengan bumi. Namun begitu tujuan saya membincangkan perkara ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua saudara saudari tentang institusi masjid yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan perlu diimarahkan secara maksimum. Hal ini kerana masjid/surau adalah rumah Allah yang perlu digunakan secara total. Malah telah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam bagi setiap kawasan yang mempunyai penduduk Islam untuk menghidupkan Islam dan menerapkan ‘cara hidup Islam’ iaitu ad-din kepada masyarakat.
Kesimpulan saya mudah sahaja, umat Islam mestilah merancang dengan teliti sebelum membina sesebuah masjid. Persediaan yang dilakukan bukan setakat kepada kekukuhan dan keindahan masjid apabila siap kelak, tetapi perkara yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana untuk menghidupkan masjid itu sendiri pada masa akan datang. Sebagai tanda tanya kepada semua pembaca, adakah releven untuk membina dua masjid dalam satu kawasan yang mana jumlah penduduk sudah memadai dengan satu masjid sahaja. Padahal pembinaan masjid kedua menelan kos yang tinggi, sekiranya kos tersebut digunakan untuk tujuan aktiviti pembangunan masyarakat Islam yang lain adalah lebih baik jika digunakan untuk membina masjid kedua(bagi elakkan pembaziran). Kita tidak mahu berlaku masalah yang mana terdapat pembahagian masjid dan surau seperti yang berlaku di negeri Kelantan, iaitu ‘surau UMNO’ dan ‘masjid PAS’.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan