Selasa, 30 September 2008

Kedatanganmu dirai, pemergianmu ditangisi….OH RAMADAN...

Tiada ungkapan lain yang boleh saya kata melainkan ungkapan di atas. Jika dahulunya semasa kanak-kanak waktu yang saya paling tunggu-tunggu ialah bulan syawal kerana dapat beraya tetapi kini bagi saya alangkah ruginya Ramadan sudah berlalu pergi. Tambahan pula, kehadiran Ramadan dirasakan terlalu singkat seakan tidak puas untuk menikmatinya dengan melakukan ibadat puasa disamping amalan-amalan sunat yang lain.

Syawal sudah pun menjelang, kita mesti teruskan rentak cemerlang semasa di bulan Ramadan pada bulan-bulan berikutnya. Rentak cemerlang yang dimaksudkan ialah rentak untuk melakukan amal ibadat seperti membaca Al-Quran, solat Jemaah 5 waktu di awal masa dan bangun pagi untuk berqiamulail.

Nampak selepas ini dugaan hidupku makin kuat kerana syaitan-syaitan telah terlepas daripada belenggu ikatan. Sekarang sudah tiada masa lagi untuk bersenang-senang kerana silap langkah sedikit pasti akan terperangkap dengan ‘jerangkap samar’ syaitan, NAUZUBILLAH.
Terpaksalah saya menunggu Ramadan akan datang selama setahun lagi.

(p/s: Lepas ini dah takde lagi berbuka a.k.a makan free di masjid dan surau lagi..hehe)

Isnin, 29 September 2008

Kesombongan kerajaan Filipina ke atas Wilayah Islam Moro: Hakikat yang mesti diketahui oleh umat Islam

Sudah menjadi lumrah manusia sering bercakaran antara satu sama lain lebih-lebih lagi perang yang berlaku dimulai oleh pihak yang bongkak. Begitulah juga keadaan yang berlaku kepada dunia Islam khususnya di kepulauan Sulu dan Mindanao(yakni disebut sebagai wilayah selatan Filipina menurut dakwaan kerajaan Filipina) yang mana pihak kerajaan Filipina telah memulakan tindakan tidak berperikemanusiaan dengan melancarkan perang ke atas wilayah Islam Moro(kepulauan Sulu dan Mindanao) pada tahun 1972 ketika Ferdinand E.Marcos menjadi presiden Filipina pada waktu itu. Terdapat kesamaran pada sebab-sebab kenapa kerajaan Filipina mengisytiharkan undang-undang darurat ke atas wilayah Islam tersebut walhal kalau diikutkan pada sejarah, wilayah Islam tersebut tidak pernah terjajah sejak daripada kedatangan koloni-koloni asing baik sepanyol, british mahupun amerika.

Fakta sejarah yang ada cuma menunjukkan bagaimana semangat jihad melawan penjajah oleh mujahid-mujahid Islam orang-orang Sulu sehingga menggagalkan serta menghancurkan usaha dan niat jahat tentera kufar ke atas wilayah Islam Sulu. Mungkin di sini merupakan kesilapan besar oleh Bangsa Moro kerana menyahut perang yang dilancarkan oleh kerajaan Filipina kerana mereka sudah sedia merdeka sejak tahun 1457 iaitu saat Kesultanan Sulu tertubuh.
Akan tetapi sejarah tentang kemerdekaan wilayah Kesultanan Sulu(meliputi negeri Sabah, Pulau Jolo, Pulau Sulu, Pulau Palawan dan pulau disekitarnya) ini tidak diketahui umum disebabkan kurangnya kajian mengenai sumber sejarah Kesultanan Sulu.

Sejarah lampau telah menyatakan bagaimana usaha murni para pendakwah Islam dari tanah besar Arab yang datang ke kawasan kepulauan Melayu yakni meliputi kawasan Asia Tenggara untuk menyebarkan risalah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kepada penduduk di sini sehingga mencipta tamadun Melayu yang didasari Islam keseluruhannya. Sebagai bukti kewujudan beberapa kerajaan Islam yang besar dan kuat sehingga digeruni oleh musuh-musuh Islam pada ketika itu seperti Kerajaan Islam Acheh, Kerajaan Islam Kesultanan Melaka,Kesultanan Islam di Amanilah(kini disebut Manila) Kerajaan Islam Demak(Pulau Jawa), Kesultanan Islam Ternate(Maluku), Kesultanan Islam di Makasar dan Sulawesi dan banyak lagi. Begitulah jua keadaan yang berlaku di kepulauan Sulu dengan tertegaknya Kerajaan Islam Kesultanan Sulu.

Ketika Filipina mendapat kemerdekaan daripada Amerika pada tahun 1946, wilayah Islam Moro tidak termasuk dalam Negara Filipina yang merdeka. Jadi bagaimana kerajaan Filipina boleh melaksanakan undang-undang ke atas tanah yang bukan menjadi milik mereka serta mendakwa wilayah tersebut termasuk dalam negara mereka?. Kemudian satu dunia maklum akan tuntutan mereka ke atas negeri Sabah yang kini berada dalam Malaysia, tuntutan tersebut telah berulang kali dilaungkan sejak dari penubuhan Malaysia. Namun ianya tidak pernah berjaya walaupun mereka mendakwa kononnya negeri tersebut miliknya disebabkan oleh kemilikan negeri Sabah masih berada dalam tangan Kesultanan Sulu walaupun setelah mereka menjarah dan memusnahkan wilayah Islam. Inilah bukti kesombongan Kerajaan Filipina yang zalim, tamak dan tidak sedar diri kerana setelah memusnahkan wilayah Islam yang bukan miliknya,kemudian mengaku mempunyai hak ke atas negeri Sabah yang sebahagian daripada wilayah Islam tersebut.

Tindakan zalim kerajaan Filipina ini juga mengakibatkan rakyat mereka menjadi miskin di kala pemimpin-pemimpin kerajaan hidup mewah atas kesengsaraan orang lain. Kerajaan Filipina ini saling tidak tumpah seperti penjajah-penjajah Eropah seperti Sepanyol dan British kerana bertindak menyerang negara orang lain demi kepentingan diri sendiri. Sekiranya Sabah berada dalam tangan mereka pasti Sabah juga akan berada dalam keadaan kacau bilau.

Apa yang mampu dilakukan oleh orang Islam di sana ialah dengan melancarkan kembali perang ke atas penjajah, iaitu Negara Filipina. Peperangan ini menyebabkan ramai rakyat Sulu menjadi pelarian, kebanyakannya ke Sabah. Setelah tiga dekad berlalu, penyelesaian masih belum wujud seolah-olahnya ianya menjadi keinginan kerajaan Filipina yang sebenar untuk mewujudkan keadaan huru-hara di wilayah Islam.Wahai kerajaan kuffar Filipina,tunggulah saat tertegaknya kedaulatan Islam di dunia dan pada waktu itu negerimu akan tunduk di bawah kekuasaan Islam kerana sejarah asal Filipina dibina oleh Islam dahulu yang kemudiannya berjaya dikristiankan oleh penjajah Sepanyol.

Segala kegemilangan Islam yang pernah wujud di wilayah Moro pada suatu ketika dahulu akan kembali lagi jika semua umat Islam bersatu kembali. Saya mengimpikan akan tertegaknya wilayah Islam di Asia Tenggara yang dinamakan sebagai ‘Wilayah Islam Asia Tenggara’(WIAT) dan pada waktu tersebut tidak wujud lagi Republik Singapura, Republik Indonesia, Republik Filipina, Malaysia, Thailand dan Brunei. Yang wujud hanya WIAT yang juga merupakan sebahagian daripada daulah Islamiyah. Dengan berkat usaha-usaha dakwah umat Islam dari dahulu hingga kini, Insyaallah hanya kuasa Allah sahaja yang menentukan waktu ketibaannya. Semua umat Islam mestilah bersatu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar demi mendapat keredaan Allah yang benar.

Selasa, 23 September 2008

Perutusan Syawal 1429H buat warga UNITEN

As Salamu 'Alaikum dan Salam Sejahtera

Sedar tidak sedar,bulan Ramadhan 1429H tiba di waktu senjanya, gerbang Syawal menyusul tiba. Pasti ramai yang mengalir air mata, merintih sayu, menangisi pemergian bulan mulia ini. Soalnya adakah matlamat mencapai tahap “taqwa” sebagaimana firman Allah dalam al Baqarah ayat ke-183 itu sudah terlaksana? Tepuk dada, tanyalah iman. Jangan biarkan tarbiah Ramadhan kita menjadi sia-sia apabila tiba Syawal nanti. Moga perubahan yang besar berlaku kepada kita.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah dan takziah kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) yang baru. Tahniah kerana dipilih Allah untuk memimpin. Takziah kerana terpaksa memikul amanah yang menjadi bebanan di akhirat kelak.
Nabi pernah bersabda “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu aku disoal tentang kepimpinannya”.

Maka ketahuilah amanah ini dari Allah untuk agama Allah. Maka ketahuilah sebelah kaki sahabat berada di syurga dan sebelah lagi berada di neraka. Maka laksanakan tugas kalian dengan penuh amanah untuk kebaikan agama Islam yang dicintai.
Saya juga berdoa’a agar insyaAllah kerjasama yang mantap yang telah wujud antara MPP dan PPI dapat diteruskan lagi selepas ini.

Sebelum saya mengakhiri kata-kata saya , menjadi adat bila tiba syawal, masyarakat Islam Malaysia akan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Di kesempatan ini saya mewakili seluruh warga PPI ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” buat seluruh warga UNITEN.

Was Salamu ‘Alaikum
Alahu Akbar-Allahu Akbar-Allahu Akbar-Walillahil Hamd

Dzar-Abdullah Bin Amir
Presiden Persatuan Pengajian Islam Uniten
2008-2009

Sumber: http://arkofmylife.blogspot.com/

Jumaat, 19 September 2008

Budi Bahasa Budaya Kita

Sememangnya budi bahasa merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat kita,malahan dalam Islam juga menekankan aspek ini. Jadi kita tidak boleh menafikan peranan ia dalam kehidupan seharian kita. Dari cara kita makan,minum, berjalan, bertegur sapa dengan rakan-rakan, bercakap dikhalayak ramai dan lain-lain lagi semuanya ada kaitan dengan budi bahasa. Dan semua perkara yang disebut tadi termasuk dalam akhlak, sesuatu yang dapat dibentuk dari dalam diri bukan setakat luaran sahaja.

Saya ada sebuah cerita yang boleh dijadikan pengajaran, ianya berlaku pada hari semalam. Ianya masih segar ingatan saya kerana perkara tersebut berlaku kepada saya sendiri dan harap menjadi iktibar kepada semua sahabat-sahabat. Kisahnya bermula begini apabila selepas tamat kelas pada jam 11 pagi lebih saya terus ke kaunter pejabat COE di tingkat bawah blok BN. Ramai orang berada di sana untuk menghantar borang pendaftaran Latihan Industri. Di kaunter tersebut ada tiga orang penjaga, seorang perempuan dan dua orang lelaki. Saya bertanya kepada salah seorang lelaki tersebut sama ada mereka borang A dan CIDB masih ada salinan lebih ataupun tidak. Jawapan yang diberikan agak ‘kasar’ dan ‘kurang ajar’ kerana caranya seperti memperli dan mengherdik. Apa tidak ada cara lain yang lebih elok untuk menjawab pertanyaan soalan yang diajukan terutama sekali daripada pelajar? Saya faham bulan Ramadan memerlukan setiap muslim berpuasa dan menahan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi ianya tidak boleh dijadi lesen untuk mereka sesuka hati memperli dan mengherdik pertanyaan pelajar. Saya cuba untuk memujuk diri dengan mengatakan bahawa staff tersebut lupa yang dia sedang berpuasa.

Sebenarnya pembentukan akhlak bermula dari kecil lagi di rumah oleh ibu bapa, bukannya di sekolah. Di sekolah mereka hanya mendapat bimbingan secara formal manakala di rumah mereka dapat pendidikan secara tidak formal. Jadinya, saya suka untuk mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama muhasabah diri untuk menigkatkan kualiti diri dari segi akhlak kerana nilai akhlak lebih berharga daripada kelulusan akademik yang tinggi. Bapa borek anak rintik, bagaimana acuannya begitulah kuihnya.

Rabu, 17 September 2008

Sabotaj kepada calon no 12 & 13!

Tindakan sabotaj telah dilakukan pihak tertentu terhadap calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya pada kali ini. Buktinya,poster-poster calon bernombor 12&13 telah diputuskan. Ternyata tindakan sabotaj ini tidak lain tidak bukan bertujuan yang tidak elok iaitu untuk melihat calon-calon tertentu supaya tidak menang. Kejadian berlaku sekitar lewat petang hari selasa 16 September.
Saya di sini menyeru bahawa semua pihak supaya berkempen dengan cara yang betul tanpa mensabotaj pihak-pihak lain. Marilah kita sama-sama keluar mengundi pada esok 18 September 2008 dari jam 9.00 pagi hingga ke 4.00 petang. Jangan lupa untuk mengundi no 7,12 &13.

Antara bukti tindakan sabotaj terhadap calon no 12 & 13
Tali poster sengaja diputuskan

Isnin, 1 September 2008

Perutusan Presiden PPI sempena Ramadhan 1429H

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita peluang untuk bertemu dengan bulan penuh keampunan dan bulan penuh kerahmatan – bulan Ramadhan. Bulan ini merupakan satu peluang besar kepada kita untuk melakukan koreksi kepada diri kita, umat akhir zaman yang tak lari dari dosa dan noda.

Mengapa saya berkata demikian? Hal ini adalah kerana di bulan ini Allah menyediakan satu ruang untuk kita berubah. Waktu merupakan salah satu faktor yang mampu membawa perubahan kepada manusia. Inilah yang saya katakana sebagai “Faktor Waktu”. Ada manusia berubah tatkala mereka meningkat waktunya. Ada manusia berubah setelah datang waktu berlaku satu peristiwa besar kepadanya seperti kematian orang disayangi, atau berlaku kemalangan kepadanya. Namun begitu, tidak perlulah kita menunggu sehingga datang waktu-waktu itu, sebaliknya, kita gunakanlah waktu Ramadhan ini untuk melakukan perubahan dan kembali ke jalan Allah.

Tambahan pula, di bulan inilah datangnya malam Lailatul Qadr. Pada malam ini, pahala melakukan amal ibadah adalah seperti melakukan ibadah itu selama 1000 bulan. Oleh itu juga, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan ini.

Di kesempatan ini, saya mewakili saf pimpinan baru Persatuan Pengajian Islam UNITEN yang baru dilantik ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1429H. Semoga Ramadhan kali ini membawa perubahan yang bermakna kepada kita. Di kesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan. Malaysia ke-51 dan ribuan terima kasih kepada semua terutamanya ahli PPI kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk terus memacu PPI. Bantulah kami membawa da’wah Islam ini dengan sebaiknya.
“Kesejahteraan di bawah satu cahaya – Cahaya Islam”

Dzar-Abdullah Amir
Presiden Persatuan Pengajian Islam Universiti Tenaga Nasional
Sesi 2008/2009

Retrieved 2 September 2008, from:
http://groups.yahoo.com/group/ppi_uniten/message/209