Ahad, 10 Mei 2009

Penulisanku…

Penulisan, satu bidang yang saya sudah mula berkecimpung sejak dua lepas. Ketika saya mula membuka akaun blogspot ini, saya bercita-cita untuk meningkatkan pembacaan saya pada bahan bacaan yang pelbagai khususnya buku-buku ilmiah walaupun saya ini bukan ‘ulat buku’. Bukankah membaca itu asas kepada pembudayaan ilmu itu sendiri menurut firman Allah subhanallah taala menerusi surah Al-Alaq.

Maksud saya, dengan membaca ia akan membuka jalan buat saya untuk meneroka bidang-bidang ilmu duniawi dan ukhrawi secara bersepadu dan aktif. Setidak-tidaknya jalan yang saya inginkan ini akan meleraikan ikatan atau ‘mentaliti’ yang melingkari sebahagian besar para pelajar dari peringkat sekolah hingga ke universiti mengenai budaya menuntut ilmu. Menuntut ilmu hanya di bilik darjah yang disediakan di sekolah-sekolah dan universiti sahaja. Itulah realiti para pelajar pada hari ini. Kesannya, ramai pelajar yang datang ke universiti hanya inginkan pengiktirafan berbentuk sijil semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar kelak, jawatan yang hebat dan lain-lain tujuan yang bersifat sementara. Untuk apa belajar empat lima tahun jika diniatkan hanya semata-mata untuk dapatkan sekeping sijil? Untuk hal ini, saya serahkan kepada sahabat-sahabat untuk merenung, memikir dan mencari kebenarannya.

Kalaulah kita betul-betul memahami konsep menuntut ilmu, pasti semua manusia akan berebut-rebut untuk menuntut ilmu sepanjang masa. Mungkin pada masa itu masalah keciciran dalam pembelajaran akan menjadi sifar. Ilmu ini bersifat menyuluh atau menerangi. Ibarat cahaya matahari yang menerangi siang hari, begitulah keadaannya bagi ilmu. Ia menerangi kehidupan seseorang daripada ‘tidak tahu’ kepada ‘tahu’, daripada ‘tahu’ kepada ‘lebih tahu’, dan daripada ‘kufur’ kepada ‘iman’. Sebab itulah ada disebut dalam hadis rasulullah yang membandingkan antara ahli ibadah dan orang yang berilmu di dalam masjid. Kedudukan orang berilmu lebih tinggi berbanding dengan ahli ibadah yang kurang ilmu. Tambahan pula, masyarakat kita sendiri amat menyanjung tinggi terhadap orang yang mempunyai ilmu yang tinggi.

Alhamdulillah, objektif yang saya tetapkan itu telah menunjukkan bayang-bayangnya walaupun untuk menemui sinarnya masih terlalu jauh perjalanannya. Saya akui, banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam skil penulisan saya ini. Sumber pembacaan saya masih kurang disebabkan oleh kekangan masa dan sibuk dengan akademik di bilik kuliah dan aktiviti di luar bilik kuliah juga, dan juga disebabkan kurangnya tekad dalam usaha untuk melakukan perubahan dalam diri ini. Saya akan sentiasa bermuhasabah untuk memperbaiki diri sendiri dari masa ke masa. Blog ini juga akan saya warnai untuk manfaat umum, mengikut warna-warna yang saya miliki. Jangan jemu-jemu untuk menjenguk blog ini walaupun jarang-jarang di ‘update’. Sekian. Wallahualam.

Khamis, 7 Mei 2009

Jauhi sifat sombong/takabbur

Sifat sombong ataupun disebut juga sebagai takabbur merupakan antara contoh penyakit hati yang tercela. Maksud sifat sombong atau takabbur ini ialah merasa diri lebih baik daripada orang lain.

Peristiwa pertama wujudnya sifat mazmumah ini ialah bila mana Azazil, ketua kepada segala malaikat diminta oleh Allah subhanallah taala bersama-sama dengan malaikat-malaikat lain supaya tunduk sujud kepada makhluk Allah yang satu ini. Makhluk tersebut baru diciptakan pada ketika itu, bernama Adam adalah seorang manusia yang diciptakan daripada tanah. Lalu sujudlah kesemua para malaikat kepada Adam kecuali Azazil seorang sahaja. Dia enggan sujud kerana baginya, dia lebih mulia daripada Adam hanya disebabkan oleh dia diciptakan daripada api sedangkan Adam daripada tanah. Pada anggapannya, tanah yang diambil dari bumi bersifat kotor. Lantas Azazil merasa Adam itu lebih hina daripadanya. Inilah perbuatan yang dizahirkan daripada sifat sombong atau takabbur lagi tercela. Akibat daripada kesombongan Azazil tersebut, Allah telah melucutkan jawatan dan dikeluarkan dari syurga. Maka sejak daripada itu, Azazil dikenali sebagai iblis laknatullah kerana perbuatannya sendiri.

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan sifat sombong. Antaranya ialah dengan ilmu yang dimiliki, amal ibadat yang dilakukan, nasab keturunan,paras rupa dan kekuatan fizikal, harta kekayaan,kekuasaan dan penyokong yang ramai.

Sifat sombong ini boleh terjadi dengan dua pra syarat, iaitu pertama apabila seseorang itu menolak sesuatu kebenaran yang datang kepadanya. Kedua, sombong boleh terjadi apabila kita memperlekehkan orang lain sama ada dari segi niat, tutur kata mahupun perbuatan.

Sememangnya Allah subhanallah taala melarang hamba-Nya daripada berlaku sombong kepada makhluk-makhluk-Nya yang lain kerana tidak layak bagi manusia memiliki sifat tersebut. Malah, sifat sombong akan menyebabkan kemudaratan lain yang lebih besar bakal menimpa mereka kelak. Antaranya ialah mereka yang bersifat sombong akan mendapat kemurkaan Allah. Kemudian, akan ditutup segala pintu hidayah kepada manusia-manusia yang memiliki sifat tercela ini. Seterusnya mereka ini akan mendapat kecelakaan di dunia dan akhirat. Paling azab sekali, ialah akan dimasukkan mereka ini ke dalam api neraka Allah.

Maka, sebagai hamba Allah yang lemah kita perlu sentiasa melakukan muhasabah diri daripada sifat-sifat tercela ini.