Bermula dari 15 Ogos yang lalu, hampir semua kampus UiTM di semenanjung Malaysia telah mengadakan demonstrasi bantahan secara besar-besaran terhadap cadangan 10% kuota pelajar UiTM kepada bukan bumiputera, yang mana cadangan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor pada awal minggu lepas. Sememangnya isu bangsa memang terlalu sensitif untuk dibincangkan terutama sekali dalam masyarakat kita. Malah, Naib Canselor UiTM Prof. Dr Ibrahim Abu Shah secara tidak langsung menghalalkan tindakan mahasiswa Universitinya apabila memberi reaksi yang keras terhadap kenyataan YB Menteri besar Selangor. Apa yang kita boleh perhatikan di sini, mahasiswa UiTM sudah maju ke hadapan dan boleh mendabik dada dengan IPTA yang lain seperti UM,UIAM,UPM dan UKM kerana mereka mampu mengadakan demonstrasi secara terancang, besar-besaran di hampir semua kampus UiTM di setiap negeri tanpa mendapat halangan dan sekatan baik daripada pihak Universiti mahupun polis. Lebih daripada itu, demostrasi pelajar-pelajar UiTM ini mendapat liputan meluas oleh akhbar-akhbar Malaysia khususnya akhbar arus perdana. Turut diselitkan komen-komen berupa kecaman daripada individu dan pertubuhan yang mewakili rakyat Malaysia Keseluruhannya terhadap kenyataan YB tersebut.

Sebahagian daripada 5,000 pelajar UiTM Pulau Pinang mengadakan demonstrasi
membantah cadangan buka 10 peratus kuota kepada bukan Bumiputera.
membantah cadangan buka 10 peratus kuota kepada bukan Bumiputera.
Persoalan yang timbul di sini, kenapa mahasiswa UiTM baru sekarang bangkit dan sensitif dengan isu-isu semasa yang melibatkan mahasiswa dan universiti sedangkan pada masa sebelumnya mereka boleh dikatakan hampir tiada suara langsung terhadap isu-isu yang lebih besar daripada isu 10% kuota pelajar UiTM kepada bukan bumiputera? Sebagai contoh paling dekat dan terkini, di manakah mereka berada di saat mahasiswa-mahasiswa IPTA-IPTA lain melalui GMMA berjuang untuk mendapatkan hak mahasiswa kembali setelah sekian lama dikongkong dengan tertubuhnya AUKU? Kejadian berlaku di hadapan bangunan Parlimen pada hari isnin lalu, demonstrasi yang dilakukan oleh pihak GMMA merupakan siri perjuangan Mahasiswa sejak dari dahulu lagi bersesuaian dengan maksud GMMA itu sendiri iaitu ‘Gabungan Mahasiswa Mansuhkan AUKU’. AUKU merupakan akta yang sudah jelas lagi nyata akan kezalimannya. Matlamat GMMA memang jelas untuk membela nasib mahasiswa keseluruhannya.
pintu masuk Parlimen dengan kain rentang hitam bertulisan
"Akta Untuk Kuburkan Universiti"
sebagai makna lain bagi akronim AUKU.
Berbeza pula dengan demostrasi mahasiswa UiTM diseluruh Negara yang diketuai oleh MPP kampus masing-masing, mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas untuk berdemonstrasi selain daripada meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap isu ‘pelajar Melayu’ yang tercabar sahaja. Bukan niat saya untuk mempertikaikan tindakan mereka, tetapi berfikirlah dahulu sebelum bertindak kerana cadangan MB Selangor secara realitinya mustahil untuk dilaksanakan kerana hanya menteri KPT sahaja yang boleh mengubah sistem kuota tersebut selain daripada kuasa Parlimen yang boleh memutuskan keputusan sama ada untuk meminda ataupun mengekalkan peraturan yang digunapakai sejak sekian lama. Bila mana sesuatu isu timbul tidak disoal selidik terlebih dahulu,maka tindakan yang terhasil menunjukkan mereka orang yang gopoh. Orang yang gopoh biasanya bersifat melampau-lampau dalam perbuatan dan kata-kata kerana tiada objektif dan matlamat tindakan yang jelas. Mahukah kita mendengar mahasiswa Melayu diberi gelaran sebagai mahasiswa yang gelabah dan gopoh-gapah?
Timbalan Menteri KPT, Idris menerima memorandum daripadaKoordinator GMMA Ridzuan (tiga dari kiri) di lobi Parlimen
Ibu bapa kepada mahasiswa UiTM terutama sekali golongan yang berfikiran Melayu turut melampiaskan kemarahan yang teramat hanya berpunca daripada kenyataan YB MB Selangor tersebut. Kalau hendak ditanya kepada semua orang melayu tentang cadangan 10 % kuota kepada pelajar bukan Melayu/Bumiputera, sudah pasti ramai yang tidak setuju. Akan tetapi kenapa tiada satu pun golongan berfikiran Melayu untuk mengambil inisiatif untuk membantah sewaktu dasar pengajaran bahasa Inggeris dalam subjek matematik dan sains dilaksanakan? Apa kurangnya dengan isu pembukaan kuota 10% pelajar MRSM untuk bukan melayu/Bumiputera? Bukankah contoh-contoh ini lebih kurang dengan isu yang ditimbulkan MB Selangor? Lebih teruk lagi isu-isu itu telah pun dijalankan.
Saya ingin menyeru kepada semua orang Melayu supaya bermuhasabah diri sedar bahawa sesuatu isu tidak akan tamat jika tidak betul langkah penyelesaiannya. Berpegang teguhlah kepada ajaran Islam yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-sunnah serta jalan yang dilalui oleh para sahabat nabi. Jika bangsa Arab pada zaman nabi Muhammad dimuliakan darjat mereka di sisi Allah dengan sebab Islam, maka kita juga mestilah sedar bahawa semua bangsa di dunia termasuklah bangsa Melayu akan dimuliakan dengan sebab Islam. Jangan melampau-lampau dalam tindakan kerana ianya merupakan sifat orang munafiq dan jangan pula tidak bertindak apa-apa kerana ia menunjukkan selema-lemah iman seseorang. Fikir-fikirkanlah….
1 ulasan:
"Akan tetapi kenapa tiada satu pun golongan berfikiran Melayu untuk mengambil inisiatif untuk membantah sewaktu dasar pengajaran bahasa Inggeris dalam subjek matematik dan sains dilaksanakan?"
Layarilah http://test.chedet.com/che_det/2008/08/mengajar-sains-dan-matematik-d.html#more
Catat Ulasan